Sentuhan insani kekal penting sedang agensi perkhidmatan masyarakat dan karyawan mempertingkat usaha memanfaat teknologi digital baru bagi mempermudah kerja dan perlaksanaan program.
Demikian dinyatakan oleh mantan Menteri Perpaduan, Penyepaduan Masyarakat dan Keluarga Maghribi, Dr Aawatif Hayar.
Kreativiti merupakan ciri kemanusiaan yang tidak boleh diganti oleh robot atau teknologi, kata beliau semasa perbincangan panel yang diadakan semasa Sidang Puncak Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) pada 2 Julai di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands.
“Walaupun anda mempunyai penyelesaian kecerdasan buatan (AI), kadangkala adalah lebih baik untuk mengekalkan penyelesaian ‘manusia’. Ini sangat penting. Jangan gunakan pendigitalan 100 peratus kerana kita masih memerlukan kecerdasan manusia.
“Kadangkala, anda menggunakan AI untuk melakukan segala-galanya, tetapi anda terlupa melibatkan unsur manusia dalam usaha mendekati masyarakat.
“Kita perlu melatih karyawan untuk melibatkan diri dalam masyarakat,” kata Dr Hayar.
Menurutnya, kebergantungan yang berlebihan terhadap teknologi boleh menyebabkan individu dan sesetengah golongan berasa terasing, memandangkan manusia kini lebih banyak menggunakan komputer dan mempunyai kemudahan khidmat dalam talian.
“Anda tidak mempunyai hubungan sosial. Kreativiti manusia akan berkurangan. Jadi kita perlu mempunyai hubungan sesama manusia,” ujarnya.
Dr Hayar berkata demikian sebagai menjawab soalan moderator dan Ketua Pengarah Eksekutif NCSS, Cik Tan Li San, yang bertanya bagaimana penggubal dasar boleh menyokong rakyat, karyawan perkhidmatan masyarakat dan agensi mengurangkan risiko yang timbul daripada penggunaan teknologi digital.
Pengarah Program bagi Perkhidmatan Masyarakat, Majlis Khidmat Sosial Australia (ACOSS), Encik Rob Sturrock, bersetuju dengan Dr Hayar mengenai kepentingan “elemen pemerkasaan manusia” dalam menyampaikan bantuan perkhidmatan masyarakat.
Beliau memberikan contoh bagaimana pemerintah terdahulu di Australia menjalankan khidmat melunaskan hutang bagi penerima sokongan pendapatan, dengan menggunakan alat automatik yang membahagikan pendapatan yang mereka terima sepanjang setahun untuk menentukan mereka mempunyai hutang yang perlu dibayar kepada pemerintah.
“Itu tidak sah. Ia tidak betul. Ia menyebabkan kesusahan yang luar biasa kepada golongan yang sangat mudah terjejas. Kita tidak boleh menggantikan manusia yang membuat keputusan.
“Kita memerlukan pengamatan manusia yang beretika apabila kita menggunakan alat digital dan AI untuk membuat keputusan, sama ada keputusan perkhidmatan atau keputusan pembiayaan atau keputusan pembayaran, terutamanya kepada golongan yang lebih mudah terjejas,” kata Encik Sturrock.
Ketua Kumpulan Saluran dan Pendigitalan, Komunikasi Strategik dan Jenama UOB, Cik Janet Young, pula menambah bahawa kunci dalam memanfaatkan AI bukan hanya untuk mereka bentuk produk atau khidmat untuk pengguna, tapi untuk “mereka bentuk bersama orang ramai”.
Ini, katanya, akan membolehkan AI melakukan lebih banyak kerja menjana dan menyepadukan data ke dalam cerapan, dan membebaskan masa untuk manusia membuat tugasan dan keputusan penting.
“Pertimbangan manusia untuk membuat keputusan berdasarkan data penting, dan kita harus menumpukan sumber kita, masa kita, dan memastikan agensi perkhidmatan sosial dan karyawan kita mahir dan terlatih (dalam bidang ini).
“Teknologi membantu untuk mengukuhkan lagi keupayaan manusia dan menjadikan kita lebih pantas, lebih baik dan lebih mampu bertahan bagi tempoh yang lebih lama,” kata tambah Young.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg