Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) akan memperkenalkan rangka kerja pelesenan bagi meningkatkan mutu penjagaan di Rumah Kediaman Sosial (SRH) demi memperbaiki keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan penduduk.
Mengumumkan demikian semasa perbahasan Belanjawan kementeriannya pada 10 Mac, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad berkata MSF telah memperkenal Rang Undang-Undang SRH.
Menurut rang undang-undang tersebut, SRH termasuk rumah kanak-kanak, rumah perlindungan, rumah kebajikan dan rumah individu kurang upaya dewasa.
“Saban tahun, MSF bekerjasama rapat dengan SRH untuk meningkatkan standard penjagaan bagi penduduk.
“Di bawah Rang Undang-undang ini, kami akan mengkodifikasikan kemajuan baik yang dicapai oleh sektor ini melalui rejim pelesenan baru, dengan keperluan yang jelas untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelanggan.
“Pada masa yang sama, Rang Undang-undang ini memperuntukkan kemungkinan SRH berkembang memenuhi keperluan penduduk, di mana profil pelanggan yang berbeza boleh ditempatkan bersama,” kata Encik Masagos.
SRH ialah kemudahan yang menyediakan penginapan kepada mereka yang memerlukan penjagaan, sokongan dan campur tangan sosial, seperti individu kurang upaya dan individu dewasa yang melarat.
Beliau menambah bahawa MSF dan Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) juga akan melabur dalam menyokong, melatih dan membina keupayaan agensi perkhidmatan sosial (SSA) yang mengendalikan rumah-rumah itu.
Menyentuh tentang sektor khidmat sosial yang dinamik dan responsif kepada keperluan keluarga yang semakin berkembang, Encik Masagos berkata ini boleh dicapai dengan memperkukuh sektor itu.
MSF akan memperkenal pindaan kepada Akta NCSS untuk mencermin dan mengukuhkan peranan NCSS sebagai pemaju sektor dan mengukuhkan tadbir urusnya.
Sebagai pemaju sektor, tumpuan NCSS adalah untuk memperkukuh pemberian khidmat berpusatkan pengguna; membina keupayaan organisasi dan profesional badan-badan yang berkhidmat dalam sektor ini; dan membangunkan ekosistem perkhidmatan sosial yang lebih kukuh.
Pindaan yang dicadangkan akan memberi mandat kepada NCSS untuk terus membina keupayaan sektor, mengukuhkan pemberian khidmat dan membina ekosistem yang lebih kukuh.
Ini termasuk memastikan bahawa lembaga pengarahnya terdiri daripada individu dengan gabungan kemahiran, pengetahuan dan pengalaman yang optimum untuk memacu hala tuju strategik NCSS.
MSF juga akan mengubah perkhidmatan yang ditawarkan untuk memenuhi keperluan keluarga yang berubah-ubah dan menjadi lebih responsif untuk menyokong mereka yang mempunyai keperluan kompleks, kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg