Darul Arqam Singapura menolak sebarang dakwaan bahawa ia mempunyai kaitan dengan pergerakan Al-Arqam yang diharamkan di Malaysia, serta menafikan sebarang kaitan dengan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH).
Dalam satu kenyataan dikeluarkan 5 Oktober, Darul Arqam Singapura menyatakan bahawa ia mesti mengulangi pendiriannya, dengan mengatakan bahawa ia mengambil reputasi dan integritinya dengan sangat serius kerana ia menjunjung perintah tadbir urus persatuan itu pada tahap dan ketertiban tertinggi.
“Kami berikrar untuk bertolak ansur sepenuhnya dan taat setia terhadap keharmonian antara agama dan kaum di Singapura yang berbilang aspek dan budaya untuk wujud bersama secara simbiotik.
“Darul Arqam Singapura memandang serius perkara ini dan tidak membenarkan sebarang salah nyata dakwaan atau sindiran yang mengaitkan persatuan kami dengan Al-Arqam dan GISBH,” tulis Darul Arqam Singapura dalam kenyataan itu.
Kenyataan tersebut ditandatangani Presiden Darul Arqam Singapura, Encik Muhammad Imran Kuna.
Menurut kenyataan itu, Darul Arqam Singapura, yang ditubuhkan pada 1979, berdedikasi dalam menyediakan peluang pendidikan yang mencerminkan prinsip Islam menerusi kuliah, kursus dan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Tambahnya, ini berharap dapat memberi mereka motivasi untuk ke arah kebaikan dan mengukuhkan fabrik sosial masyarakat.
“Darul Arqam Singapura juga secara proaktif memupuk pemahaman Islam, menyediakan perspektif Islam yang seimbang dalam kalangan semua individu tanpa mengira bangsa, bahasa atau agama,” jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan tersebut lagi, nama Darul Arqam diberi oleh mantan Mufti Singapura, Ustaz Syed Isa Semait, pada 1980.
Nama itu menghormati Aboo Abdullah Arqam bin Abi al-Arqam, seorang sahabat Nabi Muhammad saw, yang bermurah hati menawarkan rumahnya untuk pendidikan bagi umat Islam baru.
GIBSH, yang dikaitkan dengan amalan doktrin ajaran sesat Al-Arqam, telah pesat berkembang sebagai sebuah konglomerat Islam besar di Malaysia sehingga mampu bertapak di 20 negara.
Dalam senyap, kumpulan perniagaan bermotifkan agama dengan 10,000 atau lebih pengikut itu berselindung di sebalik pegangan tarekat Aurad Muhammadiah di bawah Al-Arqam, yang telah difatwakan sesat di Malaysia pada 1994.
Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia ketika itu memutuskan bahawa ajaran dan fahaman kumpulan Al-Arqam bertentangan dengan akidah dan syariah Islam sekali gus mengakibatkan syirik.
Ketika ini, GISBH – yang kini lumpuh selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggempur syarikat berkenaan bermula 11 September lalu menerusi Op Global – mungkin kumpulan ajaran sesat terbesar di Malaysia.
Pada 11 September, polis menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH yang didakwa terbabit dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak.
Susulan serbuan pertama itu, seramai 402 penghuni rumah amal berkenaan diselamatkan dan 171 individu berusia antara 17 dengan 64 tahun ditahan.
Sementara itu, Restoran Mihrimah di North Bridge Road, menafikan ia mempunyai kaitan langsung dengan siasatan terhadap GISBH yang dilaporkan terlibat dalam kes penderaan kanak-kanak di Malaysia.
Menegaskan kembali kenyataannya di media sosial pada 15 September ketika dihubungi Berita Harian (BH), pengurusnya, Encik Abdul Muiin Mohamed Johan, berkata GISBH hanya bertindak sebagai konsultan niaganya.
Pada 26 September, seorang warden sekolah agama milik GISBH dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen Klang, Selangor, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas empat tuduhan menganiaya sehingga menyebabkan kecederaan ke atas tiga kanak-kanak sebuah sekolah agama.
Pada 3 Oktober, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, telah memberi perkenan kepada fatwa terkini yang diputuskan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bahawa pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) dan rangkaiannya telah menyeleweng daripada akidah Islam sebenar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg