Satu dana yang akan menyediakan bantuan kewangan segera kepada pengamal seni dikir barat dan keluarga mereka ditubuhkan, iaitu yang pertama seumpamanya buat masyarakat seni kebudayaan tersebut.
Daya usaha yang gelar Gabungan Prihatin itu lahir hasil kerjasama antara Gabungan Kumpulan Dikir Barat Singapura (SDBF) dengan pertubuhan impak sosial Vision21, dengan memanfaatkan derma yang disumbang masyarakat.
Bagi menandakan pelancaran usaha itu, sebuah Memorandum Persefahaman (MOU) ditandatangani pada 14 Jun di Taqwa, Woods Square, Woodlands.
Turut hadir ialah ahli Gabungan, pemimpin kebudayaan dan anggota masyarakat.
Perjanjian tersebut menggariskan komitmen bersama untuk melindungi kesejahteraan artis yang terus menghidupkan budaya dikir barat dan memastikan tiada pengamal ketinggalan disebabkan kesukaran hidup yang melanda secara tiba-tiba, kata SDBF dalam satu kenyataan.
Menerusi dana tersebut, mereka yang berdepan dengan kecemasan perubatan, keluarga atau pekerjaan akan menerima geran sekali dengan segera.
Dananya pula akan disokong sumbangan awam serta kempen mengumpul dana menerusi acara.
Antaranya ialah menerusi, Malam Anugerah Dikir, gala anugerah SDBF, yang akan berlangsung pada Februari 2026.
Ssebahagian hasil kutipan tiket dan kegiatan akan disalurkan langsung ke dana tersebut.
Pengarah Projek Gabungan Prihatin, Encik Firdaus Fid Faisal, berkata Gabungan Prihatin mencerminkan nilai yang dipegang persatuan tersebut.
“(Perkataan) ‘Gabungan’ melambangkan kesatuan hati, tenaga dan tekad, manakala ‘prihatin’ ialah kesediaan untuk bertindak.
“Dengan pelancaran ini, kami berjanji bahawa seni kita bukan sahaja gah di pentas, bahkan juga menyinari kehidupan insan-insan di belakangnya,” katanya.
Presiden Persatuan Kebajikan Vision21, Encik Muhammed Zacree Mohd Zain, pula berkata bahawa budaya dan belas ihsan perlu berjalan serentak.
“Dengan menyokong inisiatif ini, kami menegaskan lagi komitmen kami untuk berdiri bersama masyarakat dikir barat – bukan sahaja dalam meraikan seni mereka bahkan juga dalam perpaduan sewaktu masa-masa memerlukan,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg