Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dapat maklum balas masyarakat Melayu/Islam mengenai Belanjawan

Mar 6, 2025 | 2:50 PM
Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (tengah) bersama Cik Rahayu Mahzam dan AP (GRC Chua Chu Kang), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim di sesi dialog pascaBelanjawan M3 bersama pemimpin masyarakat pada 2021.
Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (tengah) bersama Cik Rahayu Mahzam dan AP (GRC Chua Chu Kang), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim di sesi dialog pascaBelanjawan M3 bersama pemimpin masyarakat pada 2021. - Foto Fail: PERSATUAN RAKYAT (PA)/MESRA

Masyarakat Melayu/Islam dapat memberi maklum balas dan melahirkan keprihatinan dalam dua dialog pascabelanjawan yang akan diadakan.

Dua “Dialog dengan Pemimpin Masyarakat Melayu/Islam” akan diadakan hasil anjuran M Kuasa Tiga (M³) menyusuli pengumuman Belanjawan Singapura yang dibentangkan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Encik Lawrence Wong pada 18 Februari lalu.

Sesi pertama bagi golongan belia akan diadakan pada Ahad, 9 Mac dari 10 pagi hingga 12 tengah hari. Ia akan diadakan di Kelab Masyarakat Siglap.

Sesi kedua yang disasarkan bagi golongan umum akan diadakan pada Sabtu, 22 Mac dari 10 pagi hingga 12 tengah hari di Kelab Masyarakat Tampines West.  

Sesi pertama akan dipengerusikan oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Pertahanan dan Pendidikan), Dr Maliki Osman dan Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; serta Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Sharael Taha dan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman.

“Berdasarkan dialog sebelum ini, kami mendapati bahawa pandangan masyarakat, terutamanya golongan belia di bawah usia 35 tahun, agak berbeza. Oleh itu, kami bercadang untuk menganjurkan dialog khusus bagi golongan ini supaya mereka dapat menyuarakan keprihatinan mereka, seperti peluang pekerjaan dan keperluan peningkatan kemahiran, bagi memastikan mereka dapat mengikuti perubahan dalam industri. Pada masa yang sama, kami juga dapat sama-sama memikirkan mengenai pendekatan yang sesuai untuk mengatasi cabaran yang dihadapi oleh golongan ini ,” kata Pengerusi PA Mesra, Cik A J Suhani Sujari, BBM.

Bagi sesi kedua, ia akan dipengerusikan oleh Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad dan Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad. Beliau akan disertai oleh Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.GRC; Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat dan AP GRC Jalan Besar, Encik Wan Rizal Wan Zakariah.

Berbeza dengan golongan beliau, keprihatinan masyarakat umum mungkin berbeza meliputi kos kehidupan serta sokongan yang diperlukan bagi warga senja serta mereka yang kurang upaya.

Kedua-dua sesi disokong oleh Berita Harian (BH) sebagai rakan kongsi media.

PM Wong mengumumkan Belanjawan bernilai $143.1 bilion, lebih besar daripada $134.2 bilion yang dibentangkan tahun sebelumnya.

Semua rakyat Singapura berusia 21 tahun dan ke atas pada 2025 akan menerima Baucar SG60 sekali sahaja yang diberikan sebagai sebahagian daripada sebuah pakej untuk mengiktiraf sumbangan semua rakyat dan berkongsi hasil kemajuan negara sempena ulang tahun Singapura yang ke-60 pada 2025.

Semua bayi warga Singapura yang lahir pada 2025 pula akan menerima Hadiah Bayi SG60.

Selaras dengan bayangan yang diberikan Encik Wong semasa Rapat Hari Kebangsaan (NDR) 2024, Belanjawan kali ini turut memperuntuk sokongan khas kepada keluarga lebih besar dengan tiga anak.

Ibu bapa boleh menjangka sokongan kewangan tambahan sehingga $16,000 untuk setiap anak ketiga atau selanjutnya melalui Skim Keluarga Besar yang menelan belanja $80 juta setahun untuk pemerintah.   

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg