Program Penukaran Kerjaya (CCP) akan dipertingkat mulai 1 April untuk menyokong peningkatan kemahiran individu pertengahan kerjaya dalam pekerjaan dengan aturan fleksibel, seperti kerja sambilan, umum Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang.
Ini bermakna syarikat kini boleh memanfaatkan CCP, meskipun jika pekerja yang diambil majikan bukan pekerja sepenuh masa, kata beliau.
Buat masa ini, CCP meliputi hanya pekerjaan sepenuh masa.
“Contohnya, sebuah syarikat keselamatan siber yang ingin mengambil pekerja sambilan kini boleh memanfaatkan CCP untuk menggajikan dan mempertingkat kemahiran pekerja pertengahan kerjaya daripada sektor lain,” kata beliau, semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Tenaga Manusia (MOM) di Parlimen pada 7 Mac.
Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) akan membiayai sehingga 90 peratus gaji pekerja semasa pekerja menjalani latihan, dihadkan pada $7,500 sebulan.
Untuk layak bagi program itu, pekerja mesti menjalani peningkatan kemahiran dalam peranan pekerjaan pertumbuhan dan diambil bekerja dengan syarat kerja tetap atau kerja kontrak untuk sekurang-kurangnya setahun.
Sementara itu, Cik Gan turut menyentuh tentang sokongan untuk golongan wanita dan pekerja, sambil berkata pemerintah bekerja rapat dengan rakan tiga pihak dan masyarakat untuk menyediakan sokongan dalam bidang seperti pemudahan kerjaya dan meningkatkan akses kepada aturan kerja fleksibel.
Lebih ramai wanita yang ingin kekal bekerja atau kembali bekerja telah menemui peluang melakukan demikian, tambah beliau.
Kadar pekerjaan bagi wanita berusia 25 hingga 64 tahun telah meningkat daripada 73.3 peratus pada 2019 kepada 78.3 peratus pada 2024.
Cik Gan berkata ramai wanita menggalas tanggungjawab penjagaan anak-anak, ibu bapa lanjut usia atau anggota keluarga kurang upaya.
“Sesetengah penjaga terpaksa berehat daripada kerjaya mereka untuk menjaga anggota keluarga sepenuh masa.
“Meskipun yang lain dapat terus bekerja, mereka menangani cabaran, seperti rasa letih sedang mereka cuba sedaya upaya untuk mengimbangi tuntutan kerja dengan keluarga.
“Sama ada di kerja atau di rumah, kami mahu wanita dan penjaga rasa disokong dalam mengurus peranan mereka dan diperkasa untuk meneruskan aspirasi mereka,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg