Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Walau berkurang, diskriminasi tempat kerja masih jadi kebimbangan kaum minoriti

Kajian: 7% responden hadapi diskriminasi berkaitan kerja atau naik pangkat pada 2024, berbanding 9.3% pada 2018
Feb 3, 2025 | 6:47 PM
Menurut dapatan kajian Petunjuk Keharmonian Kaum dan Agama IPS-OnePeople.sg yang dijalankan pada 2024, 18.4 peratus orang Melayu dan 16.7 peratus orang India melaporkan rasa telah didiskriminasi di tempat kerja atau semasa kenaikan pangkat.
Menurut dapatan kajian Petunjuk Keharmonian Kaum dan Agama IPS-OnePeople.sg yang dijalankan pada 2024, 18.4 peratus orang Melayu dan 16.7 peratus orang India melaporkan rasa telah didiskriminasi di tempat kerja atau semasa kenaikan pangkat. - Foto ST

Diskriminasi di tempat kerja, walaupun semakin berkurangan, masih menjadi kebimbangan kumpulan minoriti, lebih-lebih lagi dalam hal permohonan pekerjaan dan kenaikan pangkat.

Keseluruhan pengalaman diskriminasi yang dilaporkan di tempat kerja telah menurun, dengan 7 peratus responden menunjukkan mereka menghadapi diskriminasi berkaitan pekerjaan atau kenaikan pangkat pada 2024, berbanding 9.3 peratus pada 2018.

Dalam kalangan mereka yang melaporkan diskriminasi di tempat kerja, bentuk diskriminasi yang paling biasa dilalui termasuk penggunaan bahasa oleh individu lain yang mengecualikan responden daripada perbualan tersebut (57.7 peratus) dan tanggapan bahawa individu daripada kaum lain dinaikkan pangkat kerana kaum mereka dan bukan kelayakan mereka (47.7 peratus).

Pada 2024, sebanyak 18.4 peratus orang Melayu dan 16.7 peratus orang India melaporkan rasa telah didiskriminasi di tempat kerja atau semasa kenaikan pangkat.

Sebelum ini, pada 2018, 27.9 peratus orang Melayu dan 26.5 peratus orang India berasakan sedemikian.

Ini antara dapatan terkini kajian Petunjuk Keharmonian Kaum dan Agama IPS-OnePeople.sg yang dijalankan pada 2024, yang didedahkan pada 3 Februari 2025.

“Saban tahun, kami telah menambah sedikit perincian tambahan untuk memahami mengapa orang rasa telah didiskriminasi di tempat kerja... apa yang kami dapati ialah ia bukan sesuatu yang eksplisit, maksudnya, orang tidak akan kata ‘mereka mendiskriminasikan saya disebabkan bangsa saya’ tetapi disebabkan perkara lain yang berlaku di tempat kerja.

“Misalnya, di tempat kerja, orang lain akan berbual dalam bahasa lain yang membuat responden berasa mereka telah dikecualikan daripada perbualan yang lebih besar dan rasa didiskriminasi di tempat kerja.

“Jadi saya fikir penting untuk kami melihat data serta nuansa daripadanya... dan bagaimana kita dapat melakar program dan memastikan kesedaran serta pendidikan awam yang lebih baik,” ujar Zamil Penyelidik Utama di Institut Kajian Dasar (IPS) Singapura, Dr Mathew Mathews.

Meskipun secara keseluruhan, jumlah responden yang menyatakan mereka berasa didiskriminasi di tempat kerja telah berkurang saban tahun, bahagian minoriti yang agak besar masih mengalami didiskriminasi.

Ini menunjukkan bahawa diskriminasi di tempat kerja masih merupakan masalah berterusan yang perlu ditangani sebagai satu masyarakat, kata ahli jawatankuasa pengurusan OnePeople.sg, Encik Leonard Lim.

Menyentuh tentang isu perbualan dalam bahasa lain yang membuat seseorang berasa terkecuali di tempat kerja, Encik Lim berkata:

“Saya fikir ini adalah hasil latar belakang kita yang pelbagai dan kehidupan berada dalam negara berbilang budaya, tetapi ini tidak bererti kita sepatutnya menerima hal ini sebagai keadaan lumrah dan membiarkan ia berterusan.

“Oleh kerana bahasa Inggeris merupakan bahasa kerja yang digunakan semua secara amnya, majikan boleh berusaha menjadi lebih inklusif kepada rakan kerja yang berbilang latar belakang melalui pemilihan bahasa yang digunakan.”

Selain diskriminasi di tempat kerja, kajian itu turut menonjolkan beberapa cabaran yang memerlukan perhatian berterusan.

Antaranya ialah kemerosotan persahabatan antara kaum sejak lima tahun lalu.

Sebanyak 53.2 peratus responden berkata mereka mempunyai kawan rapat daripada kaum lain pada 2024, turun sedikit daripada 55.5 peratus yang mengatakan demikian pada 2018.

“Hipotesis kami ialah walaupun orang lebih terbuka kepada persahabatan merentas kaum, kalangan sosial mereka yang semakin mengecil bermakna terdapat kurang peluang untuk membentuk persahabatan sedemikian.

“Ini bukan hanya isu di Singapura; banyak negara lain menghadapi trend yang sama. Kita mesti berfikir dengan teliti tentang cara menangani cabaran ini,” kata Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), yang juga pengerusi OnePeople.sg, Dr Janil Puthucheary.

Antara dapatan kajian Petunjuk Keharmonian Kaum dan Agama IPS-OnePeople.sg 2024

1) Tahap keharmonian kaum dan agama
65.4% responden rasa keharmonian kaum dan agama di Singapura tinggi atau sangat tinggi

2) Kepercayaan silang kaum dan agama
Sekitar tujuh daripada 10 responden berkata lebih separuh orang daripada kaum dan agama lain boleh dipercayai untuk membantu jika Singapura berdepan krisis

3) Ketegangan silang kaum dan agama
Lebih lapan daripada 10 responden setuju mereka tidak alami ketegangan kaum dan agama dalam kehidupan seharian

4) Sikap terhadap kepelbagaian
71.1% responden setuju atau sangat setuju kepelbagaian bermanfaat bagi Singapura

5) Pemahaman silang budaya
41.8% responden kata mereka minat memahami adat resam budaya lain

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg