Dana Masyarakat (ComChest) meningkatkan sokongannya terhadap kesihatan mental dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan pembiayaan bagi program untuk kesejahteraan minda ditambah daripada $9.11 juta pada 2022 kepada $13.35 juta pada 2024.
Ini dikongsi Presiden Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS), Cik Anita Fam, dalam satu acara berjalan kaki amal tahunan, Community Chest Heartstrings Walk 2025, yang diadakan di Marina Bay Sands pada 6 September.
Lebih 3,000 peserta menghadiri acara tersebut demi mengumpul dana.
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, memulakan acara maraton yang melibatkan pasukan korporat, agensi awam dan masyarakat.
Cik Fam, menekankan kepentingan pelaburan dalam kesihatan mental, dengan mengamati hasil Kajian Mutu Hidup NCSS 2025, yang meneliti kesihatan mental sebagai satu cabang keprihatinan.
Kajian itu, jelasnya, mendapati bahawa 26 peratus responden mengalami tanda kemurungan atau keresahan ringan, 19 peratus sederhana dan tujuh peratus pula tahap amat membimbangkan.
“Penyelidikan terbaru kami mengesahkan mengapa pelaburan tambahan ini amat penting. Mutu hidup merosot dengan tahap penyakit tanda yang kian teruk, menunjukkan keperluan penjagaan di setiap peringkat pemulihan. Inilah sebabnya sokongan anda terhadap Dana Masyarakat memberi perbezaan,” katanya.
Dana Masyarakat menyokong 13 agensi khidmat sosial, daripada campur tangan awal hinggalah kepada sokongan krisis.
Antaranya ialah, Program Campur Tangan Bunuh Diri yang dikendalikan Samaritans of Singapore, yang mana lebih 89 peratus pemanggil melaporkan berasa kurang tertekan selepas menggunakan talian bantuan tersebut.
“Sokongan kesihatan mental kini lebih penting daripada sebelumnya. Dengan kerjasama erat sektor korporat dan masyarakat, serta sokongan berterusan, kita membolehkan pemulihan yang bermakna dan mengangkat kehidupan (masyarakat),” kata Cik Fam.
Usaha Dana Masyarakat 2025 dijangka memberi manfaat kepada lebih 82,000 individu melalui lebih 200 program khidmat sosial.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg