Dahulu, beliau terkenal sebagai personaliti media yang menyampaikan berita dengan jelas dan lancar di kaca televisyen dan saluran radio.
Beliau juga kerap menyuarakan keprihatinan kaum wanita selaku Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), sambil memainkan peranan sebagai fairy godmother, atau penjaga, yang memberi harapan kepada kanak-kanak di pertubuhan Make-A-Wish Singapore.
Kini, Anggota Parlimen (AP) GRC East Coast, Cik Hazlina Abdul Halim, berharap beliau dapat membina daripada usaha-usaha tersebut – dengan menyuarakan keprihatinan penduduknya di Dewan Parlimen setelah beliau mengangkat sumpah pada 5 September.
Bercakap dengan Berita Harian (BH), Cik Hazlina, 40 tahun, berkata sebagai wakil rakyat, tanggungjawabnya adalah untuk mewakili semua lapisan masyarakat di GRC East Coast, khususnya di kawasan undinya di Fengshan, tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang.
Namun, bagi wajah baru Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang baru dipilih sejak Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), Cik Hazlina berkata beliau akan memberikan lebih tumpuan kepada beberapa golongan yang lebih memerlukan.
Ini termasuk warga emas, wanita, belia, kanak-kanak dan keluarga muda yang sedang membina kehidupan baru selepas mendirikan rumah tangga – lebih-lebih lagi jika mereka tergolong dalam isi rumah yang amat memerlukan.
Bagi golongan ini, Cik Hazlina berkata adalah penting bagi dirinya serta para relawan akar umbinya untuk menjadi tempat sandaran dan rujukan bagi mereka, bak kayu besar di tengah padang – tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan.
“Keluarga adalah barisan sokongan pertama bagi mereka tetapi kami akur ada golongan yang mungkin tidak mempunyai sokongan yang diperlukan.
“Jadi, saya fikir ia amat membantu jika kita dapat menggemblengkan masyarakat untuk menjadi sumber sokongan tambahan bagi mereka yang memerlukannya,” jelas Cik Hazlina.
Dengan kos sara hidup yang tinggi dan persekitaran sebuah negara yang semakin menua, Cik Hazlina menambah, beliau akur sesetengah warga emas di kawasan undinya yang mungkin patah kandar (hilang tempat bergantung).
Justeru, beliau berharap dapat meningkatkan sokongan dan mendampingi golongan itu agar mereka dapat melibatkan diri secara aktif sedang mereka meniti usia lanjut di kawasan yang sama, atau age-in-place, dan tidak berasa kesunyian.
“Kami mahu warga emas menua dengan bermaruah. Apabila saya membuat lawatan rumah ke rumah, saya akan tanya sama ada anak-anak mereka kerap kunjung mereka.
“Saya juga akan mengajak mereka untuk menyertai acara Jamuan Tengah Hari Bersama Warga Emas yang kami adakan,” kata Cik Hazlina.
Sejak memenangi GE2025, Cik Hazlina menambah bahawa beliau “sibuk di lapangan” bertemu penduduk dan pemimpin akar umbi untuk lebih mengenali kawasan Fengshan, dan keseluruhan GRC East Coast, serta untuk memahami kebimbangan mereka.
Namun, ketika ditanya sama ada beliau mempunyai beberapa idea atau inisiatif baru untuk penduduknya, Cik Hazlina berkata “masih awal lagi” dan beliau tidak mahu tergesa-gesa melakukan pembaharuan di estet yang mempunyai ramai warga emas itu.
Malah, bak jawi makan, dimamah dulu baru ditelan, Cik Hazlina berkata beliau ingin mendengar secara lebih luas daripada penduduk-penduduknya untuk memahami masalah-masalah yang mereka hadapi sebelum membuat sebarang keputusan.
“Saya ingin mendekati para penduduk dan mendengar terlebih dahulu sambil menyemak semula sumber-sumber yang sedia ada.
“Kemudian, saya akan melibatkan kumpulan-kumpulan yang berbeza untuk sama-sama mencari huraian, termasuk para penduduk untuk mengambil bahagian.
“Ia sesuatu proses yang akan mengambil masa, tetapi pokoknya, ia akan melibatkan lebih ramai penduduk untuk sama-sama membina tempat tinggal yang kami inginkan,” kata Cik Hazlina.
Buat masa ini, katanya, Fengshan mempunyai saluran WhatsApp yang mana penduduk boleh berhubung dengan relawan akar umbi.
Namun, lebih dari itu, Cik Hazlina berkata lebih banyak pendekatan lagi akan diteroka untuk mendekati penduduk.
Tambahnya, beliau juga kini lebih aktif di media sosial, khususnya di Instagram, yang mana para penduduk, lebih-lebih lagi golongan belia, dapat berhubung dengannya menerusi direct-message (DM) atau mesej secara langsung.
“Boleh e-mel saya, boleh DM saya. Saya sendiri yang membacanya,” ujar Cik Hazlina.
Selain usaha-usaha mendekati penduduknya seperti mengadakan lawatan rumah ke rumah dan menganjurkan acara kemasyarakatan di kelab masyarakat dan kolong blok – Cik Hazlina berharap beliau juga dapat mengadakan lebih banyak perjumpaan berskala kecil.
Perjumpaan berskala kecil, atau micro-engagement ini, diharapkan dapat memberikan penduduk peluang berkongsi aspirasi dan kebimbangan mereka, katanya.
“Saya menantikan lebih banyak peluang perjumpaan berskala kecil yang mana orang ramai dapat benar-benar berkongsi kebimbangan dan cadangan mereka.
“Bagi saya, adalah sangat penting untuk mendengar keprihatinan penduduk dengan lebih mendalam. Tidak kira sama ada perjumpaan berskala kecil atau yang tidak rasmi, sesi micro-engagement itu sangat penting bagi saya,” kata Cik Hazlina.
Melangkah ke Parlimen sebagai seorang AP, Cik Hazlina juga bakal menyandang peranan baru sebagai anggota Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, serta Pertahanan dan Ehwal Luar.
Ditanya tentang persiapannya untuk menggalas peranan-peranan itu, Cik Hazlina berkata “ia bukan perkara yang janggal” baginya, memandangkan beliau telah “sedikit sebanyak” memainkan peranan dalam bidang-bidang tersebut sebelum menyertai politik.
“Saya percaya pengalaman dan kepakaran saya sebelum ini berkecimpung dalam sektor-sektor seperti badan amal, budaya, ehwal awam dan pertubuhan antara agama dapat membawa nilai kepada peranan saya di Parlimen kelak.
“Saya amat teruja dengan amanah yang telah diberikan dan akan melakukan yang terbaik apabila Parlimen dibuka semula,” ujar Cik Hazlina.
Sebelum menyertai politik, Cik Hazlina, seorang mantan editor dan penyampai berita, pernah melibatkan diri dalam beberapa badan masyarakat, termasuk PPIS sejak 2012.
Beliau memimpin PPIS sebagai presidennya dari 2020 hingga 2024, dan melibatkan diri sebagai anggota lembaga pengarah di Mendaki dan Yayasan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) sejak 2021.
Antara lain, Cik Hazlina juga berkhidmat kepada penduduk sebagai kaunselor daerah bersama Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East dan juga sebagai anggota Dana Masyarakat serta Pergerakan Baik Budi Singapura (SKM).
Cik Hazlina, yang pernah bekerja sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Make-A-Wish Singapore, kini bertugas sebagai Naib Presiden Kanan di Teneo, sebuah syarikat perundingan sejak Mac.
Beliau juga pernah menyuarakan keprihatinannya terhadap nasib golongan wanita sebagai selaku Naib Presiden ke-2 Majlis Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO).
Pada 2016, semasa menghadiri Sesi Kerja Ketujuh Kumpulan Kerja Terbuka Mengenai Penuaan (OEWGA) di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat, beliau menyeru negara-negara untuk memberikan lebih banyak sokongan kepada wanita yang lebih tua.
Dalam ucapannya, beliau berkata golongan itu mungkin lebih terdedah kepada kemiskinan, berpunca daripada peningkatan jangka hayat, kos perubatan yang lebih tinggi dan simpanan persaraan yang lebih rendah atau tiada.
Memandang ke hadapan, Cik Hazlina berkata beliau juga berharap dapat menggunakan pengalamannya dalam sektor swasta untuk mengajak lebih ramai badan-badan korporat menyumbang kepada masyarakat.
Ini, katanya, adalah sikap ‘We-First’ atau ‘Kita Dahulu’ yang ingin beliau terapkan dalam kalangan rakan-rakan korporatnya untuk saling membantu warga Singapura, khususnya penduduk GRC East Coast, yang memerlukan sedang syarikat-syarikat meraih keuntungan.
“Saya ingin mengajak perniagaan-perniagaan untuk menjadi sebahagian daripada impak dan transformasi sosial.
“Terdapat banyak modal dalam pasaran. Soalannya, bagaimana ia boleh dilakukan dan digunakan untuk melakukan kebaikan oleh perniagaan?
“Untuk negara berkembang maju, masyarakat juga mesti berkembang maju. Justeru, banyak potensi yang boleh kita teroka bersama perniagaan,” kata Cik Hazlina.
Cik Hazlina merupakan sebahagian daripada pasukan PAP, yang diketuai Menteri Undang-Undang, Encik Edwin Tong, yang memenangi GRC East Coast menentang Parti Pekerja (WP) dengan 58.76 peratus undi semasa GE2025.
Pasukan tersebut turut merangkumi Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How; Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash; dan Timbalan Speaker, Cik Jessica Tan.
“
Saya percaya pengalaman dan kepakaran saya sebelum ini berkecimpung dalam sektor-sektor seperti badan amal, budaya, ehwal awam dan pertubuhan antara agama dapat membawa nilai kepada peranan saya di Parlimen kelak. “Saya amat teruja dengan amanah yang telah diberikan dan akan melakukan yang terbaik apabila Parlimen dibuka semula.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg