Berapa banyak duit Raya yang harus diberi? Kajian Rima dapati kadar kini $4-$20

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Berapa banyak duit Raya yang harus diberi? Kajian Rima dapati kadar kini $4-$20

Daripada 50 sen dahulu hingga ke $20 hari ini, kadar duit Raya telah berubah mengikut zaman, didorong faktor seperti kos sara hidup dan inflasi
Mar 13, 2026 | 12:00 PM

Berapa banyak duit Raya yang harus diberi? Kajian Rima dapati kadar kini $4-$20

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Meski khidmat e-pemindahan wang seperti PayNow kian kerap digunakan ramai, sebahagian besar responden – kedua-dua si pemberi dan si penerima – tetap lebih suka jika duit Raya diberikan dan diterima secara fizikal, iaitu wang tunai dalam sampul Raya, menurut dapatan tinjauan yang dijalankan Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (Rima).
Meski khidmat e-pemindahan wang seperti PayNow kian kerap digunakan ramai, sebahagian besar responden – kedua-dua si pemberi dan si penerima – tetap lebih suka jika duit Raya diberikan dan diterima secara fizikal, iaitu wang tunai dalam sampul Raya, menurut dapatan tinjauan yang dijalankan Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (Rima). - Foto fail

Bila tiba Hari Raya, tradisi paling dinanti-nantikan – dari kanak-kanak hingga remaja – pastinya pemberian duit Raya daripada ibu bapa dan sanak saudara, seusai bersalam-salaman dan bermaaf-maafan.

Malah, ada si kecil yang sudah bijak mengira nilai wang yang diterima, lantas ‘menganalisis’ tangan pakcik atau makcik mana yang patut disalam demi sampul duit Raya yang ‘lebih tebal’.

Namun, berapakah ‘kadar pasaran’ duit Raya hari ini dan apakah penentunya?

Menurut tinjauan yang dijalankan sayap penyelidikan AMP Singapura, Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (Rima), baru-baru ini, jumlah antara $4 hingga $20 adalah kadar biasa yang diberikan kepada saudara mara lebih muda semasa Hari Raya kini.

Ada juga yang bersedia menghulur lebih, sehingga $50.

Kadar duit Raya itu telah jauh berubah jika dibandingkan dengan tahun-tahun 1970-an, yang mana kanak-kanak mungkin menerima antara 5 sen dengan 50 sen.

Evolusi kadar duit Raya dulu dan sekarang itu mencerminkan perubahan nilai mata wang, terutama disebabkan faktor inflasi, kata Cik Izzatie Adnan, penganalisis penyelidik di Rima kepada Berita Harian (BH).

“$1 yang sama pada masa lalu boleh membeli lebih banyak barang berbanding $1 pada hari ini.

“Namun, kami dapati bahawa masyarakat sedang menyesuaikan amalan budaya supaya dapat kekal relevan dalam persekitaran kos sara hidup yang lebih tinggi.

“Lagipun, harga sebungkus nasi lemak boleh mencecah $3 atau lebih pada masa sekarang, sedangkan ibu bapa kita – hanya satu generasi yang lalu – tidak membayar walaupun 10 peratus daripada harga tersebut sewaktu mereka masih kanak-kanak,” kata beliau.

Dapatan ini terhasil daripada satu siri tinjauan yang Rima jalankan pada minggu kedua Ramadan, bertujuan meninjau trend duit Raya dalam kalangan masyarakat Melayu Singapura.

Tinjauan media sosial itu, yang mengandungi tiga soalan berbilang pilihan dan lima soalan terbuka, menarik respons antara 30 hingga 50 individu.

Untuk saudara-mara jauh yang lebih muda atau mereka yang tiada ikatan keluarga, kadar pasaran duit Raya didapati lebih rendah, tertumpu pada lingkungan $2 hingga $5.

Sekitar 43 peratus responden menyatakan mereka akan memberikan $2, manakala 31 peratus memilih $4.

Sejumlah 24 peratus pula memberikan $5; dan hanya 2 peratus memilih $10.

Namun, pemberian duit Raya tidak terhad kepada anak saudara dan sepupu yang masih muda.

Masyarakat Melayu juga pemurah memberikan duit Raya kepada saudara-mara yang lebih tua, termasuk datuk nenek, makcik pakcik yang lanjut usia, serta saudara-mara yang sakit atau tidak bekerja.

Bagi golongan ini, majoriti besar responden menyatakan mereka memberikan jumlah yang lebih tinggi, sekitar $20 hingga $50, dengan nilai terendah $10 dan tertinggi $100.

Cik Izzatie menjelaskan terdapat dua penentu kadar pemberian duit Raya, iaitu faktor luaran dan individu.

Faktor luaran merujuk kepada konteks atau norma masyarakat yang lebih luas, seperti kos sara hidup standard bagi penduduk dan nilai sebenar $5 hari ini berbanding 50 sen berdekad yang lalu.

“Ini juga mungkin meliputi norma sosial yang samar, seperti apa yang dianggap sebagai jumlah ‘biasa’ untuk diberi atau diterima oleh si pemberi, berdasarkan pemerhatian mereka terhadap persekitaran,” jelas beliau.

Faktor individu merangkumi taraf pendapatan dan pekerjaan, usia, saiz keluarga, serta kemurahan hati si pemberi.

Walaupun khidmat e-pemindahan wang seperti PayNow semakin popular, dapatan menunjukkan majoriti responden – pemberi dan penerima – masih cenderung kepada tradisi pemberian duit Raya secara fizikal, iaitu wang tunai dalam sampul.

Ketika ditanya, 75 peratus responden memilih untuk menerima duit Raya secara fizikal, manakala 23 peratus bersikap neutral antara wang fizikal dan pemindahan digital.

Kecenderungan yang sama terlihat pada si pemberi; 93 peratus daripadanya masih memilih untuk menyerahkan duit Raya secara fizikal berbanding digital.

Mengulas hal ini, Cik Izzatie menyatakan bahawa masyarakat Melayu masih teguh berpegang pada adat, meskipun cara perlaksanaannya mungkin berubah seiring waktu.

Intipati amalan duit Raya bukan sekadar aktiviti ‘memberi atau menerima’ wang, tetapi terletak pada makna tersirat yang mendalam.

“Seperti yang kami temui, amalan bersalam – lambang hormat dan syukur – misalnya, adalah amalan utama yang mengiringi pemberian duit Raya.

“Tindakan fizikal seperti menyediakan wang tunai, menyusunnya ke dalam sampul, membawanya, dan memberikannya secara bersemuka, lebih peribadi dan mencerminkan keikhlasan usaha itu.

“Pemindahan duit Raya secara digital berisiko menghilangkan amalan sampingan ini (dan makna di sebaliknya),” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg