Topik diikuti
Pergi ke BHkuDana tambahan $112j diperuntuk bagi penyelidikan, inovasi sektor persekitaran binaan
Bagi tempoh lima tahun akan datang, sebanyak $112 juta akan diperuntukkan bagi penyelidikan dan inovasi dalam sektor persekitaran binaan, serta pengkomersialan penyelesaian yang boleh dilaksanakan di Singapura dan luar negara, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat.
Dana berkenaan diperuntukkan di bawah pelan Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan 2030 (RIE2030), dengan tumpuan kepada pelbagai aspek, termasuk membangunkan kaedah perobohan yang lebih selamat dan produktif.
Jumlah ini merupakan tambahan kepada kira-kira $185 juta yang telah dijamin di bawah pelan tersebut sepanjang 2025.
“Sambil kami memperbaharui lebih banyak kawasan dalam bandar kita, kami perlukan kaedah lebih baik untuk menjalankan kerja-kerja merobohkan binaan secara lebih cekap dan selamat, di samping mengehadkan risiko, gangguan, bunyi bising dan masalah lain di kawasan yang padat dengan pembinaan,” kata Encik Chee pada 2 September, dalam acara Minggu Persekitaran Binaan Antarabangsa (IBEW) 2026.
Pembangunan kaedah lebih bijak untuk menyelenggara bangunan juga penting, tambah Encik Chee.
“Dengan bangunan kita semakin menua dan penggunaannya menjadi lebih pelbagai, kita memerlukan alat lebih baik untuk menilai tahap kesihatan struktur, kos kitaran hayat dan baki jangka hayat operasinya.
“Alat ini boleh membantu pemilik bangunan menjangkakan keperluan penyelenggaraan serta merancang kerja-kerja baik pulih tepat pada waktunya,” jelasnya.
Usaha mengurangkan pelepasan karbon daripada operasi dan bahan binaan akan dipertingkatkan, memandangkan Singapura kini berusaha mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, kata Encik Chee.
Akhir sekali, penekanan lebih besar akan diberikan bagi membantu inovasi yang berdaya maju diterapkan sebagai penyelesaian dunia sebenar.
“Pada akhirnya, pelaburan kita dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) perlu diterjemahkan kepada penambahbaikan ketara dalam cara kita mereka bentuk, membangun dan mengurus persekitaran binaan,” katanya.
Bagi meneroka lebih banyak kegunaan bawah tanah untuk mengoptimumkan sumber tanah yang terhad, pemerintah juga akan menjalinkan kerjasama dengan Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF).
Kerjasama tersebut bertujuan memanfaatkan lebih banyak peruntukan bagi menyokong inovasi dalam mencapai matlamat pembangunan bawah tanah jangka panjang Singapura, kata Encik Chee.
Tawaran pertama bagi permohonan geran di bawah RIE2030 dijangka dilancarkan pada lewat 2026 bagi menggalak lebih banyak syarikat bersama-sama membangunkan penyelesaian baharu, mengambil bahagian dalam ujian perintis dan menerapkan inovasi berdaya maju dalam projek masing-masing, katanya.
Usaha Singapura untuk melaksanakan pembangunan hijau juga menunjukkan kemajuan yang stabil, kata Encik Chee.
Sektor persekitaran binaan menyumbang lebih 20 peratus daripada keseluruhan pelepasan karbon negara.
Usaha melaksanakan pembangunan hijau adalah amat penting bagi mengurangkan jejak karbon negara serta mencapai sasarannya menjelang 2030 di bawah Pelan Induk Bangunan Hijau dan Pelan Hijau Singapura 2030.
Di bawah sasaran berkenaan, dua pertiga daripada bangunan – berdasarkan jumlah keluasan lantai kasar – kini berstatus hijau.
Manakala satu pertiga daripada pembangunan baharu pula merupakan bangunan dengan tenaga sangat rendah, kata Encik Chee.
Sasaran Singapura untuk mencapai 80 peratus peningkatan kecekapan tenaga bagi bangunan hijau terbaik menjelang 2030 kini sudah berada pada kadar 72 peratus, tambah beliau.
“Peningkatan ini menunjukkan manfaat yang nyata,” kata Encik Chee.
Bangunan yang mendapat pensijilan Tanda Hijau di Singapura secara keseluruhannya menjimatkan lebih 4.6 bilion kilowatt-jam elektrik setahun – bersamaan kadar bekalan tenaga untuk lebih sejuta flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) empat bilik.
Ia turut mengurangkan kira-kira 1.9 juta tan pelepasan karbon dan menjana penjimatan kos sebanyak $1.6 bilion setahun, jelas Encik Chee.
