Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

David Neo: Masyarakat berbilang kaum aset berharga S’pura

Kebebasan amalkan agama masing-masing tanpa rasa takut jadi asas penting kepada jati diri warga, kata Faishal pula
Dec 21, 2025 | 1:51 PM
Jeriji Gereja St Joseph di Bukit Timah ditutup selepas 5 petang pada 21 Disember. Dalam satu hantaran Facebook pada 4.38 petang, Paderi Christopher Lee mengumumkan bahawa gereja itu tidak dapat menyambungkan operasi dan misa akan disambung pada 22 Disember.
Jeriji Gereja St Joseph di Bukit Timah ditutup selepas 5 petang pada 21 Disember. Dalam satu hantaran Facebook pada 4.38 petang, Paderi Christopher Lee mengumumkan bahawa gereja itu tidak dapat menyambungkan operasi dan misa akan disambung pada 22 Disember. - Foto ST

Masyarakat Singapura yang berbilang kaum dan agama merupakan aset berharga, dan rakyat perlu terus melindunginya bersama, gesa Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo.

Beliau berkata demikian dalam satu catatan Facebook pada 21 Disember susulan satu kejadian di Gereja St Joseph di Bukit Timah di mana satu barang mencurigakan ditemui pada pagi 21 Disember.

“Polis dan Kumpulan Biologi, Radiologi Kimia dan Pertahanan Bahan Letupan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF CBRE) telah menangani barang yang mencurigakan itu di Gereja St Joseph dengan berkesan dan semua orang selamat,” tulisnya.

Polis mengesahkan pada 11.08 pagi bahawa barang itu tidak berbahaya.

Meskipun ia disahkan tidak berbahaya, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata kejadian tersebut tetap menimbulkan keresahan dan perlu dipandang serius.

Dalam catatan Facebooknya pada 21 Disember, beliau menekankan bahawa Singapura merupakan negara berbilang kaum dan agama, justeru sikap saling menghormati, saling memahami, serta kebebasan untuk mengamalkan agama masing-masing tanpa rasa takut merupakan asas penting kepada jati diri kita.

“Tempat beribadah, sama ada gereja, masjid, kuil atau tempat ibadah lain, mesti sentiasa kekal sebagai ruang yang selamat di mana masyarakat dapat beribadah dan berhimpun dengan aman.

“Sebarang kejadian yang mengancam rasa selamat ini boleh menjejas kepercayaan dan keharmonian yang menyatukan kita sebagai sebuah masyarakat,” ujarnya.

Dr Faishal turut menggesa masyarakat Melayu/Islam agar berdiri teguh bersama masyarakat Kristian dalam tempoh ini.

Beliau menekankan bahawa seperti mana masyarakat pelbagai agama tampil memberikan sokongan kepada masyarakat Melayu/Islam selepas kejadian di Masjid Al-Istiqamah beberapa bulan lalu, semua pihak perlu terus saling menjaga dan menyokong antara satu sama lain merentasi batas agama.

Dalam satu catatan Facebook, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, mengucapkan terima kasih kepada Pasukan Polis Singapura (SPF), SAF CBRE dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) atas respons mereka yang pantas dan tenang.

Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash, pula menyeru orang ramai supaya bertenang dan bersatu sebagai sebuah masyarakat.

Beliau, yang juga Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, turut mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa atas respons segera mereka.

Menyuarakan sentimen yang sama, Mayor CDC North West, Encik Alex Yam, mengingatkan orang ramai agar tidak terburu-buru membuat kesimpulan.

“Ini bukan kali pertama komuniti St Joseph berdepan dengan sesuatu kejadian, dan setiap kali (ia berlaku), pihak gereja serta masyarakat umum telah bangkit dengan lebih kuat, lebih bersatu dan lebih berdaya tahan.

“Adalah wajar dan berhemah untuk mengambil langkah berjaga-jaga serta mematuhi arahan pihak berkuasa, namun kita tidak seharusnya membiarkan rasa takut menguasai diri kita,” katanya dalam satu catatan Facebook.

Gereja St Joseph sebelum ini juga terlibat dalam satu kejadian berasingan.

Pada 9 November 2024, paderi gereja itu, Paderi Christopher Lee, ketika itu berusia 57 tahun, telah ditikam oleh seorang lelaki bersenjatakan pisau ketika beliau sedang memimpin misa petang di gereja itu.

Si tertuduh, seorang lelaki warga Singapura berusia 37 tahun, kemudian dilucutkan senjatanya oleh anggota perhimpunan gereja. Dia kemudian ditahan polis.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg