Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pergas lebih berdikari, perkukuh kewangan melalui wakaf endowmen

Mar 21, 2025 | 5:30 AM
Ustaz Mohamed Effendi Suparde (kiri, berdiri) menganjurkan kelas pendidikan dan bimbingan agama kepada banduan.
Ustaz Mohamed Effendi Suparde (kiri, berdiri) menganjurkan kelas pendidikan dan bimbingan agama kepada banduan. - Foto PERSATUAN ULAMA DAN GURU-GURU AGAMA ISLAM SINGAPURA (PERGAS)

Dana memainkan peranan penting dalam menggerakkan nadi sesebuah pertubuhan. Dengan dana yang mantap, penerusan kegiatan pertubuhan dapat dijalankan dengan baik. Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), turut tidak ketinggalan dalam usaha mengukuhkan serta menjana dana bagi kelangsungan misinya.

Presiden Pergas, Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid, berkata:

“Dana wakaf kami, Pergas Endowmen Legasi Ulama (Perlu), amat penting dalam memastikan Pergas kukuh dari segi kewangan. Dengan kewangan yang mantap, kami harap dapat memperkasakan asatizah untuk membimbing setiap lapisan masyarakat Islam Singapura.”

Perlu merupakan daya usaha Pergas dalam membangunkan sumber pendapatan yang mampan bagi mencapai tahap kewangan yang lebih berdikari dan kukuh.

Sumbangan kepada dana ini akan disimpan sebagai modal, yang kemudiannya dilaburkan untuk menjana pendapatan. Keuntungan daripada pelaburan ini disalurkan setiap tahun kepada Pergas bagi menyokong pelbagai kegiatan dan perkhidmatannya kepada masyarakat Islam.

Dengan adanya Perlu, Pergas dapat memastikan pertumbuhan ekonomi yang progresif serta memperkukuh pembangunan dan kebajikan asatizah. Ini secara langsung membantu menegakkan legasi ulama yang berterusan.

Menyentuh tentang program agama untuk masyarakat, Naib Presiden Pergas, Ustazah Kalthom Muhammad Isa, menjelaskan:

“Program kami melibatkan asatizah mendekati golongan yang kurang berpeluang mempelajari agama, seperti keluarga kurang mampu, ibu dan bapa tunggal, warga emas serta banduan di penjara.

“Bagi memastikan keberkesanan program-program ini, kami pastikan tenaga pengajar yang terlatih dan bermutu. Bagi merealisasikan usaha ini, dana amat diperlukan. Di sinilah peranan dana wakaf Pergas menjadi amat penting.”

Salah seorang asatizah yang giat dalam program kemasyarakatan ini ialah Ustaz Mohamed Effendi Suparde. Beliau terdorong mahu menyumbang tenaga atas galakan mantan Presiden Pergas, Al-Fadhil Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, serta rakan-rakan di Pergas, selain pengalamannya berinteraksi dengan bekas banduan.

Berkongsi kisah dalam membimbing banduan, Ustaz Effendi berkata:

“Membimbing mereka membuatkan saya lebih mengerti isu-isu dan cabaran yang dihadapi oleh mereka. Ia juga memberi keinsafan, mengingatkan saya betapa kerdilnya kita sebagai hamba Allah. Kepada-Nya kita memohon kekuatan jiwa dan kemudahan dalam melakukan perubahan diri.”

Menurutnya, mendekatkan para banduan kepada ilmu agama membantu mereka memahami konsep taubat dan mengubah kehidupan mereka ke arah lebih baik. Ia juga memberi mereka keupayaan mengawal diri daripada terjerumus kembali ke masa silam.

“Sesi pembelajaran ini turut memberi ruang kepada mereka untuk bertanya hal-hal agama secara lebih dekat dan mengelakkan salah faham,” tambahnya.

SEKILAS:

Sumbangan dana Perlu boleh dilakukan melalui:

1. PayNow ke: UEN S57SS0012G073, atau melalui pemindahan bank ke dalam akaun CIMB bank 2000560073.

2. Lungsuri laman perlu.pergas.org.sg

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg