Sejak penubuhannya pada 1957, Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) terus memainkan peranan penting dalam membimbing masyarakat Muslim di Singapura.
Dalam arus dunia yang sentiasa berubah, kepimpinan agama menjadi tonggak utama dalam membentuk arah dan nilai masyarakat Muslim di Singapura.
Seiring itu, Presiden Pergas, Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid, memberitahu Berita Harian (BH): “Asatizah masa kini perlu peka terhadap perkembangan semasa, serta melebihi batas pendidikan agama semata-mata agar kekal relevan dan berkesan dalam membimbing masyarakat.”
Bagi mencapai matlamat ini, asatizah tidak boleh bergerak secara bersendirian. Mereka memerlukan ekosistem sokongan dan kerjasama yang kukuh dalam kalangan rakan asatizah dan pakar.
Menyedari keperluan ini, Pergas melancarkan Rangkaian Karyawan dan Sukarelawan Asatizah (APVN) pada awal Oktober 2025.
Ini merupakan satu inisiatif penting yang bertujuan mengukuhkan peranan dan jaringan asatizah di Singapura.
Melalui APVN, asatizah dapat membina rangkaian sokongan lebih kukuh, saling berkongsi ilmu dan pengalaman dalam sektor, serta memanfaatkan kekuatan kolektif mereka untuk memenuhi keperluan masyarakat Muslim yang pelbagai, serta masyarakat umum Singapura, dengan lebih berkesan.
APVN membuka peluang bagi asatizah berkhidmat secara lebih luas dalam pelbagai bidang, termasuk kajian, kesihatan mental, dan inisiatif kemasyarakatan lain, seperti program penjagaan paliatif dan sokongan kepada golongan muda berisiko.
Rangkaian ini juga memupuk semangat kesatuan dan kerjasama dalam kalangan asatizah.
Di samping itu, APVN menggalak asatizah memperluaskan kepakaran mereka menerusi peluang-peluang pembelajaran dan kerjasama, yang secara tidak langsung akan meningkatkan mutu dan keberkesanan khidmat mereka kepada masyarakat majmuk Singapura yang semakin kompleks.
Inisiatif ini seiring dengan aspirasi Pergas memastikan asatizah bukan berilmu agama sahaja, malah berdaya maju serta relevan dengan keperluan semasa.
Dengan pelibatan aktif dalam APVN, asatizah bukan sahaja dapat memperkukuh kapasiti diri, bahkan membantu mengukuhkan keharmonian dan perpaduan masyarakat melalui pelbagai program dan aktiviti yang dijalankan bersama pihak dan agensi lain.
Secara keseluruhannya, program ini adalah satu langkah strategik yang akan membina generasi asatizah masa hadapan yang lebih berwibawa dan berdaya saing.
Sehubungan itu, Dana Pergas Endowmen Legasi Ulama, yang berteraskan konsep wakaf, diwujudkan sebagai sumber pembiayaan jangka panjang bagi memastikan Pergas dapat meneruskan inisiatif dan program pembangunan asatizah, termasuk biasiswa pendidikan serta sokongan bagi penyelidikan ilmiah pada masa hadapan.
Buat masa ini, sumbangan masyarakat kepada Dana Perlu disalurkan kepada aset milik Pergas, iaitu bangunan komersial di 168 Changi Road, sebagai pelaburan strategik yang menyokong kelestarian dan kesinambungan usaha Pergas melalui pulangan hartanahnya.
“Pergas masih memerlukan sokongan dana sebanyak $11 juta bagi menampung pembiayaan bangunan ini. Insya-Allah, hasil daripada endowmen ini akan dapat membiayai kegiatan Pergas jika hutang telah diselesaikan.
“Derma yang disumbangkan juga adalah untuk tabungan akhirat anda,” ujar Ustaz Pasuni Maulan, salah seorang Masyaikh Pergas, atau barisan tokoh agama di Pergas, dengan penuh harapan.
Masyarakat Islam boleh menyokong dana ini melalui pelbagai saluran yang disediakan Pergas. Salah satu inisiatif terkini ialah sumbangan melalui wakaf emas, yang membolehkan pewakif menyalurkan sumbangan mereka dalam bentuk emas.
Sejauh ini, Pergas telah menerima beberapa sumbangan wakaf emas daripada pewakif dari masa ke masa. Dengan harga emas yang kian meningkat, pewakif kini mempunyai peluang menyumbang dalam bentuk emas yang bernilai dan memberi manfaat jangka panjang.
Salah seorang pewakif yang ingin dikenali sebagai Cik Haryati berkata:
“Dengan mewakafkan sebahagian emas warisan keluarga saya kepada Pergas, saya berharap ia menjadi amal jariah yang berterusan, membantu pendidikan dan pembangunan asatizah, serta memberi manfaat kepada generasi akan datang.”
Melalui pelibatan masyarakat dalam pelbagai saluran sumbangan ini, Pergas dapat terus membina warisan ilmu dan khidmat yang berpanjangan, memastikan program pendidikan dan pembangunan asatizah terus berkembang untuk generasi akan datang.
SEKILAS:
Anda boleh membuat sumbangan wakaf ke Dana Perlu melalui cara berikut:
Aplikasi bank: CIMB 2000560073
PayNow: UEN S57SS0012G073
Cek berpalang: “Pergas-Charity”
Nominasi dalam wasiat, CPF atau insurans.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian 9100-4251 atau layari perlu.pergas.org.sg.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg