Marina at Keppel Bay dibuka semula pada 28 Jun, menyusuli penutupan hampir dua minggu akibat tumpahan minyak di Terminal Pasir Panjang.
Ia menandakan selesainya fasa pertama membersihkan tumpahan minyak dalam marina itu, walaupun lebih banyak usaha pembersihan lebih terperinci, seperti di kawasan lain yang terjejas, sedang diteruskan, kata Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA).
Usaha membersihkan minyak kini beralih ke fasa selanjutnya, memberi tumpuan kepada kawasan yang lebih sukar dibersihkan, seperti di susunan bongkah batu dan dijangka mengambil masa sehingga tiga bulan untuk selesai, kata MPA.
Perkembangan ini berlaku selepas pekerja pembersihan yang dikontrak oleh MPA dan Persekutuan Pencemaran Pemilik Tangki (ITOPF) mengusul supaya pelampung pembendung minyak di laluan masuk ke marina itu diangkat keluar pada petang 28 Jun.
“Minyak hitam terapung berada pada kadar minimum di marina dan ada langkah-langkah mencukupi untuk menghadkan kepada paras minimum pergerakan minyak terapung,” kata MPA.
Dalam makluman tambahan yang dikirimkan kepada pemilik bot dan kapal di Marina at Keppel Bay yang dilihat oleh ahkbar The Straits Times (ST), pemilik kapal dan bot diberitahu ada keperluan untuk memasang semula pelampung pembendung minyak di laluan masuk ke marina jika risiko minyak beralih dari kawasan lain ke marina tersebut muncul lagi, demi menghadkan pencemaran marina atau kapal.
“Pemilik kapal dan bot dinasihatkan supaya mengekang kelajuan kapal dan bot mereka semasa bergerak dalam marina dan ambil tahu keadaan di sekeliling sedang usaha membersihkan minyak di tembok laut dan prasarana lain sedang dijalankan,” kata makluman itu.
Pelampung pembendung minyak di Keppel Bay dipasangkan sejak 15 Jun, sehari selepas kapal Vox Maxima yang berdaftar di Belanda merempuh kapal bunker Marine Honour yang tidak bergerak di Terminal Pasir Panjang. Ini selepas Vox Maxima kehilangan kawalan enjin dan stering secara tiba-tiba.
Insiden itu menyebabkan 400 tan minyak kandungan sulfur rendah dari salah satu tangki Marina Honour melimpah ke laut, mencemari beberapa pantai seperti di Taman East Coast, Keppel Bay, Kepulauan Selatan dan Sentosa.
Lebih 700 kakitangan daripada beberapa agensi pemerintah dan pertubuhan privet telah dikerahkan untuk membantu dalam usaha pembersihan. Pelampung pembendung minyak sepanjang 3,400 meter juga dipasangkan.
MPA, pada 26 Jun, memberitahu ST, pelanjutan pelampung pembendung minyak tidak dijangka, kerana hampir semua minyak pelincir berat atau bulk oil telah dikeluarkan dari laut dan pantai.
Namun, pelampung pembendung minyak masih perlu diganti sehingga usaha pembersihan lengkap.
Beberapa pengendali bot memberitahu ST, Marina at Keppel Bay dan One°15 Marina Sentosa Cove, yang terletak di pantai selatan Singapura, dianggap antara yang paling teruk dicemari.
One°15 Marina telah dibuka semula pada 25 Jun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg