Dana baru bernilai $7.5 juta telah dilancarkan bagi menggalak Agensi Perkhidmatan Sosial (SSA) menilai dan melaporkan keberkesanan program sosial mereka.
Dana Ke Arah Kemampanan SG60 yang dikendalikan Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) itu juga bertujuan memastikan SSA dapat memberikan perkhidmatan lebih berkesan bagi meningkatkan mutu kehidupan pelanggan dan pengguna mereka.
Di bawah inisiatif itu, agensi yang layak akan diberikan geran sekali sahaja sebanyak $30,000 untuk menggalak SSA membina keupayaan teguh untuk mengukur keberkesanan program mereka dengan cara yang sistematik dan bermakna.
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, melancarkan dana tersebut pada hari pertama Sidang Puncak Perkhidmatan Sosial NCSS pada 2 Julai yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands.
Berucap pada majlis yang dihadiri lebih 1,000 tetamu, termasuk tetamu kenamaan asing dari 11 negara, Encik Masagos berkata dana tersebut, yang dilancarkan sempena SG60, adalah sebahagian daripada usaha NCSS untuk mengukuhkan keupayaan SSA.
Dana itu, yang dibuka untuk permohonan mulai 2 Julai, juga bertujuan mengiktiraf dan memastikan SSA meninggalkan kesan bermakna dan membentuk kehidupan masyarakat dengan baik.
“Dengan keupayaan penilaian yang dipertingkat, SSA akan dilengkapi dengan lebih baik untuk menilai keberkesanan inisiatif mereka, memperhalusi perkhidmatan mereka dan memberikan sokongan yang lebih kukuh kepada pelanggan.
“Mereka juga akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menarik pembiayaan berterusan daripada penderma, yang memastikan program-program mereka yang meninggalkan kesan terus berkembang maju,” kata Encik Masagos.
NCSS juga akan bekerjasama dengan agensi khidmat sosial dan memberikan sokongan lanjut melalui Skim Kemampanan Transformasi apabila badan-badan tersebut bersedia untuk mengambil langkah seterusnya dalam membina keupayaan penilaian.
Agensi yang menjalankan program yang memberi impak juga boleh menerima pembiayaan tambahan jika mereka memenuhi kriteria bagi skim geran seperti Dana Perkongsian 4ST dan Cabaran Presiden.
Semasa ucapannya, Encik Masagos juga berkata NCSS akan membantu agensi dan karyawan dalam sektor sosial memanfaatkan teknologi untuk mencapai kesan lebih besar, sedang tugasan dan tahap kerumitan kerja mereka meningkat.
Beliau memetik penggunaan Scribe – alat berkuasa kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan oleh Produk Pemerintah Terbuka (OGP) – yang mampu menukar audio perbualan kepada teks dan memberi ringkasan perbualan tersebut dalam pelbagai bahasa termasuk Inggeris, Melayu dan Singlish, sebagai contoh.
“Dengan sistem dan alat baru ini, kami boleh memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan jangkauan sektor kami, meningkatkan kesan dan memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada mereka yang memerlukan,” kata Encik Masagos.
Menurut beliau, sehingga hari ini, terdapat lebih 20,000 kakitangan yang diambil bekerja dalam pelbagai peranan dalam sektor perkhidmatan sosial.
Ia merangkumi peranan seperti pekerja sosial, ahli psikologi, ahli terapi pekerjaan dan pertuturan, pegawai belia dan karyawan yang bertugas dalam peranan korporat.
Semasa ucapannya, Encik Masagos memberi jaminan bahawa pemerintah tetap beriltizam untuk menyokong mereka yang bekerja dalam sektor perkhidmatan sosial, termasuk menyemak kadar gaji dan melibatkan majikan untuk memastikan pematuhan kepada kadar gaji.
Menurutnya, ini penting agar sektor perkhidmatan sosial dapat mengekalkan karyawan berdedikasi dan dapat kekal berdaya saing supaya lebih ramai karyawan berbakat akan berminat menyertai sektor tersebut.
“Hari ini, sekitar 80 peratus pekerja dalam sektor perkhidmatan sosial dibayar gaji mengikut garis panduan.
“Kami akan terus meningkatkan karyawan perkhidmatan sosial kami pada setiap peringkat kerjaya mereka, daripada menawarkan jalan dan geran untuk pembangunan karyawan dan peningkatan kemahiran, kepada... mewujudkan persekitaran kerja yang menyokong dan memperkasa (pekerja),” kata Encik Masagos.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg