Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

David Neo: Kepelbagaian budaya S’pura kekuatan dalam dunia yang makin pecah belah

Pameran silang budaya ‘Kaleidoscope: Harmony in Motion’ himpunkan lebih 100 belia daripada 10 agama, 25 pertubuhan masyarakat dan keagamaan
Jul 27, 2025 | 9:08 PM
David Neo, silang agama, kekuatan Singapura
Berucap di acara pameran silang budaya Kaleidoscope: Harmony in Motion di Pusat Budaya Cina Singapura (SCCC) pada 27 Julai, Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo, menekankan pentingnya menyediakan ruang kepada belia untuk bersuara dan memainkan peranan dalam membentuk masa depan masyarakat Singapura. - Foto BH oleh DESMOND WEE

Perjalanan Singapura daripada dilanda rusuhan perkauman kepada perpaduan masyarakat berbilang budaya merupakan peringatan penting tentang sejauh mana negara ini telah berkembang, serta kepentingan mengekalkan keharmonian itu dalam dunia yang semakin berpecah belah.

Ini amat relevan dengan kemunculan “kuasa-kuasa pemacu baru” seperti media sosial yang – walaupun menghubungkan manusia – turut boleh menyebarkan maklumat palsu dan mewujudkan ruang gema, kata Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo.

Berucap di acara pameran silang budaya Kaleidoscope: Harmony in Motion di Pusat Budaya Cina Singapura (SCCC) pada 27 Julai, Encik Neo, yang hadir selaku tetamu terhormat, menekankan bahawa kepelbagaian budaya merupakan “kekuatan yang penting dan unik”.

“Singapura tidak terkecuali daripada kerentanan ini.

“Dalam dunia yang semakin berpecah belah, kepelbagaian budaya merupakan satu kekuatan yang penting dan unik.

“Masyarakat kita yang berbilang kaum, harmoni dan bersatu padu adalah aset yang tidak ternilai, yang telah dipupuk secara bersama oleh generasi rakyat Singapura,” ujar Encik Neo, yang juga Menteri Negara Kanan (Pendidikan).

Acara tersebut menutup sambutan Bulan Keharmonian Kaum dan Agama dan merupakan acara kemuncak sempena ulang tahun Singapura yang ke-60 (SG60), yang menyaksikan lebih 60 aktiviti dianjurkan oleh Harmony Circle dan rakan masyarakat dan melibatkan lebih 100,000 orang menerusi aktiviti termasuk sukan, seni dan dialog.

Ia merupakan pameran pertama yang dikendalikan sepenuhnya oleh belia di bawah Harmony Circle, yang menghimpunkan lebih 100 belia daripada 10 agama serta 25 pertubuhan masyarakat dan keagamaan.

Pameran tersebut akan menampilkan dua segmen, iaitu Pesta Kaleidoskop, di mana para peserta berpeluang menyertai aktiviti dalam reruai interaktif dan permainan kad antara agama, serta persembahan budaya belia iaitu persembahan teater mengikuti perjalanan tiga watak utama ke sebuah pulau rekaan, sambil meneroka erti keharmonian melalui muzik, tarian dan tradisi.

Antara belia yang bertanggungjawab dalam mengendalikan acara pameran silang budaya tersebut adalah anggota pertubuhan antara agama hash.peace, Encik Didi Amzar Harun, yang mencetuskan idea dan membentuk jalan cerita bagi pameran tersebut.

Mengambil kira skala penglibatan dan kepelbagaian belia dalam pameran tersebut, Encik Didi memastikan semua suara dihormati dan diberi ruang yang adil.

“Setiap kumpulan membawa perspektif, kepercayaan, dan dinamika kerja yang berbeza. Mengharmonikan semua ini memerlukan empati yang tinggi, komunikasi terbuka dan kesediaan untuk mendengar dengan hati terbuka.

“Seperti orkestra, semua pemain perlu berlatih dan bergerak bersama-sama sebelum kita boleh menghasilkan satu gerakan harmoni di pentas,” jelas beliau, yang juga seorang penjawat awam di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).

Bagi Cik Samantha Tan, yang dilantik sebagai Pejuang Keharmonian Roses of Peace (ROP), pameran silang budaya ini menyerlahkan keupayaan belia untuk membawa perubahan positif dalam masyarakat.

“Seringkali, golongan muda seperti kami tidak gentar untuk bersuara dalam perkara yang kami perjuangkan. Dan pada saya, keindahan sebenar terletak pada hakikat bahawa kita sendiri tidak tahu siapa yang mungkin kami inspirasikan.

“Jadi, setiap kebaikan yang kita lakukan boleh mencetuskan gelombang perubahan yang akhirnya akan membawa kepada sebuah masyarakat yang lebih bersatu padu dan penuh belas ihsan,” kata beliau.

Dalam pada itu, Encik Neo berkongsi bahawa kemajuan Singapura sebagai sebuah masyarakat majmuk yang aman dan bersatu tidak berlaku secara kebetulan, tetapi merupakan hasil usaha berterusan dan komitmen bersama setiap generasi rakyatnya.

“Melihat kepada acara hebat yang telah dianjurkan ini, saya amat optimis bukan sahaja kepelbagaian budaya kita akan kekal, malah akan terus berkembang dalam sebuah masyarakat Singapura yang lebih kukuh menjelang SG100.

“Saya menggalakkan semua belia kita agar terus bersikap ingin tahu dan berfikiran terbuka, serta berusaha untuk memahami dan benar-benar menghargai budaya satu sama lain,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg