Pantai terakhir daripada tiga pantai di Pulau Sentosa yang terjejas akibat tumpahan minyak besar pada Jun, kini bersedia mengalu-alukan pengunjung yang ingin berenang dan melakukan kegiatan laut.
Pantai Tanjong, yang paling terjejas akibat tumpahan minyak itu, dibuka semula selepas pemantauan berkala menunjukkan mutu air telah kembali ke paras normal dan stabil, kata Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) dalam satu kenyataan pada 3 September.
“Ini menandakan kesemua pantai di Pulau Sentosa telah dibuka semula sepenuhnya,” kata SDC.
Ia melahirkan rasa terima kasih kepada semua pekerja, sukarelawan, peniaga di pulau itu dan agensi rakan kongsi yang terlibat dalam kerja pembersihan dan pemulihan tersebut, lapor The Straits Times.
“Kejayaan pembukaan semula Pantai Tanjong tiga bulan lebih awal dari yang dijangkakan adalah bukti usaha bersama dan kerjasama erat antara pelbagai agensi negara,” tambah SDC.
Pantai Siloso di Sentosa dibuka semula pada 3 Ogos, manakala Pantai Palawan pula dibuka semula pada 17 Ogos.
Kegiatan air di pantai-pantai di Sentosa, perairan Selatan dan Taman East Coast digantung selepas sebuah bot melanggar sebuah kapal di Terminal Pasir Panjang pada 14 Jun, mengakibatkan tumpahan minyak yang menjejas sebahagian besar kawasan laut di sekitar Singapura.
Insiden itu melibatkan bot pengorek berbendera Belanda, Vox Maxima, dan kapal bunker berbendera Singapura, Marine Honour, yang tidak bergerak.
Walaupun pantai di Taman East Coast telah selesai dibersihkan, tidak semua kegiatan air mendapat lampu hijau untuk disambung semula di situ.
Lembaga Taman Negara (NParks) berkata dalam catatan Facebook pada 11 Ogos bahawa pelawat ke taman itu boleh menyambung semula “sukan air tanpa kontak utama” – yang melibatkan sentuhan minimum dengan air – seperti berkayak.
Tetapi NParks menasihatkan orang ramai agar tidak berenang atau melakukan kegiatan air kontak utama seperti wakeboarding (sukan papan lungsur air) dan dayung berdiri di perairan itu.
Setiausaha Parlimen Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), Encik Baey Yam Keng, menulis dalam catatan Facebook pada 11 Ogos bahawa berenang hanya boleh dilakukan apabila mutu air stabil.
“Jika anda ingin berenang, pergi ke Pantai Changi, Pantai Siloso atau Pulau Kusu,” katanya.
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) juga telah membenarkan sukan laut disambung semula di Pulau Kusu, katanya.
Sementara itu, berenang dan semua kegiatan air di Pantai Eagle Bay di Pulau Lazarus disambung semula pada 13 Ogos.
Perniagaan depan pantai seperti yang menawarkan kegiatan air juga kembali beroperasi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg