Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dapat ilham daripada vakum robot, kini bimbing pakar AI baru

Mar 7, 2025 | 9:35 PM
Encik Muhammad Ridzuan Mokhtar, 37 tahun, telah melalui pertukaran pertengahan kerjayanya daripada bidang perkilangan ke kecerdasan buatan (AI) bagi memanfaatkan kepentingan AI dalam kehidupan masa kini.
Encik Muhammad Ridzuan Mokhtar, 37 tahun, telah melalui pertukaran pertengahan kerjayanya daripada bidang perkilangan ke kecerdasan buatan (AI) bagi memanfaatkan kepentingan AI dalam kehidupan masa kini. - Foto AI SINGAPORE

Sejak alat vakum robot menjadi satu kebiasaan dalam isi rumah hari ini, Encik Muhammad Ridzuan Mokhtar, 37 tahun, rasa terpegun akan kebolehan teknologi kecerdasan buatan (AI) memacu alat pembersih itu dalam mengelak halangan dengan cepat sambil menjalankan ‘tugas’ membersihkan rumah. 

Dengan itu tercetuslah minat Encik Ridzuan dalam bidang AI, yang telah mendorongnya untuk mendaftar diri dalam program AI Apprenticeship (AIAP) anjuran AI Singapore. 

Melalui program tersebut, Encik Ridzuan berjaya dilantik sebagai jurutera AI di AI Singapore setelah 11 tahun bekerja dalam bidang perkilangan. 

“Saya sedar bahawa AI dapat memberi kesan yang positif kepada orang ramai, dan juga ingin menyumbang kepada impak positif ini,” ujar Encik Ridzuan. 

Pertukaran pertengahan kerjayanya itu timbul apabila Encik Ridzuan sedar tentang peluang pekerjaan yang sedia ada dalam bidang AI. 

Sebagai bapa kepada tiga anak kecil, Encik Ridzuan merupakan satu-satunya pencari nafkah bagi keluarga mereka. Isterinya seorang suri rumah.

Justeru, Encik Ridzuan menyifatkan keputusan beliau beralih kepada AI sebagai langkah wajar yang dapat memberinya ganjaran lumayan untuk keluarganya. 

“Pada mulanya, jurang pengetahuan agak mencabar tetapi dengan perlahan saya cuba belajar dan ulang kaji sendiri,” cerita Encik Ridzuan tentang pengalamannya mempelajari tentang AI buat kali pertama.

Menurut Encik Ridzuan, beliau telah manfaatkan masa perjalanan dari bekas tempat kerjanya ke program AIAP untuk menelaah dan membaca notanya.

Encik Ridzuan kini juga seorang pembimbing atau mentor di AIAP. 

Selain itu, beliau juga sedang mengusahakan sebuah projek AI, iaitu wadah pembelajaran berdasarkan AI, bagi mereka yang ingin belajar tentang teknologi itu. 

“Melalui wadah ini, mereka yang tidak dapat menyertai program AIAP juga dapat belajar tentang AI,” jelas Encik Ridzuan. 

Maka itu, Encik Ridzuan berharap projeknya itu dapat memberi peluang kepada golongan yang berminat supaya lebih ramai dapat belajar tentang AI. 

“Dibandingkan dengan kebanyakan kursus dalam talian, maklum balas yang diberi kepada pelajar selalunya terlalu umum.

“Dengan wadah AI saya ini, pelajar akan diberikan pengalaman yang lebih sesuai dengan keperluan sendiri dan maklum balas yang lebih khusus,” tambah Encik Ridzuan. 

Ternyata, AI merupakan salah satu aspek teknologi yang semakin relevan dalam dunia hari ini. 

Semasa Jawatankuasa Perbekalan (COS), Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) telah mengumumkan beberapa inisiatif AI bagi membantu warga Singapura melengkapkan diri dengan kemahiran AI, demi mempertingkatkan mutu kehidupan mereka.

Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) telah melancarkan pelbagai program AI seperti Generative AI (GenAI) dan Digital Skills for Life (DSL).

“Lazimnya orang ramai lebih menumpukan perhatian kepada bagaimana AI akan menggantikan pekerjaan mereka, tetapi tidak sedar bahawa AI juga dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan,” ujar Encik Ridzuan.

Dengan landskap teknologi yang pesat berubah, Encik Ridzuan merupakan contoh bagaimana warga Singapura dapat memanfaatkan AI dan mencari peluang baru dalam bidang ini. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg