Lebih $74 juta diberikan Dana Masyarakat untuk membiayai program perkhidmatan sosial dan masyarakat pada 2024, jumlah pembiayaan tertinggi sejak 2019.
Dana $74.1 juta itu menunjukkan peningkatan lebih 7 peratus berbanding 2023 dan menyokong lebih 94,000 orang, iaitu peningkatan 15 peratus daripada 2023, lapor The Straits Times (ST).
Daripada jumlah keseluruhan tersebut, lebih $13 juta disalurkan untuk menyokong individu dengan keperluan kesihatan mental, peningkatan lebih 40 peratus berbanding 2023.
Ini sebagai tindak balas terhadap permintaan yang semakin meningkat untuk sokongan kesihatan mental, kata badan amal itu dalam laporan impak tahunan yang dikeluarkan pada 8 Oktober.
Menurut laporan itu, pada 2024, untuk tahun keenam berturut-turut, gejala bunuh diri adalah penyebab utama kematian dalam kalangan belia berusia dari 10 hingga 29 tahun.
Dana Masyarakat, cabang kedermawanan Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS), menyokong 13 agensi perkhidmatan sosial yang membantu individu dengan keperluan kesihatan mental, yang menyediakan khidmat seperti talian bantuan bunuh diri.
Laporan itu mendapati hampir 90 peratus pemanggil berasa kurang tertekan selepas menghubungi talian bantuan tersebut.
Bagi program yang membantu individu dengan keperluan kesihatan mental, laporan itu menunjukkan 73 peratus penerima bantuan mendapat pekerjaan dan dapat kekal bekerja sekurang-kurangnya selama enam bulan.
Sekitar separuh daripada $74.1 juta disalurkan untuk keperluan kritikal seperti individu dengan keperluan kesihatan mental, kanak-kanak dengan keperluan khas, dan orang dewasa kurang upaya.
Laporan tersebut, yang mengumpul data daripada pertubuhan yang disokong, turut mendapati lebih 90 peratus individu dengan ketakupayaan yang menjalani pengurusan kes dan kaunseling dapat memenuhi sekurang-kurangnya separuh keperluan mereka, seperti isu keluarga, sosial atau perubatan.
Keperluan itu termasuk mengakses sumber untuk diri mereka sendiri seperti kaunseling, alat bantuan, dan kumpulan sokongan.
Dana Masyarakat menyokong 25 sekolah pendidikan khas pada 2024.
Lebih 8,000 kanak-kanak dengan keperluan khas menerima pendidikan dan latihan, iaitu sekitar 7 peratus lebih banyak berbanding 2023.
Sekitar 850 warga emas menerima kaunseling melalui inisiatif yang disokong oleh Dana Masyarakat pada 2024, lebih daripada tiga kali ganda berbanding 2023.
Laporan itu dikeluarkan semasa majlis anugerah tahunan Dana Masyarakat di Grand Hyatt Singapore, di mana DBS Bank, Singtel, SP Group dan UOB menerima penghargaan tertinggi atas usaha mereka menderma, melakukan kerja sukarela, dan melaksanakan amalan pekerjaan terangkum.
Presiden Tharman Shanmugaratnam menghadiri majlis tersebut, bersama Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Undang-Undang), Encik Eric Chua.
Sebanyak 169 penderma dan rakan kongsi diiktiraf melalui 224 anugerah pada acara itu.
Selain membiayai program perkhidmatan sosial, Dana Masyarakat turut membantu agensi perkhidmatan sosial meningkatkan keupayaan pertubuhan mereka.
Dalam kenyataan pada 8 Oktober, Dana Masyarakat menyatakan NCSS bekerjasama dengan rakan seperti Pusat Sukarelawan dan Kedermawanan Nasional bagi membangunkan garis panduan bagi perniagaan untuk lebih memahami usaha kedermawanan mereka melalui metrik impak sosial.
NCSS kini mempunyai rangka kerja penilaian sektor untuk membantu agensi perkhidmatan sosial melaporkan keputusan daripada program mereka dengan lebih baik.
Encik Chua berkata rangka kerja itu diperkenalkan dalam memastikan ketekalan dalam pengukuran hasil program di seluruh sektor perkhidmatan sosial, sekali gus memudahkan agensi menilai kemajuan mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg