Syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) kini akan berhenti menyajikan makanan dalam pesawat apabila lampu tali pinggang keledar dinyalakan.
Langkah baru itu sebahagian daripada “pendekatan lebih berhati-hati” SIA untuk menangani kejadian gelora udara.
Kru kapal akan kembali ke tempat duduk dan memakai tali pinggang keledar masing-masing apabila lampu tali pinggang keledar dinyalakan, menurut SIA pada 23 Mei dalam jawapannya kepada pertanyaan media.
Namun, tidak seperti amalan masa lalu apabila hanya minuman panas tidak disajikan semasa gelora udara, dengan langkah baru tersebut, semua khidmat menyediakan makanan dan minuman akan dihentikan apabila penerbangan terenjut-enjut disebabkan gelora udara.
Langkah keselamatan sedia ada yang lain bagi mengharungi keadaan cuaca buruk akan terus dilaksanakan, lapor The Straits Times (ST).
Ini termasuk dasar yang memerlukan kru pesawat menyimpan dengan baik semua barangan yang tidak diikat dan menasihati penumpang agar kembali ke tempat duduk dan memasang tali pinggang keledar masing-masing.
Kru pesawat juga akan memantau penumpang yang mungkin memerlukan bantuan, contohnya, mereka yang berada dalam tandas.
Jurucakap syarikat penerbangan itu berkata: “SIA akan terus menyemak proses kami kerana keselamatan penumpang dan kru adalah perkara yang paling diutamakan.”
Pada 21 Mei, pesawat SQ321, yang menuju ke Singapura, mengalami gelora udara ekstrem semasa melalui Lembangan Irrawaddy di Myanmar, ketika penumpang menikmati sajian sarapan.
Kejadian tersebut yang berlaku sekitar 10 jam setelah pesawat itu berlepas dari London, menyebabkan seorang penumpang warga Britain, Encik Geoffrey Kitchen, 73 tahun, meninggal dunia dan lebih 30 penumpang lain tercedera.
Ekoran itu, juruterbang mengisytiharkan kecemasan perubatan dan melencongkan pesawat Boeing 777-300ER yang membawa 211 penumpang dan 18 kru itu ke Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok pada 3.45 petang (4.45 petang waktu Singapura), sebelum melakukan pendaratan cemas di sana.
Dalam kemas kini di Facebook pada 23 Mei, SIA menyatakan seramai 46 penumpang dan dua kru pesawat SQ321 itu masih berada di ibu negara Thailand untuk mendapat rawatan perubatan.
Pengarah Hospital Samitivej Srinakarin di Bangkok, Dr Adinun Kittiratanapaibool, berkata daripada 40 penumpang penerbangan itu yang masih dirawat di hospital itu, 22 mengalami kecederaan saraf tunjang dan enam mengalami kecederaan otak serta kepala.
Pesakit tertua di hospital itu berusia 83 tahun, manakala yang termuda ialah kanak-kanak dua tahun yang mengalami konkusi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg