Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sultan Selangor perkenan fatwa Global Ikhwan seleweng akidah Islam

Jabatan Mufti Negeri Selangor akan hurai butiran lanjut fatwa terkini
Oct 4, 2024 | 1:01 PM
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (kiri), ketika menerima menghadap Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor merangkap Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir, di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, Selangor.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (kiri), ketika menerima menghadap Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor merangkap Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir, di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, Selangor. - Foto FACEBOOK SELANGOR ROYAL OFFICE

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, telah memberi perkenan kepada fatwa terkini yang diputuskan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bahawa pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) dan rangkaiannya telah menyeleweng daripada akidah Islam sebenar.

Dalam satu kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, dimaklumkan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah berpuas hati dan menyakini bahawa pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH dan rangkaiannya telah dan masih mengamalkan Aurad Muhammadiah atau Zikir Agung dibawa kumpulan Darul Arqam.

Kumpulan Darul Arqam telah difatwakan menyeleweng daripada akidah Islam sebenar menurut Warta No 54 yang disiarkan pada 4 Februari 1993.

Menurut kenyataan pada 3 Oktober itu, Sultan Selangor telah memperkenan keputusan hasil mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang telah disembah maklum kepada Sultan Selangor oleh Pengerusi jawatankuasa itu yang juga Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir, di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, Selangor.

“Fahaman, ajaran, pegangan atau amalan GISBH dan rangkaiannya mempunyai ciri-ciri yang menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan ahli sunah waljamaah daripada aspek akidah dan syariat.

“Apa-apa variasi, bentuk atau cabang mana-mana fahaman, ajaran, pegangan atau amalan baru yang mempunyai persamaan dengan semua atau sebahagian daripada elemen-elemen fahaman, ajaran, pegangan atau amalan ini adalah disifatkan menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan ahli sunah waljamaah,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut butiran lanjut mengenai fatwa terkini akan dihuraikan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Sultan Selangor pada 20 September menzahirkan rasa dukacita dengan berita berkaitan siasatan pihak polis terhadap kegiatan jenayah oleh GISBH dan rangkaiannya.

Beliau menggesa agar semua rumah amal serta sekolah Islam di bawah kawalan organisasi itu yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dengan kegiatan jenayah termasuk jenayah syariah, diarah ditutup segera, selain tidak dibenarkan beroperasi di Selangor, sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan kanak-kanak yang terlibat terus dianiaya.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 30 September telah bermesyuarat berhubung kegiatan kumpulan GISBH dan turut mengkaji serta menilai semua bahan bukti yang diterima daripada polis dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selain keterangan individu terlibat.

Pada 11 September, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan Op Global yang menyelamatkan lebih 400 kanak-kanak dan remaja dari rumah amal kendalian GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan, yang menjadi mangsa eksploitasi, dera dan serangan seksual seperti liwat.

Kumpulan perniagaan itu didakwa terpalit pelbagai kesalahan jenayah termasuk penganiayaan dan penderaan kanak-kanak, serangan seksual, penghambaan pekerja, ajaran sesat, pengubahan wang haram dan perkahwinan paksa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg