Topik diikuti
Pergi ke BHkuData peribadi pekerja migran terjejas dek serangan siber ke atas Fullerton Health
Data peribadi pekerja migran terjejas dek serangan siber ke atas Fullerton Health
Satu server yang menyokong program Pelan Penjagaan Asas (PCP) Pekerja Migran milik Fullerton Health telah terjejas akibat satu kejadian keselamatan siber, dedah penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan tersebut.
Dalam satu kenyataan di laman webnya pada 9 November, syarikat itu memaklumkan bahawa kejadian yang melibatkan akses tanpa kebenaran ke atas server berkenaan didapati telah menjejas data peribadi pekerja migran.
Ini merangkumi nama penuh, Nombor Pengenalan Asing (FIN), tarikh lahir, nombor telefon, alamat e-mel serta alamat kediaman mereka.
Data yang terjejas tidak mengandungi sebarang maklumat kesihatan, perubatan atau kewangan peribadi, kata Fullerton Health, meskipun ia tidak mendedahkan bilangan pekerja migran yang terjejas akibat kejadian berkenaan.
Menurut Fullerton Health, ia menyedari kejadian tersebut pada 31 Oktober dan segera mengaktifkan protokol tindak balas insidennya.
Ia juga telah melaksanakan langkah pencegahan di seluruh rangkaiannya bagi melindungi sistem mereka sementara siasatan dijalankan.
Syarikat itu berkata ia telah memaklumkan perkara tersebut kepada Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (PDPC), membuat laporan polis dan sedang berhubung dengan Kementerian Tenaga Manusia (MOM), yang mentadbir PCP.
“Kami sedang memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa yang berkaitan,” jelas Fullerton Health.
PCP menyediakan penjagaan kesihatan yang mudah diakses dan mampu milik kepada pekerja yang layak di Singapura.
Majikan di sini diwajibkan membeli PCP bagi pemegang Permit Kerja dan Pas S tertentu, seperti mereka yang bekerja dalam sektor binaan, limbungan kapal marin atau pemprosesan.
Fullerton Health dalam kenyataannya berkata kejadian tersebut kelihatan terhad kepada sistem kendiri khusus yang menyokong program PCPnya.
Ia turut menambah bahawa setakat ini tiada bukti menunjukkan sistem yang menyokong program, projek, pelanggan atau pesakit lain terjejas.
Penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan itu berkata semua perkhidmatan penjagaan terurus, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan kemudahannya kekal beroperasi seperti biasa.
Ia juga sedang mengambil langkah untuk memaklumkan pekerja migran terjejas serta memberikan maklumat mengenai kejadian itu dan saluran untuk mereka mendapatkan bantuan lanjut.
Menyedari bahawa sebahagian pekerja migran mungkin memerlukan bantuan tambahan untuk memahami bagaimana mereka terjejas dan langkah berjaga-jaga yang boleh diambil bagi melindungi diri, Fullerton Health berkata ia akan menyediakan panduan sebagai sebahagian daripada proses pemberitahuan tersebut.
“Melindungi maklumat peribadi merupakan antara keutamaan tertinggi Fullerton Health dan kami amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh pihak berkepentingan kepada kami.
“Kami amat kesal atas sebarang kebimbangan atau ketidaktentuan yang timbul akibat insiden ini,” katanya, sambil menambah bahawa siasatan masih dijalankan.
Ia turut memaklumkan bahawa kemas kini akan diberikan sebaik sahaja lebih banyak maklumat sahih diperoleh.
Serangan siber di Fullerton Health ini berlaku menyusuli beberapa kes kebocoran data baru-baru ini di syarikat dan wadah tempatan lain termasuk Tappee, M1 dan Singapore Airlines (SIA).