$4 cukup? Dilema ‘Gen Z’ beri duit Raya kali pertama
Dahulu, setiap kali Syawal menjelma, kocek baju Melayu Encik Abdul Rauf Saharudin penuh dengan sampul duit Raya yang diberikan keluarga dan sanak saudara.
Seperti ramai kanak-kanak lain, di penghujung hari nanti, beliau akan membuka setiap sampul itu dan menghitung setiap nota yang dikeluarkan sebagai tanda ‘rezeki’ setahun sekali yang diterimanya dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran.
Namun, Hari Raya Aidilfitri kali ini berbeza bagi pemuda berusia 25 tahun itu.
Tiada lagi debaran menjadi si penerima, sebaliknya beliau kini ghairah menjadi pemberi.
“Sebenarnya, saya rasa gembira kerana ini sesuatu yang saya nanti-nantikan. Biasanya, saya yang jadi penerima.
“Tetapi kali ini berbeza kerana saya pula yang memberi. Tahun ini, rasa seronok sangat dapat beri duit Raya. Rasa macam diri ini dah betul-betul dewasa, melangkah ke lembaran baharu dalam hidup saya,” katanya, yang mula bekerja sebagai jurutera sivil sejak Ogos 2025.
Menerusi kupasan santai Berita Harian (BH) terhadap tradisi tahunan ini, Encik Abdul Rauf kini menyertai barisan anak muda dan Gen Z (bawah 29 tahun) yang baru berkerjaya dan kini lebih sedar duit Raya perlu dimasukkan dalam rancangan perbelanjaan menyambut Syawal.
Sebagai contoh, Encik Abdul Rauf telah mengetepikan ‘bajet’ duit Raya sekitar $500 untuk diberikan kepada ibu bapa, tiga adik perempuannya, saudara-mara yang lebih muda dan juga anak-anak kecil yang tidak dikenali sekiranya berjumpa di rumah orang semasa jalan Raya.
Bagi saudara-mara yang lebih muda dan juga anak-anak kecil, beliau rancang memberi antara $5 dengan $10 seorang, bergantung pada berapa rapat hubungan mereka.
“Saya tak akan beri lebih daripada $10 sebab bila didarabkan dengan jumlah orang yang saya perlu beri, jumlahnya boleh tahan besar juga.
“Tapi saya tak akan beri kurang daripada $5 sebab bagi saya $5 itu jumlah yang ‘cantik’. Kalau kurang daripada $5 rasa macam terlalu sikit sangat kerana saya sendiri tak mahu terima kurang dari $5,” ujar beliau sambil tertawa.
Menurut tinjauan yang dijalankan sayap penyelidikan AMP Singapura, Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (Rima) baru-baru ini, jumlah antara $4 dengan $20 adalah kadar biasa yang diberikan kepada saudara-mara lebih muda semasa Hari Raya kini.
Ini telah jauh berubah jika dibandingkan dengan tahun-tahun 1970-an, yang mana kanak-kanak mungkin menerima antara 5 sen dengan 50 sen, mencerminkan perubahan nilai mata wang, terutama disebabkan faktor inflasi.
Sementara itu, dapatan turut menunjukkan untuk saudara-mara lebih muda yang jauh atau mereka yang tiada ikatan keluarga, kadar pasaran duit Raya didapati lebih rendah, tertumpu pada lingkungan $2 hingga $5.
Beberapa pemberi duit Raya kali pertama lain yang dihubungi BH turut melahirkan rasa ghairah dan bersyukur dapat menyumbang kepada keluarga dan sanak saudara pada Hari Raya ini.
Meski gembira dapat memberi duit Raya, Cik Inka Maryssa Mohamad Sophian, 24 tahun, mengakui ada rasa sedikit tertekan dalam menentukan ‘kadar pasaran’ yang perlu diberikan kepada saudara-maranya.
“Kalau ikut kadar pasaran, saya rasa $2 dah tak main. Mungkin paling sedikit $4 atau $5.
“Jadi saya rasa agak stres jugalah bila fikirkan berapa banyak yang saya perlu ketepikan sebagai duit Raya,” kata penolong pengurus di sebuah lembaga berkanun itu.
Encik Muhammad Amirul Hakim Mohamad Helmy, 25 tahun, pula bukan sahaja buat julung-julung kalinya memberikan sampul Raya kepada keluarga dan sepupu lebih muda, malah turut menghulurkan pemberian sulung kepada isterinya.
Tahun ini merupakan tahun pertama mereka bergelar suami isteri dan menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama-sama, kata guru latihan jasmani itu.
“Sebab tahun-tahun sebelum ini saya yang menerima, tapi sekarang bila sudah ada pendapatan sendiri, tibalah masanya untuk saya membalas budi keluarga yang banyak menyokong saya sejak kecil.
“Sejujurnya saya memang terfikir-fikir siapa yang patut saya beri. Budak-budak itu memang sudah semestinya. Tapi bila cakap tentang orang tua, ibu bapa serta datuk nenek yang menjaga saya sejak lahir sudah tentu akan jadi penerima, begitu juga dengan pak cik dan mak cik yang melihat saya membesar daripada seorang budak kecil sehinggalah dewasa sekarang,” ujar beliau.

