Data penerbangan dan perakam suara daripada pesawat Singapore Airlines SQ321 yang membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok pada 21 Mei telah diperoleh, dan siasatan sedang dijalankan, kata Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat.
Memberi perkembangan terkini kepada media pada 24 Mei, Encik Chee berkata Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan Singapura (TSIB) sedang meneliti data tersebut untuk memastikan apa yang berlaku.
“Siasatan oleh TSIB sedang dijalankan. Kami mempunyai sebuah pasukan yang pergi ke Bangkok dan mereka telah mendapatkan data daripada perakam suara kokpit dan perakam data penerbangan.
“Mereka sedang meneliti data daripada dua perakam ini sekarang bagi memastikan apa yang berlaku pada saat-saat itu. Jadi, kami menunggu hasil siasatan untuk memahami apa yang berlaku pada masa itu,” kata Encik Chee.
Pada 21 Mei, pegawai TSIB telah tiba di Bangkok untuk menyiasat insiden pesawat SQ321 dilanda gelora udara ekstrem secara tiba-tiba, menyebabkan seorang penumpang maut dan puluhan lagi cedera.
Penerbangan Boeing 777-300ER yang menuju ke Singapura itu telah mengalami gelora udara pada 21 Mei di Lembangan Irrawaddy di Myanmar, kira-kira 10 jam selepas meninggalkan London.
Juruterbang mengisytiharkan kecemasan perubatan dan melencongkan pesawat dengan 211 penumpang dan 18 anak kapal itu ke Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok pada 3.45 petang (4.45 petang waktu Singapura).
TSIB adalah jabatan dalam Kementerian Pengangkutan (MOT) yang bertanggungjawab menyiasat kemalangan dan insiden udara, marin dan rel.
Selain kejadian pesawat yang berlaku di Singapura, TSIB menyiasat insiden di luar negara yang melibatkan pesawat berdaftar Singapura atau pesawat yang dikendalikan oleh pengendali Singapura.
Encik Chee juga memuji anak kapal Singapore Airlines atas perkhidmatan berdedikasi dan profesionalisme mereka.
Beliau menambah, kementeriannya akan terus memberikan apa-apa sokongan dan bantuan yang diperlukan untuk membawa pulang penumpang dan anak kapal secepat mungkin.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan kita dari Thailand – pihak berkuasa Thai, doktor dan jururawat hospital – atas bantuan mereka dalam memindahkan penumpang dan anak kapal yang terjejas, memberi mereka rawatan perubatan, dan memudahkan mereka pulang ke negara mereka,” kata Encik Chee.
Sehingga 24 Mei tengah hari, seorang warga Singapura yang sebelum ini berada di Unit Rawatan Rapi di sebuah hospital di Bangkok telah dibenarkan keluar, manakala 48 penumpang daripada pesawat SQ321 masih dirawat.
Menurut kemas kini daripada Hospital Samitivej Srinakarin, seramai 34 penumpang masih dirawat di hospital tersebut, manakala 12 lagi di Hospital Samitivej Sukhumvit dan dua lagi di Hospital Bangkok.
Kesemua 34 penumpang yang sedang dirawat di Hospital Samitivej Srinakarin terdiri daripada 14 lelaki dan 20 perempuan, dan berasal dari negara seperti Australia, Britain, Malaysia dan Filipina.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg