Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MHA tidak tetap had sekat laman web berkait kempen maklumat palsu

Xueling: Tindakan awal perlu diambil demi kepentingan awam
Nov 13, 2024 | 3:32 PM
Pada 22 Oktober, pihak berkuasa mengeluarkan arahan supaya menghalang akses ke 10 laman web palsu, antaranya (dari kiri) laman web Singapuranow.com, Alamak.io dan zaobaodaily.com.
Pada 22 Oktober, pihak berkuasa mengeluarkan arahan supaya menghalang akses ke 10 laman web palsu, antaranya (dari kiri) laman web Singapuranow.com, Alamak.io dan zaobaodaily.com. - Foto ST

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) tidak menetapkan batasan dari segi jangkauan atau kesan, dalam menilai sama ada untuk menjalankan tindakan pencegahan lebih awal terhadap ancaman kempen maklumat berniat jahat.

Ia juga mengingatkan warga Singapura agar terus berhati-hati di dalam talian dalam mengenal pasti laman web palsu, kata Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Encik Yip Hon Weng (Yio Chu Kang) di Parlimen pada 13 November mengenai pertimbangan yang diambil pemerintah apabila menyekat laman web dan keberkesanan langkah tersebut.

Pertanyaan itu timbul menyusuli arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa pada 22 Oktober untuk menghalang akses ke 10 laman web palsu yang dikaitkan dengan pelaku asing yang berpotensi digunakan untuk melancarkan kempen maklumat berniat jahat terhadap Singapura.

Menurut laporan sebelum ini, 10 laman web tidak sahih itu didapati menyamar sebagai laman web Singapura dengan menipu atau menggunakan istilah yang dikaitkan dengan Singapura dalam nama domain mereka dan menggabungkan ciri dan visual tempatan yang biasa.

Laman-laman web itu ialah zaobaodaily.com; singaporeinfomap.com; singaporeera.com; singdaotimes.com; todayinsg.com; lioncitylife.com; singapuranow.com; voasg.com; singdaopr.com; dan alamak.io.

Dua daripada laman web tersebut – www.zaobaodaily.com dan www.singaporeinfomap.com – menggunakan nama domain berkait rapat atau serupa laman sah berkaitan Singapura.

Ia juga membawa kandungan yang boleh mengelirukan penonton hingga menyangka ia mencerminkan pendirian rasmi atau sentimen tempatan.

Laman alamak.io menampilkan diri sebagai laman berita Singapura melalui penggunaan ungkapan harian “Alamak” sebagai nama domainnya.

Ia juga memuatkan artikel berita berkaitan Singapura yang mentakrifkan artikel diterbitkan oleh media arus perdana tempatan dan menerbitkan ulasan mengenai isu sosiopolitik, termasuk satu yang secara palsu mendakwa Singapura membenarkan negara lain menjalankan kegiatan penyelidikan perang biologi mereka di sini.

Menurut Cik Sun, walaupun tahap pendedahan laman web ini kepada warga Singapura dinilai rendah, ia boleh digunakan pelaku asing untuk memulakan kempen maklumat berniat jahat terhadap negara ini.

“Kebanyakan laman web itu dikaitkan dengan rangkaian global laman web berita tidak sahih, yang telah dilaporkan oleh penyelidik keselamatan siber, telah menjalankan kempen maklumat berniat jahat dan kempen yang bertujuan mempengaruhi di negara lain.

“Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) telah mempertimbangkan dapatan MHA dan berpuas hati bahawa (tindakan awal) adalah demi kepentingan awam, tanpa menunggu sehingga kempen maklumat berniat jahat dilaksanakan sebelum bertindak terhadap laman web ini,” katanya.

Beliau kemudian menyeru warga Singapura agar kekal berhati-hati apabila melungsuri kandungan dalam talian dan berwaspada terhadap laman web tidak sahih serta ancaman yang datang seiring.

Encik Yip bertanya sejauh mana sekatan itu berkesan memandangkan terdapat alat seperti rangkaian persendirian maya (VPN) untuk memintas langkah tersebut.

Beliau turut berkata bahawa menyekat laman web boleh membawa kepada kesan tidak diingini seperti mendorong pengguna melungsuri laman web secara bersembunyi.

“Arahan kepada penyedia perkhidmatan akses Internet supaya menyekat akses kepada 10 laman web tidak sahih itu dikeluarkan dengan niat melindungi pengguna di Singapura daripada mengaksesnya dan berpotensi diperdaya oleh laman web tidak sahih ini.

“Namun, jika individu memilih untuk memintas perlindungan ini dan menggunakan VPN atau cara lain untuk mengakses kandungan yang meragukan, mereka melakukan demikian atas risiko sendiri.

“Kami tidak boleh melindungi orang yang sengaja mengelak perlindungan tersebut,” jelasnya.

Menjawab pertanyaan tentang sama ada terdapat proses untuk pemilik laman web merayu atau mendapatkan bantuan sekiranya laman web mereka tersilap disekat, Cik Sun berkata pemegang lesen yang terkilan dengan mana-mana keputusan IMDA boleh merayu kepada menteri di bawah Seksyen 59 Akta Penyiaran.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg