Dari Madrasah Aljunied ke Al-Azhar, membentuk asatizah masa depan S’pura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dari Madrasah Aljunied ke Al-Azhar, membentuk asatizah masa depan S’pura

Melalui pendidikan yang seimbangkan kecemerlangan akademik, pembinaan keperibadian, madrasah persiap pelajar untuk ungguli peperiksaan dan pikul tanggungjawab bimbing masyarakat
Mar 6, 2026 | 5:30 AM

Dari Madrasah Aljunied ke Al-Azhar, membentuk asatizah masa depan S’pura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Madrasah Aljunied Al-Islamiah, universiti al-azhar, asatizah, pendidikan, akademik, pembinaan keperibadian
Pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar di Mesir, meneruskan tradisi kecemerlangan ilmu dan dakwah di persada antarabangsa institusi itu. - Foto MADRASAH ALJUNIED AL-ISLAMIAH

Di tengah-tengah arus pendidikan moden yang menawarkan pelbagai laluan akademik dan kerjaya, Madrasah Aljunied Al-Islamiah terus mengekalkan tradisi keilmuan yang berakar kukuh, iaitu laluan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir.

Laluan Al-Azhar bukan sekadar pilihan akademik, tetapi kesinambungan warisan ilmu yang telah melahirkan generasi asatizah tempatan sejak puluhan tahun.

Melalui sistem pendidikan yang menyeimbangkan kecemerlangan akademik dan pembinaan sahsiah, atau keperibadian, pelajar dipersiapkan bukan untuk cemerlang dalam peperiksaan sahaja, malah memikul tanggungjawab membimbing masyarakat.

Pada 2024, dua pelajar cemerlang Madrasah Aljunied menyerlah sebagai contoh kejayaan laluan tersebut.

Cik Nusaybah Muhammad Iqbaal dinobatkan sebagai Pelajar Cemerlang Al-Azhar 2024 dan menerima Biasiswa Syed Isa Semait 2025.

Encik Ahmad Musaddiq Samadi pula pelajar cemerlang Program Diploma International Baccalaureate (IBDP) 2024 dan penerima Biasiswa Syed Isa Semait 2025. Beliau memilih meneruskan pengajian melalui laluan Al-Azhar 2.0.

Bagi Cik Nusaybah, minat terhadap pengajian agama merupakan satu kecenderungan yang telah lama tertanam dalam dirinya. Ketika diberi pilihan antara aliran IBDP dan Al-Azhar 2.0 di menengah dua, beliau memilih berdasarkan kesesuaian minat dan cita-citanya.

Menurut beliau, laluan Al-Azhar lebih dekat dengan aspirasi hidupnya. Sokongan ibu bapa sepanjang proses tersebut turut mengukuhkan keyakinannya.

Beliau berharap dapat membantu masyarakat memahami agama secara lebih dekat dan relevan dengan kehidupan semasa.

“Jika ilmu yang saya pelajari dapat membantu seseorang lebih memahami agamanya dan merasai ketenangan, itu sudah memadai,” kata Cik Nusaybah.

Keputusan Encik Musaddiq pula memberi dimensi berbeza terhadap definisi kejayaan.

Walaupun mencatat keputusan cemerlang dalam IBDP, beliau tetap memilih Al-Azhar kerana tertarik pada kekayaan tradisi keilmuan di negara itu. Selain kuliah formal, peluang mengikuti kelas pengajian kitab bersama ulama di Mesir menjadi daya tarikan utama baginya.

Menurut Encik Musaddiq, gabungan pendidikan IBDP dan pengajian di Al-Azhar membentuk asas yang seimbang.

IBDP melatih pemikiran kritikal dan keupayaan melihat isu daripada pelbagai sudut, manakala Al-Azhar memberikan asas ilmu agama kukuh dan bersanad, iaitu menyandarkan hadis kepada rangkaian orang yang meriwayatkannya, atau para perawi.

Pengalaman menuntut di Mesir, termasuk menyesuaikan diri dengan persekitaran dan sistem pembelajaran berbeza, turut membentuk kematangan serta disiplin diri, ujar Encik Musaddiq.

Di sebalik kejayaan pelajar, sokongan masyarakat memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan sistem madrasah.

Sumbangan yang disalurkan melalui pelbagai inisiatif dana pendidikan bukan menyokong operasi harian madrasah sahaja, bahkan merupakan pelaburan jangka panjang dalam pembangunan asatizah tempatan.

Dengan perkembangan seperti penubuhan Kolej Pengajian Islam Singapura (Singapore College of Islamic Studies (SCIS), ekosistem pengajian agama Islam di Singapura semakin kukuh. Bersama kesinambungan laluan tradisional seperti Universiti Al-Azhar, pendidikan Islam kini bergerak secara lebih tersusun dan progresif.

Kejayaan pelajar seperti Cik Nusaybah dan Encik Musaddiq membuktikan bahawa dengan sistem pendidikan mantap dan sokongan berterusan masyarakat, madrasah mampu melahirkan generasi asatizah yang berdaya saing dan berjiwa berkhidmat untuk masa depan Singapura.

Untuk menyokong Madrasah Aljunied Al-Islamiah, imbas kod QR  ini.
Untuk menyokong Madrasah Aljunied Al-Islamiah, imbas kod QR ini. -

SOKONG MADRASAH ALJUNIED AL-ISLAMIAH

Untuk menderma kepada Madrasah Aljunied Al-Islamiah, sila imbas kod QR ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg