Restoran Mihrimah di North Bridge Road menafikan ia mempunyai kaitan langsung dengan siasatan terhadap konglomerat Malaysia yang dilaporkan terlibat dalam kes penderaan kanak-kanak di Malaysia, Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings.
Menegaskan kembali kenyataannya di media sosial pada 15 September ketika dihubungi Berita Harian (BH), pengurusnya, Encik Abdul Muiin Mohamed Johan, berkata GISB Holdings hanya bertindak sebagai konsultan niaganya.
Encik Abdul Muiin juga mendakwa tidak melihat sebarang kesan ketara pada hasil jualannya walaupun ada desakan masyarakat di sini agar perniagaannya diboikot, meskipun beliau agak khuatir tentang reputasi restorannya selepas kes itu menjadi perbualan ramai.
Semasa BH mengunjungi restoran itu sekitar 7 malam pada 16 September, keadaan restoran yang terletak di kawasan Kampong Gelam berdekatan Masjid Sultan itu didapati amat lengang dan hampir setengah ruang makannya tidak berpelanggan.
“Kami menggunakan khidmat GISB Holdings untuk belajar bagaimana mereka jalankan operasi dan mendapatkan kepakaran mereka sejak 2016.
“Kami ada terima aduan daripada masyarakat dan sudah ada segelintir daripada mereka yang menyuarakan hasrat memboikot perniagaan kami, tetapi setakat ini belum nampak sebarang kesan ketara,” ujarnya.
Laman rasmi GISB menunjukkan ia mempunyai perniagaan pengurusan acara, pengangkutan dan makanan di sekurang-kurangnya 10 negara, iaitu China, Turkey, Perancis, Australia, Indonesia, Arab Saudi, Russia, Jerman, Uzbekistan dan Thailand.
Laman rasmi itu turut menyenaraikan Restoran Mihrimah sebagai salah satu cawangannya di seluruh dunia.
Dalam satu kenyataan di Instagram pada 15 September, Restoran Mihrimah mengatakan GISB tidak mempunyai sebarang hubungan perniagaan secara langsung dengan restoran itu, selain sebagai penasihat sahaja.
Kenyataan itu menambah ia amat bimbang tentang kesan terhadap reputasi perniagaannya disebabkan siasatan pihak berkuasa Malaysia ke atas GISB – yang mempunyai kaitan dengan ajaran Al-Arqam yang diharamkan di Malaysia kerana menyeleweng daripada ajaran Islam.
Baru-baru ini, polis Malaysia menyelamatkan 402 kanak-kanak dari 20 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISB.
Beberapa daripada kanak-kanak itu didakwa diliwat oleh penjaga mereka dan dipaksa melakukan perkara sama ke atas rakan mereka.
Restoran Mihrimah mengatakan dalam kenyataannya bahawa ia sebuah syarikat bebas yang berdaftar di bawah Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra).
Ia ditubuhkan pada 28 Mac 2016 dan mempunyai dua pemilik warga Singapura.
Restoran Mihrimah berkata GISB menawarkan khidmat nasihat dan sokongan untuk pengurusan operasi restorannya di sini, dan ia komited menjalankan perniagaannya dengan tahap profesionalisme dan integriti tertinggi.
“Kami ingin menekankan bahawa perniagaan kami adalah bebas dan akan terus beroperasi dengan mematuhi sepenuhnya undang-undang dan peraturan Singapura.
“Kami percaya perkara ini akan diselesaikan secara adil, dan kami tetap mengharapkan hasil yang positif,” kata Restoran Mihrimah, sambil menambah bahawa ia berharap penjelasan itu akan membantu mengatasi sebarang salah faham.
Ketua Polis Negara Malaysia, Tan Sri Razarudin Razarudin Husain, berkata pada 11 September dalam satu sidang media bahawa beberapa kanak-kanak turut didera secara fizikal.
Dalam satu kenyataan media pada 14 September di Facebook, Pengarah Eksekutif GISB, Encik Nasiruddin Mohd Ali, mengakui ada “satu atau dua kes liwat terpencil” tetapi menafikan tuduhan pemerdagangan manusia dan perhambaan dalam kumpulan itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg