Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dana masyarakat bantu pekerja migran berpenyakit kritikal dilancar

Bagi beri bantuan kewangan segera kepada pekerja migran didiagnosis hidap penyakit kritikal, tidak mampu bayar kos rawatan
Dec 6, 2024 | 6:58 PM
Dana CritiCare (Rawatan Kritikal) Pekerja Migran atau ‘Migrant Worker CritiCare Fund’ yang dilancarkan pada 6 Disember, akan memastikan semua pekerja migran bergaji rendah boleh mengakses sokongan bagi penyakit serius seperti barah dan serangan jantung. 
Dana CritiCare (Rawatan Kritikal) Pekerja Migran atau ‘Migrant Worker CritiCare Fund’ yang dilancarkan pada 6 Disember, akan memastikan semua pekerja migran bergaji rendah boleh mengakses sokongan bagi penyakit serius seperti barah dan serangan jantung.  - Foto ST

Sebuah dana yang diterajui masyarakat – Dana CritiCare (Rawatan Kritikal) Pekerja Migran (Migrant Worker CritiCare Fund) – telah dilancarkan pada 6 Disember, menjelang Hari Pekerja Migran Antarabangsa pada 18 Disember.

Dana itu bertujuan memberi bantuan kewangan segera kepada pekerja migran yang didiagnosis menghidap penyakit kritikal tetapi kurang mampu membayar kos rawatan perubatan.

Idea mewujudkan dana itu tercetus daripada pengalaman peribadi mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) yang juga usahawan sosial, Cik Anthea Ong, dan Encik Vincent Ng, yang sebelum ini membantu pekerja migran melancarkan kempen pendanaan awam bagi membiayai rawatan mereka.

Dana itu dilancarkan di The Foundry, iaitu pangkalan bagi pertubuhan sosial secara kolektif mencetuskan idea, memacu inovasi berkesan dan membina komuniti, yang terletak di 11 Prinsep Link.

Antara yang hadir ialah Encik Fazley Elahi, 36 tahun, seorang pekerja migran asal Bangladesh, yang disahkan menghidap barah usus besar, atau kolon, dan hati.

Encik Fazley bekerja di Singapura selama 15 tahun sebelum mendapat tahu beliau menghidapi penyakit itu.

Menurut Encik Fazley, beliau dibolehkan terus bekerja selepas diagnosis buat kali pertama dengan kos rawatannya yang tinggi di Singapura dibiayai seorang penderma.

“Namun, apabila penyakit itu berulang dan saya tidak lagi dapat bekerja, dana yang dikumpul menerusi kempen bantuan beramai-ramai atau crowdfunding, membantu saya menjalani rawatan di Bangladesh.

“Bantuan itu juga menyediakan pendapatan gantian bagi keluarga saya,” kata Encik Fazley, yang terkenal dalam masyarakat pekerja migran sebagai pengasas Pameran Tahunan Kebudayaan Migran.

Menurut Cik Ong, insurans wajib bagi pekerja migran tidak melindungi rawatan pesakit luar hospital seperti kemoterapi atau penjagaan di luar negara sekiranya mereka dihantar pulang.

Memberikan pandangannya, Pengarah Segmen Pekerja Migran NTUC, Encik Michael Lim, pula berkata:

“Walaupun majikan bertanggungjawab ke atas kos perubatan pekerja mereka, Pusat Pekerja Migran (MWC) terus berdepan kes pekerja menghadapi bil perubatan melebihi $60,000, atau syarikat lebih kecil terkial-kial untuk menampung pembayaran secara bersama.”

Timbul pula cabaran lain apabila pekerja dihantar pulang dan dibiarkan tanpa penjagaan atau sokongan yang wajar.

“Memandangkan cabaran ini, MWC menggalak pekerja migran mengambil langkah proaktif dalam melindungi diri dan keluarga mereka melalui program MWC.

“Kami juga menyeru majikan supaya komited terhadap kebajikan pekerja migran mereka,” tambah Encik Lim.

Menurut satu kenyataan dana itu pada 6 Disember, ia akan memastikan semua pekerja migran bergaji rendah dapat mengakses sokongan bagi penyakit tidak berkaitan dengan pekerjaan mereka, seperti barah dan serangan jantung.

Diuruskan oleh Ray of Hope, sebuah Institusi Bertaraf Awam (IPC), dana itu diselia oleh majlis sukarelawan penjagaan kesihatan, pemimpin masyarakat sivil dan agensi pekerjaan.

Setiap kes dinilai secara individu untuk memastikan pengagihan adil berdasarkan keperluan kewangan dan tahap kesegeraan.

Selain bantuan kewangan, dana itu akan mengumpul data untuk menyokong pembaharuan sistemik dan produk insurans masa depan bagi memupuk kerjasama antara rakyat Singapura dengan pekerja yang bantu membangunkan negara ini.

Hingga Jun 2024, terdapat 1.1 juta pemegang permit kerja Singapura, 300,000 daripada mereka adalah pembantu rumah manakala 440,000 adalah pekerja migran dalam sektor binaan, limbungan kapal dan pemprosesan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg