Dari kedai fizikal ke ‘online’, pembuat songkok harap ada pelapis teruskan warisan ‘Cap Beca’

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dari kedai fizikal ke ‘online’, pembuat songkok harap ada pelapis teruskan warisan ‘Cap Beca’

Mar 23, 2026 | 3:01 PM

Dari kedai fizikal ke ‘online’, pembuat songkok harap ada pelapis teruskan warisan ‘Cap Beca’

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Encik Abdul Wahab Abdullah kini mengendalikan perniagaannya dari gudang di 3013 Bedok Industrial Park E.
Encik Abdul Wahab Abdullah kini mengendalikan perniagaannya dari gudang di 3013 Bedok Industrial Park E. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Sempena peralihan Berita Harian (BH) ke saiz kompak dalam proses transformasinya, akhbar ini memperkenalkan siri Melayu SG. Siri baru ini mengetengahkan individu, perniagaan dan pertubuhan yang mencipta semula diri mereka untuk mengharungi arus perubahan. Dalam siri kali ini, BH memaparkan perniagaan warisan.

Di sebelah mesin yang masih menderu, timbunan songkok tersusun rapi menanti sentuhan akhir.

Pembuat songkok veteran Singapura, Encik Abdul Wahab Abdullah, 66 tahun, dengan tekun menjahit songkoknya, memastikan satu per satu hasilnya itu menepati keperluan pelanggan.

Jika dahulu beliau sekejap-sekejap perlu berhenti menjahit demi melayan pelanggan di kedai, Encik Wahab kini dapat meneruskan kerjanya tanpa sebarang gangguan dalam gudang di 3013 Bedok Industrial Park E.

Sejak berpindah keluar dari kedainya di City Plaza dua tahun lalu, perniagaan Encik Wahab beralih ke dalam talian sepenuhnya.

Bagi ‘orang lama’ sepertinya, arus media sosial antara cabaran yang dihadapi.

Menyingkap perjalanan perniagaan songkok yang diasas bapanya pada 1924, Encik Wahab berkata:

“Zaman arwah bapa saya dulu, untuk memperkenalkan perniagaan, beliau harus buat pengenalan di panggung wayang, di (akhbar) Berita Harian, surat khabar supaya orang kenal. Tapi sekarang ada media sosial, Instagram, TikTok.

“Alhamdulillah saya ada anak yang boleh jalankan kerja pemasaran. Kita kena bergabung antara generasi muda dan generasi lama. Jadi apa pun kita kena sama-sama.”

Walaupun akui bahawa media sosial menyumbang kepada suasana perniagaan yang semakin sengit, Encik Wahab tidak sama sekali bimbang bahawa perniagaannya akan hilang tempat dalam masyarakat.

“Songkok ini tak akan mati. Ibarat pepatah tak akan Melayu hilang di dunia,” ujarnya yang yakin warisan Melayu ini akan terus dipelihara.

Malah, setelah anaknya membuat pemasaran di TikTok, Encik Wahab melihat peningkatan yang banyak, dan secara purata, beliau menghasilkan lebih 100 songkok dalam sebulan.

Sama seperti peniaga lain, Encik Wahab berkata harga sewa yang kian meningkat adalah satu hambatan.

Sejak berpindah kedai dari Pasar Geylang, ke Tanjong Katong Complex, kemudian City Plaza, beliau meraskan kesan harga sewa yang naik dari $400 hinggalah $5,000.

Kini di gudang, Encik Wahab dapat mengurangkan kos operasi perniagaannya, dan pada masa yang sama menikmati keseimbangan kehidupan dan kerja yang lebih baik.

“Kalau saya buat songkok di gudang, satu songkok boleh siap dalam dua jam. Tapi kalau di kedai, kadang-kadang satu songkok pun tak boleh buat kerana perlu layan pelanggan,” ujarnya.

Menurut Encik Wahab, kini pelanggan yang berkunjung ke gudangnya adalah mereka yang benar-benar ingin menempah songkok, dengan pelanggannya bukan sahaja dalam kalangan penduduk Singapura, malah berasal dari sejauh Malaysia, Brunei, Australia, Iceland, antara lain.

Sementara beliau menyiapkan songkok siap untuk dipakai, pelanggan yang berjumpa beliau selalunya inginkan songkok yang disesuaikan.

“Kalau pelanggan nak menyesuaikan songkok, kita tengok bentuk kepalanya. Ini kerana kepala kita ini bentuknya – yang ada lebar, yang ada bulat, yang ada tinggi atas, yang ada bahagian belakang leper. Rata-rata pelanggan datang untuk kepuasan hati mereka,” ujarnya.

Beliau menambah bahawa pembuatan songkok bukan bersandarkan teknologi mesin semata-mata, tetapi juga memerlukan kemahiran tangan.

Justeru bagi memastikan ilmu membuat songkok terus diwarisi, bapa tiga anak itu sudah mengajar ketiga-tiga anaknya menjahit songkok sejak mereka berumur kira-kira enam atau tujuh tahun.

Peringkat usia itulah juga apabila Encik Wahab sendiri menuntut ilmu daripada bapanya sebelum berjinak-jinak dalam perniagaan membuat songkok.

Encik Abdul Wahab kemudian membuka kedainya sendiri di Pasar Geylang Serai selepas mewarisi perniagaan membuat songkok itu daripada bapanya pada 1982, ketika berusia 22 tahun.

Beliau akur kurang tahu menahu mengenai skim bagi perniagaan warisan, atau jika perniagaannya layak, namun terbuka untuk menerima sebarang bentuk sokongan untuk meneruskan perniagaannya itu.

Kini, Encik Wahab yang menganggap dirinya separuh bersara berkata:

“Kalau saya ada pelapis anak yang boleh ganti, saya bersyukurlah kerana itu yang terbaik. Saya nak jaga label ‘Cap Beca’ kerana arwah bapa saya bawa beca selama 22 tahun untuk membesarkan 11 orang anak.

“Warisan kalau tak dipelihara, siapa lagi nak pelihara? Kecuali kita orang Melayu yang perlu menjaganya. Jadi kalau bagi saya, mesti ada pelapis untuk setiap pekerjaan warisan.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg