Data ERP 2.0 boleh bantu urus trafik, tambah jumlah kereta di S’pura
Data ERP 2.0 boleh bantu urus trafik, tambah jumlah kereta di S’pura
MOT tiada hasrat laksana bayaran berasas jarak perjalanan dalam masa terdekat
Data yang diperolehi daripada Sistem Elektronik Jalan Raya (ERP) 2.0 – yang akan dilaksanakan mulai Januari 2027 – berpotensi besar meningkatkan pengurusan trafik, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow.
Ia juga berpotensi memberi ruang kepada pertumbuhan jumlah kenderaan di Singapura pada masa depan, tambahnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang menggulung perbahasan mengenai Rang Undang-Undang Pengangkutan Darat dan Perkara Berkaitan pada 4 Februari.
“Apabila kita semakin cekap melaksanakan (ERP 2.0), mungkin lebih banyak kapasiti di jalan raya boleh diwujudkan tanpa mengambil lebih banyak tanah.
“Ini membolehkan kita mencapai pertumbuhan dalam jumlah kereta kita pada masa hadapan,” kata Encik Siow.
Menurut Encik Siow, pemerintah akan menggunakan data yang diringkaskan daripada sistem baru itu bagi tujuan pengurusan trafik serta perancangan pengangkutan.
Pihak kementeriannya juga sedang mencuba menggunakan data tersebut bagi mengoptimumkan sistem lampu isyarat, tambahnya.
Encik Siow turut memberi jaminan bahawa langkah keselamatan dan perlindungan akan dilaksanakan bagi mencegah akses kepada data tanpa kebenaran.
Seramai 24 Anggota Parlimen (AP) telah menyampaikan ucapan mereka semasa perbahasan mengenai rang undang-undang tersebut, yang berlangsung selama dua hari sejak 3 Februari.
Di bawah rang undang-undang itu – yang diluluskan di Parlimen pada 4 Februari – semua kenderaan berdaftar Singapura perlu memasang peranti unit dalam kenderaan atau on-board unit (OBU) mulai 1 Januari 2027.
Pemilik kenderaan yang belum memasang OBU akan diberi peringatan terakhir daripada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mulai 15 Februari dan diberi tempoh tiga bulan untuk berbuat demikian secara percuma.
Selepas tempoh itu, pemasangan akan dikenakan bayaran $35 untuk motosikal dan $70 bagi semua kenderaan lain.
Semasa menggulung perbahasan, Encik Siow berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak berhasrat untuk melaksanakan segera bayaran berasaskan jarak jauh di bawah sistem ERP 2.0.
“Saya tidak berhasrat untuk melaksanakan bayaran berasaskan jarak perjalanan dengan segera. Saya mahu peralihan kepada ERP 2.0 berjalan lancar.
“Jadi, adalah lebih baik untuk membiarkan keadaan stabil dan membiasakan pemandu dengan sistem baru, sebelum terlalu banyak parameter baru diperkenalkan,” katanya.
Namun, beliau menegaskan bayaran berasaskan jarak perjalanan masih merupakan pilihan bagi masa hadapan dan MOT perlu mengkaji perkara ini dengan lebih lanjut sebelum ia dilaksanakan.
Beliau turut memberi jaminan bahawa pemandu akan diberi notis mencukupi sekiranya langkah tersebut ingin diperkenalkan.
Encik Siow menambah bahawa rangka kerja sedia ada bagi kadar ERP akan dikekalkan bagi memastikan peralihan yang lancar, sambil menjelaskan bahawa kadar ERP akan terus disemak setiap suku tahun menggunakan data ERP 2.0 yang lebih tepat dan boleh dipercayai.
Sistem baru ini membolehkan MOT melaraskan lokasi penetapan harga jalan raya dengan lebih mudah, sekali gus membolehkan tindak balas pantas bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan sibuk.
Ini termasuk di kawasan yang pada masa ini tidak sesuai untuk dipasang gerbang ERP secara fizikal.
Menjawab soalan AP Parti Pekerja (WP), Encik Dennis Tan (Hougang), mengenai pengurusan data ERP 2.0 oleh pemerintah, Encik Siow berkata:
“LTA hanya akan menggunakan data khusus kenderaan untuk pembayaran, caj dan penguatkuasaan.
“Ini termasuk kegagalan pembayaran caj ERP serta penguatkuasaan teksi rentas sempadan.”
Menggulung ucapannya, Encik Siow berkata LTA sedang meneroka penggunaan data ERP 2.0 yang diagregatkan bagi menyokong pengurusan trafik dan perancangan pengangkutan yang lebih pintar.
Dalam pada itu, Parlimen juga telah meluluskan usulan untuk menyumbang dana AS$34.7 juta ($44.1 juta) kepada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi membantu negara yang terjejas akibat gangguan ekonomi, khususnya Sudan.
“
“Apabila kita semakin cekap melaksanakan (ERP 2.0), mungkin lebih banyak kapasiti di jalan raya boleh diwujudkan tanpa mengambil lebih banyak tanah. Ini membolehkan kita mencapai pertumbuhan dalam jumlah kereta kita pada masa hadapan... Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) hanya akan menggunakan data khusus kenderaan untuk pembayaran, caj dan penguatkuasaan. Ini termasuk kegagalan pembayaran caj ERP serta penguatkuasaan teksi rentas sempadan.”
