Menjadi seorang pegawai polis yang diimpikan sejak kecil direalisasikan pada usia 20 tahun.
Kini, 26 tahun kemudian, semangat Timbalan Superintenden (DSP) 2 Hamzah Mohamed Hussein untuk berkhidmat masih kukuh.
Sepanjang 26 tahun perkhidmatan, beliau melalui beberapa kenaikan pangkat dan memainkan peranan penting dalam projek berprofil tinggi, termasuk pembangunan Terminal 5 Lapangan Terbang Changi dan pelaksanaan robot rondaan polis.
Inisiatif yang beliau ambil untuk menggantikan tayar getah standard dengan poliuretana untuk kurangkan bunyi bising di lantai marmar lapangan terbang telah mempertingkatkan usaha pengawasan dan rondaan di sekitar lapangan terbang.
DSP(2) Hamzah terlibat dalam pembangunan Terminal 3, 4, dan kini Terminal 5, dan tidak teragak-agak menyumbang kepada terminal selanjutnya jika ada – membuktikan komitmennya yang tidak berbelah bahagi dalam mengukuhkan keselamatan di pintu masuk antarabangsa utama Singapura.
Pada 13 November, DSP(2) Hamzah berbesar hati menerima Anugerah Pujian dan Bakti Setia di Majlis Penyampaian Anugerah Hari Kebangsaan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) 2024 yang diadakan di Pusat Budaya Republic (TRCC), Politeknik Republic (RP).
Semasa bertemu dengan Berita Harian (BH), beliau berkata: “Oleh kerana persekitaran lapangan terbang kebanyakannya berlantaikan marmar, robot tersebut mengeluarkan bunyi bising. Dengan menukar tayar getah kepada poliuretana, kami menanganinya, menjadikan robot lebih berkesan dan kurang mengganggu dalam ruang lapangan terbang.
“Integrasi robotik benar-benar meningkatkan keupayaan rondaan kami. Ia berfungsi sebagai pemantau tambahan di lapangan, mencapai rondaan yang lebih menyeluruh.”
Beliau sedari kepentingan penambahbaikan berterusan dalam teknologi baru serta keperluan menyesuaikannya agar memenuhi keperluan para pegawai.
Di samping itu, peranannya penting dalam pembangunan pengembangan infrastruktur utama Lapangan Terbang Changi, termasuk Terminal 3, 4, dan projek Terminal 5 yang sedang dilaksanakan.
“Terminal 5 adalah sama besar dengan gabungan semua terminal sedia ada, jadi perancangan untuk keselamatannya adalah rumit dan memerlukan pendekatan kalis masa hadapan,” kata beliau.
Beliau turut ketengahkan cabaran utama iaitu memastikan keperluan keselamatan bersedia menghadapi permintaan masa hadapan.
“Menjamin keselamatan Lapangan Terbang Changi dan Seletar kekal sebagai keutamaan kami. Sebagai salah satu lapangan terbang tersibuk di dunia untuk penumpang dan kargo, Lapangan Terbang Changi secara signifikan mengukuhkan status Singapura sebagai hab penerbangan global terkemuka. Penerbangan adalah tunjang penting ekonomi Singapura, dan keselamatannya mesti dijaga dengan teliti,” jelasnya.
Mengimbas pengalaman luasnya dengan Bahagian Polis Lapangan Terbang, DSP(2) Hamzah menyatakan minatnya menyumbang apabila ditanya jikalau adanya terminal baru pada masa hadapan.
“Setiap terminal baru membawa cabaran dan peluang tersendiri untuk pertumbuhan. Jika ada terminal baru, saya mungkin setuju untuk turut serta,” ujar beliau, yang juga pensyarah jemputan di Akademi Penerbangan Singapura (SAA).
“Peranan pegawai polis bukan sekadar menguatkuasakan undang-undang, ia mengenai mewujudkan rasa tanggungjawab dan empati.”
Mengulas kedua-dua Pingat Pujian dan Bakti Setia yang diterimanya, DSP(2) Hamzah menambah:
“Menerima anugerah ini adalah satu penghormatan dan motivasi. Ia mengesahkan bahawa kerja saya dihargai oleh pihak atasan dan pasukan saya, dan ia mendorong saya untuk terus maju.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg