Penduduk Singapura boleh mendapatkan baucar bernilai $8 bagi setiap $100 yang mereka belanjakan dalam satu resit di semua cawangan FairPrice, FairPrice Finest dan FairPrice Xtra dari 23 hingga 26 Januari.
Setiap pelanggan akan dihadkan kepada dua baucar untuk setiap transaksi, menurut FairPrice Group dalam satu kenyataan pada 23 Januari.
Baucar itu merupakan sebahagian daripada usaha rangkaian pasar raya tempatan tersebut untuk membantu pelanggan menjimatkan perbelanjaan mereka pada musim Tahun Baru Cina.
Ia boleh digunakan di mana-mana cawangan FairPrice dari 24 Januari hingga 28 Februari.
Ketua eksekutif kumpulan FairPrice, Encik Vipul Chawla, berkata langkah itu bertujuan membantu semua penduduk di Singapura “menyambut tahun baru dengan barangan utama yang mereka perlukan untuk perayaan bersama keluarga dan orang tersayang”, lapor The Straits Times.
Ia merupakan pengedaran baucar kedua oleh syarikat itu bagi Januari 2025.
Ini selepas ia menawarkan baucar pemulangan sebanyak $6 bagi setiap baucar pasar raya Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) yang diedarkan pada 2025 bernilai $60 yang dibelanjakan di cawangan FairPrice dari 3 hingga 12 Januari.
Kumpulan itu turut telah melancarkan pelbagai promosi sejak awal 2025.
Ini termasuk pembekuan harga ke atas beberapa barangan termasuk produk makanan laut dan sayur-sayuran sepanjang tempoh perayaan ini.
Terdapat juga diskaun 6 peratus bagi pemegang kad biru dan jingga Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas) pada hari-hari tertentu dalam seminggu sehingga awal Mac, serta promosi masa terhad bagi makanan popular waktu perayaan seperti ramuan ‘hotpot’ dan limau mandarin.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg