Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keberanian penduduk Nee Soon perkukuh iltizam Syed Harun

Sep 5, 2025 | 5:30 AM
Singapura, Anggota Parlimen, Syed harun Alhabsyi, GRC Nee Soon
Dr Syed Harun Alhabsyi, Anggota Parlimen (AP) kali pertama bagi GRC Nee Soon, teruja melihat keberanian penduduknya setiap kali mereka hadiri sesi bertemu penduduk (MPS) bersamanya di Blok 461 Yishun Avenue 6. - Foto fail

Setiap penduduk yang memasuki ruang di mana sesi bertemu penduduk (MPS) diadakan meninggalkan kesan yang berpanjangan bagi diri Dr Syed Harun Alhabsyi.

Seorang bapa yang mengunjungi beliau di Blok 461 Yishun Avenue 6, tempat MPS diadakan, dengan harapan akan mendapatkan pekerjaan yang sesuai dan bukan semata-mata ingin berhenti menganggur.

Namun, setelah diperiksa keadaan bapa itu, ternyata pemadanan pekerjaan yang sesuai mungkin tidak mencukupi untuk membantunya mengatasi masalah yang dihadapi di rumah kerana ia menjejas seluruh keluarganya.

Kisah tersebut merupakan antara contoh yang menguatkan tekad Dr Syed Harun, 40 tahun, untuk memberikan bantuan holistik kepada penduduknya, termasuk melihat sendiri keadaan hidup mereka.

Menyifatkan sesi MPS sebagai “satu bentuk realiti yang berbeza”, AP kali pertama bagi GRC Nee Soon itu menekankan kepentingan untuk menangani isu penduduknya secara menyeluruh.

“Katakan jika seorang bapa datang kepada anda kerana masalah pekerjaan, anda bukan sahaja melihat daripada sudut pandang seorang bapa untuk menyelesaikan isu pekerjaannya.

“Malah, anda juga melihat bagaimana ia memberi kesan kepada pasangannya, hubungannya dengan keluarga, sama ada anak-anaknya terkesan dalam apa jua cara, dan bagaimana anda boleh menggerakkan keluarga itu untuk memperkukuh peluang bagi anak-anaknya,” jelas Dr Syed Harun.

Apabila ditanya tentang isu yang menjadi keprihatinan penduduknya, Dr Syed Harun berkongsi dengan Berita Harian (BH) bahawa setiap isu yang dihadapi adalah berbeza dan ia perlu ditangani dengan cara tersendiri.

Menjelaskan pengalaman MPS yang telah beliau kendalikan sejak 5 Mei, Dr Syed Harun berkata meskipun mempunyai pengalamannya dari sudut kerja kemasyarakatan, sukarelawan dan merawat pesakit di klinik, kededuanya berbeza bak langit dan bumi.

“Pengalaman sukarela saya adalah dengan pertubuhan masyarakat dan pengalaman saya yang lain dalam jenis rawatan klinikal.

“Namun apa yang menarik perhatian saya di MPS ialah bagaimana saya dapat merasai perjuangan dan perasaan yang dialami penduduk saya.

“Dalam ruang itu, anda benar-benar dapat merasakan perjuangan seharian mereka dan itu memberi saya semangat baru untuk membantu mereka,” kata Dr Syed Harun, yang juga mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP).

Dr Syed Harun merupakan sebahagian daripada pasukan GRC Nee Soon yang turut terdiri daripada Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, serta tiga muka baru, Encik Jackson Lam, Cik Lee Hui Ying dan Cik Goh Hanyan.

Beliau berkata tatkala seorang penduduk datang untuk bertemu dengan AP, ia sudah dianggap satu langkah yang berani.

“Ramai di antara penduduk mungkin akan mengatakan mereka memerlukan sesuatu daripada AP mereka setelah berasa terdesak.”

“Dan apabila mereka datang berjumpa saya, maka anda sedar bahawa mereka sebetulnya benar-benar memerlukan bantuan.

“Jadi apabila mereka datang, bagi saya ia adalah sesuatu yang mesti diambil serius,” katanya.

Justeru, keberanian penduduknya menguatkan lagi iltizamnya untuk memenuhi tanggungjawabnya sebaik mungkin.

Beliau akur bahawa adakalanya bantuan yang diperlukan bukan sesuatu yang dapat dihulurkan dengan segera dan masalah itu tidak dapat diselesaikan dengan segera.

Memberi contoh, beliau berkata jika penduduknya menghadapi isu kewangan, individu berkenaan dapat dirujuk kepada Pejabat Khidmat Sosial (SSO) dan Pusat Khidmat Keluarga (FSC).

Namun, jika isu itu berkenaan perbandaran atau prasarana, ia akan memakan masa dan memerlukan kerjasama pelbagai agensi.

Justeru, pemahaman yang beliau perolehi ketika MPS akan memaklumkan cara beliau mendekati peranannya sebagai AP di Parlimen apabila ia bersidang pada 5 September.

Beliau ingin memberi tumpuan terhadap peluang pendidikan, penjagaan kesihatan, khususnya kesihatan mental, dan isu kos sara hidup, antara lain.

Pembukaan Parlimen baru selepas pilihan raya umum (GE) secara tradisinya bermula dengan pemilihan Speaker Parlimen.

Ini akan berlaku pada 5 September, berikutan GE yang diadakan pada 3 Mei.

AP kemudiannya akan mengangkat sumpah, dan Presiden Tharman Shanmugaratnam dijadual menyampaikan ucapan kepada Parlimen ke-15.

Ucapan Presiden akan menetapkan agenda dan rancangan pemerintah untuk tempoh lima tahun.

Dr Syed Harun juga akan menggalas tanggungjawab sebagai Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara) mulai 1 Oktober 2025.

Mengulas tentang peranan barunya, beliau berkata:

“Tugas di Kementerian kekal penting dalam melengkapkan generasi kita yang akan datang untuk menghadapi kerumitan dan cabaran masa depan, dan dalam menjadikan Singapura sebagai rumah yang indah dan bandar yang bertenaga untuk semua.

“Kerja itu sangat penting bagi saya secara peribadi dan saya akan menggunakan pengalaman profesional, sosial dan masyarakat saya sendiri sambil berusaha untuk memastikan hasil dasar yang baik dan jangkauan ke tahap terakhir,” ujar Dr Syed Harun.

Di samping itu, Dr Syed juga mengetuai Pasukan Petugas Pembangunan Belia Melayu/Islam bagi memperkasakan belia Melayu/Islam, bersama Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, yang diumumkan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim pada 24 Ogos.

Pengalaman sukarela saya adalah dengan pertubuhan masyarakat dan pengalaman saya yang lain dalam jenis rawatan klinikal. Dalam ruang itu (sesi bertemu penduduk), anda benar-benar dapat merasakan perjuangan seharian mereka dan itu memberi saya semangat baru untuk membantu mereka.
Dr Syed Harun Alhabsyi, AP GRC Nee Soon.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg