Dari penerima kepada pemberi... duit Raya
Saban tahun menjelang Hari Raya Aidilfitri, hati saya bergelora, tidak sabar menziarahi sanak saudara. Bukan sekadar bertemu, malah teruja melihat sampul-sampul duit Raya memenuhi kocek baju.
Itulah ‘matlamat’ utama semasa saya kecil.
Senyuman manis terukir setiap kali ahli keluarga, malah orang yang tidak dikenali, menghulurkan duit Raya.
Masa berlalu, usia bertambah, soalan mula beralih kepada saya: “Adik sudah bekerja atau masih sekolah?”
Kini, tiba giliran saya pula untuk menggandakan keceriaan sanak saudara, baik yang muda mahupun yang berusia, dengan memberi sampul duit Raya.
Detik ini dinanti-nantikan sejak saya mula bekerja pada Julai 2025. Lebaran tahun ini terasa lebih istimewa kerana saya kini bergelar suami.
Dalam keterujaan membuat persiapan, saya sedar ada banyak perkara yang perlu difikirkan sebagai seorang dewasa muda yang pertama kali menyertai tradisi memberi duit Raya.
Siapa yang patut diberi? Apakah ‘kadar pasaran’ untuk duit Raya? Mampukah saya menyediakan jumlah sebanyak itu?
Beberapa garis panduan sedia ada boleh membantu saya mengemudi situasi ini.
Antaranya ialah tinjauan terbaru oleh sayap penyelidikan AMP Singapura, Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (Rima).
Secara umumnya, jumlah yang ditetapkan dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti usia penerima, ikatan kekeluargaan, kos sara hidup, kemurahan hati pemberi dan beberapa faktor lain.
Berdasarkan pengalaman saya setakat ini, saudara-mara yang lebih rapat dan berusia diberikan jumlah yang lebih besar.
Misalnya, bagi saudara-mara yang lebih muda, jumlah antara $4 hingga $20 biasanya diberikan semasa sambutan Hari Raya kini.
Ada juga yang memberi kadar lebih rendah antara $2 hingga $5, untuk saudara-mara muda yang jauh atau yang tiada ikatan kekeluargaan yang rapat.
Keutamaan saya tentunya memberikan duit Raya kepada ibu bapa dan adik-beradik.
Saya juga ingin memberikan duit Raya kepada saudara-mara yang lebih tua, termasuk datuk, nenek, serta makcik dan pakcik yang telah banyak menghulurkan bantuan.
Pada mulanya, saya yakin dengan persiapan saya kerana pernah ‘berlatih’ memberi duit Raya kepada ahli keluarga terdekat sejak menerima wang elaun Perkhidmatan Negara (NS) dan latihan amali pada 2019.
Namun, keraguan mula menyelinap apabila saya sedar kini ada lebih ramai saudara-mara.
Senarai saudara-mara yang lebih muda telah bertambah sejak saya mendirikan rumah tangga!
Saya juga mengakui terasa sedikit terbeban dengan harapan yang lebih tinggi untuk pemberian duit Raya kali ini, memandangkan saya sudah bekerja sepenuh masa.
Saya benar-benar ingin memastikan jumlah yang mencukupi diberikan kepada setiap ahli keluarga. Namun, adakah wajar jika saya menetapkan wang mengikut keakraban dengan saudara yang berbeza?
Dalam menetapkan bajet keseluruhan duit Raya, saya juga perlu mengambil kira perbelanjaan lain termasuk kos perumahan, pembelian barangan rumah dan barangan untuk persiapan Lebaran.
Walaupun ‘garis panduan’ sedemikian wujud, insan tersayang meyakinkan saya bahawa memberi duit Raya bukanlah kewajipan yang membebankan.
Sebaliknya, ia adalah amalan yang menyerlahkan semangat memberi, dan tidak seharusnya dipengaruhi oleh trend sosial.
Itulah nasihat isteri saya, yang sudah memberi duit Raya sejak 2024.
Ibu bapa saya menasihati bahawa kami sepatutnya memberi jumlah mengikut kemampuan masing-masing.
“Yang penting, ikhlas,” ujar mereka.
Memandangkan ini kali pertama, saya terharu dengan sokongan keluarga. Mereka tidak pernah menetapkan jumlah yang mereka harapkan, mahupun meminta duit Raya daripada saya atau saudara-mara yang melalui fasa kehidupan yang serupa.
Sebaliknya, mereka menyambut langkah ini dengan penuh kesyukuran kerana kami mengingati mereka, sambil berasa bangga kami berada dalam keadaan yang stabil dan berdikari.
Setelah membesar, saya tidak lagi menganggap duit Raya semata-mata sebagai rezeki kewangan, tetapi sebagai amalan yang bermakna.
Bagi saya, ia adalah peluang penting untuk menghargai jasa baik saudara-mara dan ahli keluarga yang ikhlas membesarkan saya dan menyumbang kepada kejayaan saya.
Akhirnya, duit Raya hanyalah sentuhan manis seusai kami memohon maaf.
Menjelang perayaan pada 21 Mac, tentulah saya teruja untuk mengucapkan kata-kata ini: “Adik, mari sini, uncle nak beri duit Raya!”
Saya akan melakukannya sambil bersyukur kerana dapat menggembirakan kanak-kanak, sama seperti ramai orang dewasa yang telah melakukannya untuk saya sepanjang tahun-tahun ini.

