Kepercayaan terhadap kumpulan kaum dan agama lain meningkat dengan ketara berbanding sedekad lalu, menurut dapatan terkini kajian Petunjuk Keharmonian Kaum dan Agama IPS-OnePeople.sg yang dijalankan pada 2024.
Dapatan tersebut menunjukkan bahawa sekitar tujuh daripada 10 responden menyatakan lebih separuh orang daripada kumpulan kaum dan agama berbeza boleh dipercayai untuk membantu jika Singapura berdepan krisis.
Kajian yang dilakukan penyelidik dari Institut Kajian Dasar (IPS) itu mendapati lebih tiga perempat (77.6 peratus) responden mempercayai lebih separuh orang Cina, dan sekitar dua pertiga responden mempercayai lebih separuh orang Melayu (69.7 peratus), India (68.6 peratus) dan Serani (67.4 peratus) untuk membantu mereka jika berlakunya krisis nasional.
Ini merupakan kemajuan berbanding dua dapatan kajian serupa yang dibuat sebelum ini pada 2018 dan 2013.
Dapatan laporan itu dibentangkan dalam satu sidang media bersama anjuran IPS dan OnePeople.sg di pejabat OnePeople.sg di Toa Payoh pada 3 Februari.
Menjelaskan lebih lanjut, pengerusi OnePeople.sg yang juga Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan), Dr Janil Puthucheary, mengatakan bahawa Singapura berada pada kedudukan yang agak tinggi dalam hal perpaduan sosial, kepercayaan terhadap institusi dan keharmonian kaum berbanding banyak negara dan bandar lain.
“Perpaduan sosial di Singapura adalah kukuh dan kepercayaan terhadap institusi awam kekal tinggi. Trend umum dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun yang lalu menunjukkan peningkatan yang berterusan - sama ada dalam keharmonian kaum, minat terhadap budaya lain atau penerimaan terhadap agama yang berbeza,” katanya.
Dr Janil menambah: “Dari masa ke masa, kami juga perhatikan bahawa faktor di luar kaum dan agama, seperti pendidikan, umur dan status sosioekonomi, semakin mempengaruhi cara orang melihat perpaduan sosial. Ini membantu kami memperhalusi program dan usaha jangkauan kami agar ia lebih berkesan.”
Menurut kertas kajian tersebut, peratusan responden yang menyatakan ketidakpercayaan terhadap kumpulan kaum lain merosot kepada 27.2 peratus pada 2024, berbanding 42.7 peratus pada 2013 dengan trend yang sama diperhatikan bagi kumpulan agama.
Kajian itu juga menjelaskan yang kepercayaan terhadap warga Singapura daripada kumpulan kaum dan agama yang berbeza, terutama dalam konteks krisis nasional, merupakan petunjuk utama keharmonian kaum dan agama.
Peningkatan kepercayaan terhadap orang daripada kumpulan kaum dan agama yang lain juga menunjukkan rasa perpaduan sosial yang semakin meningkat, tambah kajian itu.
Para penyelidik juga mendapati perbezaan ketara dalam tahap kepercayaan wujud apabila memeriksa respons merentas faktor demografi seperti umur, pendidikan dan jenis perumahan.
Responden lebih muda dan berpendidikan lebih tinggi lebih cenderung menyatakan tahap kepercayaan lebih tinggi terhadap kaum minoriti dan penganut agama lain.
Terdapat juga perbezaan yang diperhatikan dalam respons tinjauan 2024 bagi tahap kepercayaan bagi kaum minoriti merentas kohort umur.
Responden lebih muda didapati lebih cenderung menunjukkan tahap kepercayaan yang lebih tinggi terhadap kaum minoriti untuk membantu mereka sekiranya berlaku krisis nasional berbanding responden lebih tua.
Misalnya, 74.8 peratus orang bukan Melayu berusia 18 hingga 35 tahun merasakan lebih separuh orang Melayu boleh dipercayai untuk membantu mereka sekiranya berlaku krisis, berbanding 65.5 peratus orang bukan Melayu berusia 65 tahun ke atas.
Menyentuh tentang faktor umur, Dr Janil berkata dapatan kajian 2024 itu menunjukkan “corak yang menarik”.
“Apabila warga Singapura meningkat usia, penghargaan mereka terhadap perpaduan sosial dan kepelbagaian meningkat. Dalam erti kata lain, berdasarkan data 2013 hingga 2024, individu yang sama pada usia 18 atau 20 tahun, mungkin pada usia pertengahan, telah bertambah penghargaan terhadap apa yang telah dicapai oleh Singapura dari segi hamoni sosial,” ujarnya.
Sementara itu, responden berpendidikan lebih tinggi serta mereka yang menetap di rumah privet didapati lebih berkemungkinan menunjukkan tahap kepercayaan lebih tinggi terhadap kaum lain secara amnya.
Contohnya, 76.4 peratus orang bukan Melayu yang mempunyai ijazah universiti menyatakan lebih separuh orang Melayu boleh dipercayai untuk membantu mereka sewaktu krisis nasional berbanding 68.5 peratus orang bukan Melayu dengan pendidikan sekolah menengah dan ke bawah merasakan sedemikian.
Kajian yang melibatkan 4,000 responden itu juga mendapati diskriminasi dalam mengakses perkhidmatan awam masih jarang berlaku, dengan sekitar sembilan daripada 10 responden menunjukkan bahawa mereka dilayan “rata-rata sama” dengan kaum lain.
Tambahan pula, kurang daripada 10 peratus kaum minoriti merasakan mereka telah dilayan dengan teruk atau lebih teruk daripada kaum lain ketika menggunakan perkhidmatan awam yang merangkumi sistem keadilan jenayah (mahkamah dan polis), pendidikan, kesihatan dan khidmat sosial.
Pada 2024 juga, 71.1 peratus responden setuju atau sangat setuju bahawa kepelbagaian kaum adalah bermanfaat bagi Singapura.
Ini merupakan peningkatan 4.4 peratus berbanding 2018.
Responden Melayu dan India didapati lebih cenderung menghargai kepelbagaian berbanding rakan Cina mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg