Ketangkasan mengesan lebih 19,500 kotak pod pengisan semula rokok elektronik atau e-rokok pada Januari 2023 merupakan antara kemuncak kerjaya Inspektor Pusat Pemeriksaan (CI) 1, Muhammad Rafeuddin Buang, yang sudah 13 tahun bertugas di Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).
Sebagai Ketua Kumpulan Imbasan Mudah Alih di Markas Pelabuhan, beliau yang buat masa ini bertugas di Stesen Imbasan Pasir Panjang, memimpin pasukannya dengan melengkapi mereka dengan kemahiran yang menambah kecekapan di pusat pemeriksaan.
Pada 13 November, kepimpinan (CI) 1 Muhammad Rafeuddin dihargai melalui Pingat Kecekapan yang disampaikan semasa Majlis Penyampaian Anugerah Hari Kebangsaan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) di Politeknik Republic.
Acara tahunan itu mengiktiraf pegawai Home Team yang banyak menyumbang dan komited dalam memastikan keselamatan Singapura.
Ia dihadiri Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-undang, Encik K. Shanmugam, yang memuji dedikasi dan profesionalisme para pegawai dalam menjalankan tugas mereka.
Mengenang semula kes rampasan e-vape itu, CI(1) Rafeuddin berkata: “Tugas kami adalah mengenai kewaspadaan dan perhatian terhadap perincian. Setiap usaha mengesan sesuatu yang lain daripada kebiasaan boleh melindungi negara kita daripada bahaya.”
Kes ini adalah yang terbesar buatnya sejauh ini dan mendapat perhatian di seluruh Singapura.
Bapa dua cahaya mata berusia 39 tahun itu berkata:
“Menjaga tahap integriti yang tinggi adalah penting, terutama apabila mengendalikan barang larangan. Kami harus memastikan bahawa barang bukti dalam jagaan kami kekal tidak tercemar sebelum menyerahkannya secara rasmi kepada Penguasa Sains Kesihatan (HSA).”
Menyedari kepentingan integriti dalam bidang ini, beliau kerap melengkapi rakan sekerjanya dengan kemahiran dan daya tahan minda yang diperlukan untuk menjalankan tugas yang cemerlang.
“Saya selalu memberitahu mereka bahawa integriti adalah kunci. Kami diamanahkan mengendalikan barangan sensitif, dan piawaian kami harus sentiasa dipertahankan,” ujarnya yang memulakan tugas sebagai pegawai penapisan utama pada 2011.
Dalam peranannya kini, rutin harian beliau melibatkan pengurusan kenderaan khusus, sistem pemeriksaan kargo mudah alih atau Mobile B-Scanner, yang mengimbas kontena di kawasan yang ditetapkan seperti Keppel Distripark dan Terminal Pasir Panjang.
Peralatan ini membolehkan beliau dan pasukannya, yang terdiri daripada tiga lagi pegawai, mengenal pasti situasi di luar kebiasaan dalam kandungan kontena dan menambah lapisan keselamatan yang ada.
“Bagi saya, Pingat Kecekapan menunjukkan bahawa kerja saya diiktiraf, bukan sahaja oleh penyelia saya tetapi oleh seluruh pasukan saya,” katanya yang berazam menyandang jawatan pegawai kanan.
Di sebalik tuntutan peranannya, CI(1) Rafeuddin mengekalkan hubungan yang kuat dengan keluarganya. Pasangan dan ahli keluarga yang menyokongnya membantunya mengimbangi masa yang panjang dan tugas hujung minggu sekali-sekala. Ini terbukti dengan kehadiran isterinya yang juga bertugas di ICA pada hari istimewa itu di Pusat Budaya Republic (TRCC), Politeknik Republik (RP).
Sejumlah 981 pegawai Home Team menerima pengiktirafan, dengan seramai 63 pegawai menerima Pingat Pujian dan 253 pegawai menerima Pingat Kecekapan.
Antara yang menerima Pingat Pujian ialah Timbalan Superintenden (DSP) 2 Hamzah Mohamed Hussein yang dipuji Encik Shanmugam dalam ucapannya.
“Selama 26 tahun bersama Pasukan Polis Singapura (SPF), DSP(2) Hamzah telah berkhidmat dengan penuh dedikasi penuhi peranan perancangan dan operasi, kebanyakannya dengan Divisyen Polis Lapangan Terbang (APD),” ujar Encik Shanmugam.
Sebanyak 665 Pingat Bakti Setia turut dianugerahkan kepada mereka yang menamatkan sekurang-kurangnya 25 tahun perkhidmatan berterusan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg