Malam ini kita merenung tragedi yang telah meninggalkan kesan mendalam ke atas kehidupan insan.
Sudah 20 tahun sejak tsunami Lautan Hindi melanda.
Sedang kita mengingati nyawa yang terkorban dan merenung kembali pengajaran yang diperoleh, Berita Harian (BH) ingin mengambil kesempatan untuk melancarkan video baru kami mengenai tsunami itu yang bertajuk Gelombang perubahan: Aceh 20 tahun selepas dibadai tsunami.
Ini adalah dokumentari khas terbitan Berita Harian untuk memperingati ulang tahun ke-20 peristiwa tsunami.
Dalam proses menulis ucapan ini, saya membuat beberapa kajian dan terjumpa beberapa pepatah dan peribahasa Aceh yang terkenal.
Peribahasa ini mencerminkan nilai budaya, etika kerja dan pandangan positif masyarakat Aceh terhadap kehidupan.
Saya ingin berkongsi dengan anda salah sebuah pepatah yang terkenal ini. Ia dalam bahasa Aceh dan saya harap saya menyebutnya dengan betul:
Nibak taduek get tajak
Meurumpok akai bicara
Diterjemah sebagai: ‘Daripada hanya duduk, lebih baik berjalan dan memperoleh kebijaksanaan.’
Bagi orang Aceh, ini bermakna lebih baik bekerja daripada goyang kaki sahaja.
Saya rasa sikap seperti inilah yang menyerlahkan semangat orang Aceh ketika mereka melakukan pemulihan besar-besaran selepas tsunami Aceh.
Seperti yang kita tahu, tsunami pada 26 Disember 2004 itu adalah antara bencana alam yang paling dahsyat dalam sejarah moden.
Tsunami Lautan Hindi ini telah meragut nyawa sesuku juta orang di 14 negara, dengan Aceh menanggung beban terbesar tragedi itu.
Malam ini, kita mengenang nyawa yang terkorban dan parut mendalam yang ditinggalkan oleh tragedi itu.
Sedang kita berkumpul, kita juga merenung tentang keberanian, kekuatan dan daya tahan yang luar biasa rakyat Aceh dalam mengharungi cabaran itu.
Ini juga yang diperhatikan ramai pengulas di seluruh dunia.
Saya ingin menyebut satu lagi pepatah Aceh yang menggariskan semangat gigih ini.
Terjemahannya begini:
Jika anda ingin bahagia, binalah sebuah rumah
Jika anda mahukan kerumitan dalam hidup anda, berkahwinlah dengan dua isteri
Jika ingin kaya, rajin-rajinlah bertani
Kalau nak sibuk, berniagalah
Sedang kita merenung 20 tahun yang lalu, jangan pula kita lupa iktibar daripada tsunami Aceh.
Ia menunjukkan kepada kita betapa rapuhnya kehidupan, betapa tidak dapat diramalkan dan berkuasanya daya alam.
Tetapi yang lebih penting, ia mengajar kita bahawa kesukaran boleh diatasi dengan perpaduan dan belas kasihan.
Menyusuli bencana itu, kita menyaksikan dunia berkumpul untuk menyokong Aceh dan beberapa negara lain yang terjejas.
Pemerintah, badan bukan pemerintah (NGO), dan individu daripada semua lapisan masyarakat telah digerakkan untuk memberi bantuan dan membina semula masyarakat.
Singapura tidak terkecuali.
Rakyat kita menghulurkan tangan dan hati mereka dan mempamerkan semangat Singapura.
Sebagai sebuah organisasi berita, Berita Harian juga memainkan peranan kami bukan sahaja dalam mendokumentasikan tragedi itu tetapi juga dalam menghubungkan dan menggerakkan manusia.
Melalui laporan kami, kami mempamerkan kekuatan dan keberanian mereka dalam mengatasi kesedihan dan membina semula kehidupan.
Komitmen kami untuk mengetengahkan kisah-kisah ini didorong oleh kepercayaan kami terhadap kuasa kewartawanan untuk memaklumkan, memberi inspirasi dan melibatkan pelbagai masyarakat.
Sepanjang dua dekad lalu, dunia telah banyak berubah.
Dunia kewartawanan juga telah berubah dengan ketara.
Teknologi baru dan medium baru telah mengganggu operasi berita dan pendekatan bercerita.
Selera pembaca terhadap berita dan corak penghayatan berita juga telah berubah.
Gangguan ini memberikan cabaran besar kepada sebuah organisasi berita seperti BH.
Tetapi, kami komited untuk menerima perubahan ini dan mengubah cara kami menyampaikan berita.
Dan video ini adalah salah satu hasil transformasi kami.
Ia menceritakan kisah-kisah bagaimana mereka yang terselamat telah membina semula kehidupan mereka dan menghidupkan semula harapan dan semangat mereka.
Video ini juga menyingkap pengalaman para pegawai, responden pertama dan pekerja bantuan yang memberikan khidmat menyelamat, pemulihan dan bantuan kemanusiaan.
Lebih penting lagi, video ini merangkum bukan sahaja peristiwa dan cerita, tetapi juga pengajaran penting daripada hari tragis itu.
Bagi Berita Harian, video ini juga memberi peluang kepada kami untuk mempamerkan keupayaan baru kami dalam penciptaan kandungan.
Sebagai editor Berita Harian, saya berbangga dengan kemampuan pasukan muda saya yang berbakat untuk menghasilkan video yang kreatif dan berkesan.
Bagi kami, projek ini mewakili lebih daripada sekadar satu peringatan; ia mewakili satu peristiwa penting dalam evolusi kandungan laporan kami.
Sejak dua tahun lalu, kami telah menjalani transformasi besar dan mengalihkan tumpuan kami dalam penciptaan kandungan.
Kami kini komited untuk tidak sahaja menghasilkan kandungan cetakan tetapi juga kandungan kreatif dalam format digital seperti video dan podcast.
Ini bukan video pertama kami.
Kami telah melakukan banyak kandungan visual seperti ini dan berharap dapat melakukan lebih banyak lagi.
Kami mengalu-alukan kedatangan anda untuk menyertai kami sebagai rakan kongsi bagi menghasilkan lebih banyak video sedemikian pada masa hadapan.
Sebelum saya mengakhiri, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah membuat dokumentari ini.
Terima kasih kepada pasukan penerbitan BH atas kerja keras anda menghasilkan video ini.
Terima kasih kepada rakan-rakan BH yang sentiasa menyokong BH.
Terima kasih yang tidak terhingga kepada Mercy Relief, terutama pengerusinya, Encik Satwant Singh serta penasihat khas Humanity Matters, Encik Hassan Ahmad.
Kedua-duanya memberi sumbangan berharga kepada pasukan kami semasa prapengeluaran video ini.
Terima kasih juga kepada Air Asia atas sokongan anda kepada pasukan kami yang berkunjung ke Aceh dan kepada Wisma Geylang Serai (WGS) yang telah bermurah hati menyediakan ruang ini untuk kami petang ini.
Sebelum saya mengakhiri, izinkan saya berkongsi pantun Melayu, yang saya tulis tentang kepentingan perpaduan dan persahabatan dalam menghadapi kesusahan – satu pengajaran penting daripada episod malapetaka ini.
Singgah di muara si bunga Melati
Bagai permata penyeri pagi
Jauh di mata, dekat di hati
Itulah tanda, sahabat sejati
Terima kasih kepada anda semua kerana menjadi sebahagian daripada detik istimewa ini bersama kami. Saya harap anda menikmati video ini.
Saya harap video ini dapat memberi inspirasi kepada kita terutamanya generasi muda untuk meraih pengajaran berharga daripada tragedi ini – tentang perlunya daya tahan apabila menghadapi cabaran, keperluan untuk menjalin persahabatan, untuk berbelas kasihan, untuk terus bersatu dan berdiri bersama apabila berhadapan dengan krisis.
Terima kasih.
Wacana ini ialah ucapan penulis pada penayangan video Berita Harian mengenai ulang tahun ke-20 tsunami Lautan Hindi, di Wisma Geylang Serai pada 2 Januari 2025.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg