Tiga bulan selepas tumpahan minyak mencemari pantai Singapura, Dana Pampasan Pencemaran Minyak Antarabangsa (IOPC) telah menerima kira-kira 60 tuntutan bagi kerosakan yang disebabkan oleh nahas itu.
Singapura ialah ahli Dana IOPC, iaitu dua organisasi antara pemerintah yang menyediakan pampasan kewangan untuk pencemaran minyak yang timbul akibat tumpahan minyak kapal tangki di negara anggota.
Berucap kepada The Straits Times (ST) pada 17 September, pengarah IOPC Funds, Encik Gaute Sivertsen, berkata beliau tidak menjangka jumlah nilai tuntutan terhadap dana untuk insiden itu melebihi $355 juta.
Terdapat had $8 juta untuk tuntutan yang boleh dibuat terhadap syarikat insurans Marine Honor, kapal tangki yang menumpahkan minyak di perairan Singapura apabila ia dilanggar oleh bot pengorek pada 14 Jun. Selebihnya, tuntutan sehingga $355 juta boleh dikemukakan terhadap Dana IOPC melalui Dana 1992.
Encik Sivertsen berkata, badan pentadbir Dana IOPC akan bertemu di London pada minggu pertama November untuk membincangkan pampasan bagi kejadian itu, dan pembayaran akan dibuat kepada pihak menuntut yang sah selepas persetujuan diberikan oleh jawatankuasa eksekutif Dana 1992.
Pada 14 Jun, Vox Maxima dari Belanda kehilangan kawalan enjin dan stereng secara tiba-tiba dan melanggar kapal tangki Marine Honor dari Singapura, menyebabkan 400 tan minyak bocor ke laut berhampiran Terminal Pasir Panjang.
Pengurus tuntutan IOPC Funds, Encik Ali Kielany, berkata antara 60 tuntutan yang dikemukakan, kebanyakannya adalah daripada syarikat insurans Marine Honor; British Marine, yang mengatur bahagian pertama operasi pembersihan tumpahan minyak sejurus selepas kejadian itu; serta individu persendirian yang mengalami kerosakan pada kapal layar dan dermaga mereka.
Encik Sivertsen menyatakan sehingga kini, Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) dan agensi negara lain belum memfailkan tuntutan mereka terhadap Dana IOPC untuk operasi pembersihan berikutnya.
Lembaga Taman Negara, Agensi Alam Sekitar Negara dan Perbadanan Pembangunan Sentosa turut terlibat dalam usaha pembersihan.
Memetik kes luar negara yang lalu, di mana masa yang panjang diperlukan untuk mengumpul dokumen dan mengira kos, Encik Sivertsen berkata kebanyakan tuntutan yang dibuat oleh pemerintah boleh mengambil masa lebih daripada setahun untuk diserahkan kepada Dana IOPC.
Walaupun Dana IOPC mula menerima tuntutan pampasan untuk kejadian ini dari Ogos, Encik Sivertsen berkata, pihaknya menjangkakan kebanyakan tuntutan akan dibentangkan dalam beberapa bulan akan datang.
Kerja-kerja pembersihan telah selesai pada September ini, dengan Pantai Tanjong Sentosa menjadi yang terbaru dibuka semula.
Menurutnya lagi, memfailkan tuntutan terhadap Dana IOPC harus menjadi “proses yang mudah” di Singapura kerana bukti didokumenkan dengan baik dan dapat mempercepatkan proses penilaian dan penyelesaian.
Dana IOPC akan membayar kos yang berkaitan dengan kemalangan itu dan mahu “memberi jaminan bahawa kerosakan yang dialami akibat tumpahan minyak akan dibayar pampasan oleh sistem ini”, tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg