Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harga elektrik mungkin naik, tampung kos langkah keselamatan tenaga

Sep 9, 2024 | 8:28 PM
Undang-undang yang dipinda akan membantu Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) mendapatkan semula sebahagian kos daya usaha bagi melindungi bekalan elektrik Singapura dengan cara yang mesra iklim.
Undang-undang yang dipinda akan membantu Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) mendapatkan semula sebahagian kos daya usaha bagi melindungi bekalan elektrik Singapura dengan cara yang mesra iklim. - Foto ST

Harga elektrik di sini mungkin naik disebabkan perubahan baru kepada satu undang-undang yang akan membantu pihak berkuasa mendapatkan semula kos daya usaha yang diambil untuk melindungi bekalan elektrik Singapura dengan cara mesra iklim.

Bercakap di Parlimen pada 9 September, Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng, berkata Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) – sebuah agensi di bawah kementeriannya – perlu melaksanakan beberapa inisiatif baru bagi keselamatan tenaga, pembangunan pasaran, dan peralihan daripada bahan api fosil yang menyumbang kepada pencemaran udara kepada bahan tenaga lebih bersih.

Perubahan kepada Akta EMA sedia ada, yang diluluskan di Parlimen pada 9 September, akan membolehkan pemerintah mendapatkan semula kos berkaitan daya usaha sedemikian untuk memastikan sistem tenaga Singapura berfungsi dengan baik, katanya.

Dari segi keselamatan tenaga, beliau menyebutkan contoh kemudahan gas asli cecair (LNG) siap sedia, yang diperkenalkan oleh EMA pada 2021 untuk menyimpan stok bahan api, semasa krisis tenaga selepas Russia menyerang Ukraine, lapor The Straits Times (ST).

“(Kemudahan siap sedia) ini mengurangkan keadaan tidak menentu dalam pasaran elektrik borong dan memberi jaminan kepada peruncit untuk menawarkan kontrak elektrik kepada lebih ramai pengguna.

“Bagaimanapun, EMA tidak berupaya mendapatkan semula kos operasi kemudahan penting sedemikian secara sah, walaupun manfaatnya diberikan kepada semua pengguna elektrik,” jelas Dr Tan.

Undang-undang yang dipinda itu akan membantu EMA mendapatkan semula sebahagian kos ini, kata Dr Tan, yang memberi jaminan kepada Dewan bahawa pihak berkuasa tersebut tidak akan mencari sebarang keuntungan.

Menteri Perdagangan dan Perusahaan mesti meluluskan harga elektrik baru yang mungkin dicadangkan oleh EMA, kata Dr Tan.

Beliau menambah bahawa satu jawatankuasa penasihat pemulihan kos, terdiri daripada wakil bukan pemerintah, akan dibentuk untuk memberi nasihat bebas kepada menteri tersebut mengenai cadangan EMA.

Menurut Dr Tan, kos itu akan dikenakan terhadap mereka yang mendapat manfaat daripada daya usaha tersebut, seiring dengan prinsip “pengguna bayar”.

Ini bukan satu perkara baru kerana pengguna kini membayar perkhidmatan berkaitan tenaga yang mereka gunakan, seperti khidmat bil dan pembacaan meter elektrik yang disediakan oleh syarikat pembekal utiliti, SP Services.

Semasa perbahasan itu, Anggota Parlimen (AP) seperti Encik Louis Ng (GRC Nee Soon), Cik Jessica Tan (GRC East Coast) dan Encik Don Wee (GRC Chua Chu Kang) meminta butiran lanjut mengenai bagaimana rangka kerja pemulihan kos itu akan dilaksanakan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg