Kumpulan dan pertubuhan budaya di Singapura tidak boleh mengasingkan diri dalam usaha memperkukuh pemahaman budaya dan amalan masing-masing.
Namun, mereka perlu teruskan usaha tersebut dengan kesedaran ia menambah kepada kepelbagaian yang dihargai dan ingin dikekalkan dalam masyarakat berbilang budaya di sini, kata Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo.
Encik Neo berkata demikian di dialog Persidangan HarmonyWorks! pada 12 Julai, semasa menjawab soalan seorang peserta berkenaan peranan sekolah Rancangan Bantuan Khas (SAP) (sekolah yang memberi tumpuan pada bahasa dan budaya Cina) dalam keharmonian kaum.
“Secara umumnya, kami mahukan kepelbagaian budaya dalam sekolah, pertubuhan kami, namun terdapat ruang untuk setiap kumpulan (budaya) juga menyokong diri mereka sendiri, mendorong dan memperkukuh pemahaman budaya dan amalan masing-masing.
“Perlu ada ruang untuk perkara itu kerana itulah yang membantu kita membina kepelbagaian, dan menjadikan kita kuat sebagai sebuah negara.
“Tetapi ia (sekolah SAP dan kumpulan serta pertubuhan budaya) tidak boleh mengasingkan diri. Kita harus membangunkannya, membawanya masuk kembali ke ruang bersama dan menambah kekayaan dalam kepelbagaian supaya sebagai sebuah negara, kita lebih pelbagai, lebih kuat, dan lebih baik. Oleh itu, itu mesti menjadi peranannya,” kata beliau.
Menambah, Encik Neo berkata setiap orang di Singapura mempunyai latar belakang dan pengalaman hidup yang berbeza.
Namun, apabila perbezaan ini disatukan secara kolektif sebagai satu kumpulan, ia membolehkan masyarakat menghargai, melihat dan memahami perkara dan isu-isu dari perspektif yang berlainan.
Persidangan HarmonyWorks! anjuran OnePeople.sg itu telah diadakan di Pusat Kebudayaan Republic di Politeknik Republic dan dihadiri sekitar 200 peserta, termasuk belia berusia 15 hingga 35 tahun dari pelbagai sekolah, madrasah dan institut pengajian tinggi.
Turut hadir ialah Menteri Negara Kanan (Pendidikan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Janil Puthucheary, yang merupakan pengerusi OnePeople.sg.
Ini merupakan tahun ke-20 Persidangan HarmonyWorks! dianjurkan, satu inisiatif yang menangani isu-isu kepelbagaian budaya di Singapura.
Encik Neo turut menjawab soalan berkenaan kemunculan lebih banyak perniagaan milik peniaga asal China di Singapura dan penyepaduan warga negara baru ke dalam masyarakat.
Sementara Singapura mengalu-alukan kedatangan perniagaan dari setiap pelosok dunia kerana ia menambahkan kepelbagaian di negara ini, orang asing yang datang ke sini juga perlu menyedari bahawa Singapura berbeza daripada negara mereka dan adalah tempat di mana setiap individu menerima layanan saksama.
“Mereka perlu menerima idea kita sebagai sebuah platform yang adil untuk semua orang, dan itulah cara kita menyepadukan mereka, dan itulah cara mereka menambah nilai kepada masyarakat kita,” kata beliau.
Berhubung warga negara baru pula, Encik Neo berkata meskipun sebahagian besar warga baru berusaha untuk menyepadukan diri mereka, faktor seperti sifat perkauman dan sikap berat sebelah boleh membuat ada dalam kalangan mereka tidak mahu bercampur dengan masyarakat tempatan.
“Ia juga mungkin kes di mana mereka tidak berusaha lebih gigih (untuk menjadi lebih bersepadu) kerana mereka rasa orang bersikap berat sebelah terhadap mereka kerana mereka pendatang baru.
“Sebagai rakyat Singapura, adalah tugas dan peranan kita untuk menyambut kedatangan mereka,” kata beliau.
Persidangan itu turut menyaksikan pelancaran kempen bertajuk ‘20 Acts, One People’ sempena ulang tahunnya yang ke-20 dan juga sambutan SG60.
Kempen selama sebulan itu mengajak rakyat Singapura berikrar untuk melakukan perbuatan harian yang mudah untuk menggalak perpaduan sosial.
“Kami berharap ini akan mencetuskan renungan lebih mendalam tentang hubungan kaum kita, memberi inspirasi kepada kita semua untuk bertindak dengan rasa hormat, empati dan keinginan tulen untuk memahami satu sama lain,” kata Dr Janil, dalam ucapannya di persidangan itu.
“
“Secara umumnya, kami mahukan kepelbagaian budaya dalam sekolah, pertubuhan kami, namun terdapat ruang untuk setiap kumpulan (budaya) juga menyokong diri mereka sendiri, mendorong dan memperkukuh pemahaman budaya dan amalan masing-masing. Perlu ada ruang untuk perkara itu kerana itulah yang membantu kita membina kepelbagaian, dan menjadikan kita kuat sebagai sebuah negara.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg