Walaupun ruang fizikal Masjid Alkaff Kampung Melayu kini terhad kerana Projek Peningkatan (MUP), semangat mahu mendekatkan diri dengan Al-Quran tidak pernah terhenti. Lebih separuh ruang masjid termasuk dewan serbaguna, bilik darjah, dan sebahagian dewan solat telah ditutup demi kerja peningkatan.
Namun, inilah bukti bahawa apabila ada kemahuan, pasti ada jalan. Masjid tersebut tidak mahu membiarkan kekangan ruang menjadi alasan untuk memperlahankan usaha dakwah. Sebaliknya, ia menjadi pemangkin bagi melahirkan idea baru yang lebih segar, sesuai dengan gaya hidup masyarakat kini.
Dengan kerjasama erat antara Unit Dakwah dengan Unit Pemasaran, lahirlah daya usaha ‘Mari Mengaji Online’. Ia satu sesi mingguan di platform TikTok Live, atau siaran langsung, setiap malam Jumaat, kendalian Ustaz Abdul Rahman Salam.
Program ini bukanlah pengganti kepada kelas fizikal, tetapi berperanan sebagai pelengkap kepada ruang lingkup pembelajaran masjid dalam bentuk digital. Ia membuktikan bahawa usaha dakwah tetap dapat diteruskan meskipun ruang fizikal terbatas.
Pemilihan TikTok pula sangat bertepatan dengan trend masyarakat hari ini. Platform ini mudah dicapai, tanpa memerlukan pendaftaran atau bayaran, dan terbuka kepada semua peringkat usia. Dengan format ‘Live’, penonton bukan sahaja boleh mengikuti bacaan, malah memberi komen, bertanya soalan, bahkan menyertai bacaan untuk diperbetulkan oleh asatizah secara langsung.
Lebih menarik lagi, platform ini membuka ruang kepada mereka yang mungkin berasa segan untuk hadir ke kelas mengaji secara fizikal. Dalam suasana digital yang lebih santai dan mesra, mereka dapat melangkah dengan lebih yakin untuk memulakan perjalanan bersama Al-Quran. Inilah hikmah dakwah dalam dunia digital. Ia mampu menghubungkan hati, merentas jarak dan keadaan.
Pihak kami ingin mengajak masyarakat agar sentiasa mendekatkan diri dengan Al-Quran. Walaupun seseorang belum fasih bacaannya, meluangkan masa untuk mempelajari Al-Quran tetap membuka ruang bagi memperoleh ilmu dan rahmat Allah.
Daya usaha ini menegaskan bahawa ilmu agama tidak lagi terikat pada ruang dan masa. Sama ada seseorang itu berada di rumah, dalam perjalanan, ataupun di luar negara, mereka tetap boleh mengikuti bacaan Al-Quran dan mendapat bimbingan.
Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan mudahkan baginya jalan menuju syurga.” (Hadis Riwayat Muslim)
Hadis ini memberi motivasi bahawa setiap usaha kecil untuk mendekati Al-Quran, walau hanya beberapa ayat, tetap membuka jalan ke arah keberkatan.
Harapan kami adalah agar masyarakat Islam terus istiqamah menimba ilmu walaupun tidak hadir ke masjid secara fizikal. Hubungan erat bersama jemaah kini diteruskan di ruang digital, membuktikan bahawa dakwah tidak pernah mengenal batas.
Daya usaha ‘Mari Mengaji Online’ membawa semangat keterangkuman masjid kepada semua, umumnya:
Pertama: Anak muda yang aktif di media sosial, kini boleh menyalurkan masa mereka kepada sesuatu yang lebih bermanfaat.
Kedua: Warga emas yang tidak berkesempatan hadir di masjid, tetap dapat merasakan kehangatan pengajian.
Ketiga: Mereka yang berada di luar negara yang merindui suasana masjid di tanah air, kini boleh kembali terhubung secara maya.
Setiap lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang atau kedudukan, dialu-alukan turut serta.
Mengubah cabaran menjadi peluang
Program peningkatan ini mungkin mengehadkan ruang solat dan kelas fizikal, tetapi ia juga membuka peluang masjid mengorak langkah lebih jauh ke alam digital. Inilah peluang melatih diri agar lebih fleksibel, inovatif, dan dekat dengan kenyataan masyarakat moden.
Malah, usaha ini juga menjadi satu latihan untuk masjid bersiap siaga menghadapi masa depan, di mana dakwah akan lebih bergantung kepada teknologi.
Daripada pengalaman pandemik Covid-19, kita belajar bahawa pengajaran agama dalam talian bukan sekadar jalan lain, tetapi sebahagian daripada cara hidup umat Islam kini.
Akhirnya, kami yakin setiap langkah kecil untuk mendekatkan diri kepada Al-Quran akan membentuk masyarakat yang lebih berilmu, beriman, dan diberkati Allah swt.
Mari kita terus bersama-sama menyemarakkan semangat cinta kepada Al-Quran, bukan sahaja sebagai bacaan, bahkan sebagai panduan hidup yang menyinari perjalanan kita menuju keredaan Allah.
Penulis merupakan Eksekutif Pemasaran dan Perhubungan di Masjid Alkaff Kampung Melayu.
SEKILAS:
Sumbangan kepada dana peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu boleh dibuat melalui:
1. Pemindahan bank ke dalam akuan OCBC: 581-608668-001. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’ dan e-mel tangkap layar, atau screenshot, transaksi anda kepada finance@alkaffkm.mosque.sg.
2. Cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian cek dan kirimkan kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.
3. PayNow ke UEN: S94MQ0017D. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.
4. Langsung ke pejabat masjid dari Isnin hingga Khamis, 9 pagi hingga 5:30 petang. Pada Jumaat pula, waktu operasi bermula 9 pagi hingga 5 petang.
* Sila hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244 untuk keterangan lanjut.
* Ikutlahlah Masjid Alkaff Kampung Melayu di TikTok, Facebook dan Instagram: @MasjidAlkaffKampungMelayu
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg