Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) telah menerima sumbangan awam hampir $100,000 sejak ia diperkenalkan tiga minggu lalu, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman.
Bersama pelaburan dana masjid dan sumber sumbangan lain, termasuk ikrar dalam wasiat dan pencalonan, wakaf itu kini mempunyai korpus atau dana permulaan hampir $4 juta.
Mengulas lanjut, Dr Maliki berkata antara pihak yang bakal meraih manfaat menerusi WMS ialah Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) – institusi baru yang akan menawarkan pilihan tempatan untuk pendidikan tinggi dalam pengajian Islam – yang diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, sewaktu Rapat Hari Kebangsaan pada 18 Ogos.
“Serupa dengan bagaimana Universiti Islam Al-Azhar yang diasaskan lebih seribu tahun lalu disokong oleh model wakaf, WMS memberi peluang untuk kita contohi hal ini dan meninggalkan legasi untuk membiayai sebuah kolej pengajian Islam,” kata Dr Maliki, yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar).
WMS, yang diumumkan buat kali pertama pada 2020, dijangka membiayai pembaharuan tempoh pajakan tanah dan penyenggaraan masjid-masjid; pembangunan ulama dan guru-guru agama serta program masyarakat.
Ia bertujuan menambah kepada dana masyarakat tersedia seperti Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki.
Pihak awam boleh menyumbang kepada WMS mengikut kemampuan dan menerusi beberapa cara.
Ia menerima sumbangan tunai sekali atau berulang daripada $10 hingga $1,000.
Pencarum Tabung Simpanan Pekerja (CPF) atau pemilik insurans juga boleh menamakan Muis atau WMS sebagai calon bagi simpanan masing-masing.
Bercakap di Parlimen pada Mac 2024, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad berkata derma lebih $3.6 juta telah diterima WMS daripada individu dan pelaburan masjid.
Bercakap kepada peserta di pelancaran Jejak Warisan Wakaf 2024 pada 24 Ogos, Dr Maliki menggesa masyarakat Melayu/Islam supaya terus menyumbang kepada WMS bagi manfaat generasi masa depan.
Beliau berkata wakif, atau penyumbang wakaf terdahulu di Singapura telah memastikan manfaat daripada sumbangan mereka terus menyokong masyarakat selama bergenerasi lamanya melepasi jangka hayat mereka sendiri.
Jejak warisan tersebut merupakan sebahagian kegiatan anjuran Muis untuk meraikan Bulan Wakaf pada Ogos ini untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang WMS.
Menyentuh tentang usaha Jejak Warisan Singapura, ketua pentadbiran dana masyarakat di bawah Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Cik Nurfarhana Supa’at, berkata:
“Tujuannya adalah untuk memberi kesedaran tentang legasi wakaf di Singapura yang mempunyai sejarah lebih 200 tahun lalu dan sehingga hari ini masih terus menyumbang kepada penerima manfaatnya.
“Namun wakaf yang diwujudkan ini kesemuanya wakaf khas, maksudnya, wakif telah menetapkan kesemua peruntukan bagi sesiapa yang dapat menerimanya – contoh seperti masjid atau madrasah tertentu atau ahli keluarga atau madrasah dan masjid di tempat asal wakifnya, seperti di Hadhramaut atau di India.
“Dalam mengenang jasa dan legasi para wakif kita, Muis menyedari bahawa potensi institusi wakaf amat besar, justeru WMS telah ditubuhkan setelah mengambil kira keperluan tempatan bagi jangka masa panjang dan sedikit sebanyak dapat menampung keperluan tersebut dengan adanya sokongan masyarakat secara kolektif dan mampan.”
Lebih 80 peserta termasuk pelajar, belia dan keluarga menyertai Jejak Warisan Wakaf 2024 pada 24 Ogos.
Walaupun hujan di awal kegiatan itu, peserta masih sempat mengunjungi beberapa tapak wakaf di kawasan Kampong Gelam, termasuk rumah kedai yang menempatkan kedai makan popular seperti Restoran Victory dan Restoran Tasneem.
Antara peserta yang mengambil bahagian dalam jejak warisan tersebut ialah pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat, Adam Mustaqim Mohammed Adlil, 17 tahun.
Berkongsi pengalaman, belia itu berkata:
“Saya pelajari bahawa ramai daripada mereka yang memberi wakaf dahulu merupakan pedagang. Jadi ia agak menarik untuk mengetahuinya dan bahawa kita boleh melakukan ‘pelaburan’ dalam agama.
“Saya terdorong untuk melakukan (wakaf) ini satu hari nanti walau secara kecil-kecilan.”
Dalam pada itu, acara tahun ini turut menyajikan peraduan video Jejak Warisan Wakaf yang diadakan dari 24 Ogos hingga 12 September.
Peraduan itu mengundang orang ramai agar berkongsi pengalaman serta renungan mereka semasa mereka melaksanakan jejak warisan tersebut. Tiga penyertaan terbaik berpeluang memenangi hadiah bernilai lebih $2,000.
Butiran lanjut boleh didapati menerusi www.go.gov.sg/wht24.
TAPAK WAKAF DALAM SENARAI JEJAK WARISAN
1. Chix Hot Chicken, 1 Jalan Pisang
Wakif: MSE Angullia, Mohamed Salleh Eusoofjee Angullia
2.Nasi Lemak Taliwang, 723 North Bridge Road
Wakif: Sheriffa Zain Alsharoff Mohamed Alsagoff
3. Restoran Victory, 702 North Bridge Road
Wakif: Raja Siti Kraeng Chanda Pulih
4. Al Tasneem, 709 North Bridge Road
Wakif: Raja Siti Kraeng Chanda Pulih
5. Outside, 660 North Bridge Road
Wakif: Hadji Abdullah B Mousa
6. The French American Bakery, 49 Haji Lane
Wakif: Rubat Tarim
7. Positano Risto, 66 Bussorah Street
Wakif: Valibhoy Charitable Trust
8. Masjid Sultan, 3 Muscat Street
Wakif: Wakaf Masjid Sultan
9. Madrasah Alsagoff Al Arabiah, 111 Jalan Sultan
Wakif: Syed Mohamed Ahmad Alsagoff
“
“Serupa dengan bagaimana Universiti Islam Al-Azhar yang diasaskan lebih seribu tahun lalu disokong oleh model wakaf, WMS memberi peluang untuk kita contohi hal ini dan meninggalkan legasi untuk membiayai sebuah kolej pengajian Islam.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg