Pendidikan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Permintaan tuisyen bagi murid keperluan khas meningkat

Didorong kesedaran ibu bapa, keperluan sokongan pembelajaran lebih tersusun
Oct 16, 2025 | 5:30 AM
adhd, tuition, autism, dyslexia
Menurut beberapa agensi tuisyen di Singapura, lebih ramai ibu bapa kini lebih terbuka berbincang mengenai pendidikan keperluan khas, lantas mendorong permintaan bagi khidmat tuisyen untuk kanak-kanak yang mempunyai disleksia, autisme, atau Gangguan Hiperaktif Kurang Tumpuan (ADHD). - Foto PIXABAY

Beberapa agensi tuisyen di Singapura melaporkan peningkatan ketara dalam permintaan bagi khidmat tuisyen untuk kanak-kanak berkeperluan khas seperti disleksia, autisme, serta Gangguan Hiperaktif Kurang Tumpuan (ADHD).

Walaupun kebanyakan murid tersebut berusia antara tujuh dengan 12 tahun dan belajar di sekolah arus perdana, sebahagian lagi mengikuti pendidikan di sekolah keperluan pendidikan khas.

Justeru bagi ramai ibu bapa, kelas tambahan seperti tuisyen merupakan cara penting untuk membantu anak memahami pelajaran mengikut kadar masing-masing.

Menurut Genius Mind Home Tuition, agensi tuisyen yang menyediakan sesi peribadi di rumah, permintaan bagi tuisyen untuk kanak-kanak berkeperluan khas meningkat sebanyak 67 peratus sejak 2023.

Agensi itu turut menawarkan khidmat tuisyen bagi kanak-kanak yang tidak mempunyai keperluan khas.

Pengasasnya, Encik Gary Ong, berpendapat peningkatan tersebut didorong oleh kesedaran ibu bapa yang lebih tinggi dan peningkatan diagnosis bagi keadaan seperti ADHD dan autisme.

“Ini juga mungkin disertai dengan pengiktirafan yang semakin meningkat bahawa sekolah arus perdana mungkin tidak sentiasa dapat menyediakan sokongan individu yang mencukupi.

“Ibu bapa sering berkongsi bahawa saiz kelas yang besar di sekolah arus perdana menyukarkan anak mereka menerima perhatian dan strategi pembelajaran yang disesuaikan dengan keperluan mereka.

“Tuisyen peribadi berfungsi sebagai sistem sokongan yang saling melengkapi, menawarkan perhatian secara peribadi yang seiring dengan sokongan dan terapi berasaskan sekolah,” jelasnya.

Sementara itu, Nivaa, penyedia khidmat tuisyen peribadi di rumah khusus bagi kanak-kanak berkeperluan khas, turut menyaksikan peningkatan pendaftaran sejak ditubuhkan pada 2023.

Menurut pengasasnya, Dr Bipin Bhola, mereka memberi khidmat kepada lebih 500 keluarga sejak ditubuhkan, dan kini mendidik atau memberi bimbingan tuisyen kepada kira-kira 150 murid setiap bulan.

Kebanyakan murid tersebut mempunyai autisme, disleksia dan ADHD.

Nivaa merupakan anak syarikat Kaleidoscope Therapy Group, syarikat penyelesaian terapi pediatrik yang menyediakan terapi penyelesaian untuk kanak-kanak dengan perbezaan perkembangan saraf.

Dr Bipin, yang juga ketua pegawai eksekutif kumpulan dan rakan kongsi Kaleidoscope Therapy Group, berkata Nivaa menerima antara 30 dengan 40 pendaftaran baru setiap bulan.

Ibu bapa yang mendaftarkan anak mereka ke Nivaa ujar beliau, turut berkongsi mereka pernah mencuba kelas tuisyen biasa sebelum ini, namun tidak melihat sebarang perubahan atau penambahbaikan dalam pembelajaran anak mereka.

“Oleh itu, adalah penting bagi kami untuk menyesuaikan pelajaran dengan keperluan murid.

“Kami juga berkongsi maklumat ini dengan ibu bapa supaya mereka faham keperluan pembelajaran anak mereka.

“Setiap kanak-kanak berbeza, jadi kami perlu menyesuaikan pelajaran kami bagi setiap anak,” terangnya.

Agensi tuisyen yang tidak memberi tumpuan khusus kepada pendidikan keperluan khas juga menerima pertanyaan daripada ibu bapa sama ada mereka boleh menampung keperluan kanak-kanak berkeperluan khas.

Di Pusat Pendidikan MasterMaths, seorang dua daripada setiap 20 murid yang didaftarkan mempunyai keperluan khas seperti disleksia dan ADHD.

Ini meskipun mereka tidak menawarkan sesi tuisyen khusus bagi kanak-kanak berkeperluan khas.

Menurut pengasasnya, Encik Mohamed Irfan Mohamed Musthapa, kira-kira dua daripada 20 pertanyaan yang diterima sejak 2023 adalah daripada ibu bapa yang mempunyai anak berkeperluan khas.

Beliau juga berkata salah seorang daripada murid yang didaftarkan di pusatnya merupakan kanak-kanak yang cacat penglihatan.

“Walaupun tutor kami tidak dilatih untuk mengajar kanak-kanak berkeperluan khas, sesetengah ibu bapa tetap mendaftarkan anak mereka yang mempunyai keperluan khas.

“Ini kerana mereka mahu anak mereka, yang belajar di sekolah arus perdana, mendapat bimbingan khusus dan dididik oleh tutor yang pakar dalam mata pelajaran tertentu bagi menghadapi peperiksaan nasional, terutamanya Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE),” ujar Encik Irfan.

Beliau mendedahkan bahawa tempoh pendaftaran tuisyen paling tinggi ialah sebaik sahaja cuti sekolah Jun tamat kerana ibu bapa ingin anak mereka bersedia untuk peperiksaan hujung tahun.

Oleh kerana tutor agensinya tidak dilatih mengajar kanak-kanak berkeperluan khas, Encik Irfan menekankan bahawa mereka benar-benar perlu mengamalkan belas kasihan, kesabaran dan empati ketika mengajar.

Ditanya mengapa agensinya tetap mengambil kanak-kanak berkeperluan khas walaupun tidak terlatih untuk mengajar mereka, Encik Irfan berkongsi:

“Kami tidak menafikan mereka akses ke pusat tuisyen kami.

“Kebanyakan ibu bapa mendaftarkan anak kerana ingin mereka bersedia untuk peperiksaan.

“Kanak-kanak ini kebanyakannya bersekolah di sekolah arus perdana, jadi mereka menduduki peperiksaan nasional dan ibu bapa mereka sangat prihatin agar mereka dapat maju ke peringkat pendidikan seterusnya.”

Setakat ini, Pusat Pendidikan MasterMaths, yang ditubuhkan pada 2014, mempunyai empat pusat – Little India, Tampines, Woodlands dan Jurong East – dan satu pusat dalam talian.

Ia kini mempunyai kira-kira 20 kakitangan sepenuh masa, termasuk pakar matematik dan sains, dan kira-kira 50 tutor separuh masa, yang boleh mengajar murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah.

Sementara itu, Encik Gary dan Dr Bipin berpendapat permintaan bagi tuisyen kanak-kanak berkeperluan khas akan terus berkembang bagi menyediakan pembelajaran tambahan yang melengkapi pendidikan di sekolah.

Apabila kesedaran tentang pendidikan keperluan khas meningkat, Encik Gary berkata ibu bapa lebih terbuka berbincang tentang perbezaan cara pembelajaran dan meminta sokongan yang disesuaikan berbanding berdiam diri disebabkan stigma.

Tambahnya, keutamaan ibu bapa kini beralih daripada sekadar “memperbaiki gred” anak kepada “memahami cara seorang anak belajar”.

“Saya rasa pada masa ini, ramai ibu bapa lebih mengutamakan usaha membina keyakinan diri dan ketahanan emosi anak.

“Mereka faham bahawa peningkatan dari segi akademik akan berlaku secara semula jadi apabila anak mereka berasa yakin dan selamat.”

Sementara itu, Dr Bipin berkata permintaan bagi tuisyen kanak-kanak berkeperluan khas akan sentiasa wujud, dan persoalannya adalah bagaimana permintaan itu dapat dipenuhi dengan tepat.

Menurutnya, Nivaa baru-baru ini menerima permintaan daripada Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Majlis Bantuan Pembangunan Masyarakat Cina (CDAC) dan Salvation Army untuk mengendali sesi tuisyen bagi penerima manfaat mereka.

“Kini, ramai kanak-kanak memerlukan tuisyen berkeperluan khas. Ia bergantung kepada sama ada ibu bapa mereka boleh mendapat akses kepada tuisyen tersebut.

“Ibu bapa juga lebih terbuka berbincang mengenai pendidikan keperluan khas, jadi saya tidak rasa permintaan untuk tuisyen keperluan khas akan berkurang dalam masa terdekat,” kata Dr Bipin.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg