Seorang sukarelawan Gereja St Joseph di Bukit Timah berusia 26 tahun telah diberkas berhubung satu kejadian di mana satu barang mencurigakan ditemui di gereja itu pada pagi 21 Disember.
Menurut satu hantaran Facebook pada 21 Disember, Pasukan Polis Singapura (SPF) berkata lelaki itu berkata dia menemui barang mencurigakan itu dalam sebuah longkang dalam premis gereja itu.
“Selepas itu dia tidak menggerakkan dirinya dan memegang barang mencurigakan itu,” kata SPF.
Polis kemudian mengosongkan premis berkenaan dan mengerahkan Kumpulan Biologi, Radiologi Kimia dan Pertahanan Bahan Letupan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF CBRE).
Hasil pemeriksaan menyeluruh, sekitar 10.40 pagi, barang tersebut yang menyerupai alat letupan improvisasi atau dibuat secara sendiri adalah tiga gulungan kadbod dan wayar yang ditampal dengan pita hitam tanpa sebarang elemen bahan letupan.
Barang itu kemudiannya telah dikeluarkan oleh polis dari gereja tersebut. Tiada orang dilaporkan cedera.
Lelaki tersebut ditahan di bawah Peraturan 8(2)(a) Peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Langkah Antipengganasan) atas disyaki terlibat dalam kejadian tersebut.
Polis berkata mereka dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 7.10 pagi.
Gereja itu telah dikosongkan sementara operasi polis diteruskan.
Menurut akhbar The Straits Times (ST), pegawai polis berada di pintu masuk bagi mengarahkan kenderaan untuk keluar. Tiada sesiapa dibenarkan memasuki kawasan tersebut.
ST juga melaporkan bahawa kenderaan polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dilihat memasuki kawasan gereja pada 9.17 pagi.
Pada 10.05 pagi, polis telah mendapatkan sokongan SAF CBRE bagi operasi tersebut.
Para sukarelawan gereja dilihat di jeriji gereja dan tempat perhentian bas berdekatan bagi menasihatkan pengunjung bahawa misa (upacara keagamaan) telah dibatalkan.
Laman web Gereja St Joseph mengumumkan bahawa misa pada 21 Disember telah dibatalkan buat masa kini.
Menurut papan tanda di luar gereja itu, terdapat empat sesi misa pada hari 21 Disember – 7.30 pagi, 9.30 pagi, 11.30 pagi dan 5.30 petang.
Paderi Gereja St Joseph, Paderi Christopher Lee, menasihati anggota gereja menerusi catatan Facebook gereja itu untuk menghadiri misa di gereja lain – Gereja St Mary of The Angels, Gereja St Anthony dan Gereja St Ignatius.
Wartawan Berita Harian (BH) yang berada di lokasi tersebut mendapati tempat perhentian bas lengang, namun orang ramai yang lalu lalang tidak dibenarkan berada di situ, melainkan pihak media.
Barang berkenaan kejadian itu kemudian disahkan tidak merbahaya dan keadaan di kawasan itu terkawal, tambah polis.
Dalam satu kemas kini pada 11.08 pagi, polis berkata pegawainya dan SAF CBRE mencapai kesimpulan tersebut susulan pemeriksaan menyeluruh.
Kenderaan SCDF mula meninggalkan kawasan itu hanya selepas 11.30 pagi.
Sekitar 1.45 petang, BH melihat seorang lelaki berbaju warna biru yang tangannya digari telah dibawa ke sebuah kereta berwarna putih oleh pegawai polis.
Pegawai tersebut kelihatan memakai sarung tangan dan memeriksa tempat duduk pemandu dan kandungan dalam but kereta itu yang terletak di luar gereja.
Operasi polis telah ditamatkan dan kawasan itu tidak lagi dikepung mulai kira-kira 5.15 petang.
Dalam satu hantaran Facebook pada 4.38 petang, Paderi Christopher Lee mengumumkan bahawa gereja itu tidak dapat menyambung operasi pada hari sama, dan misa akan disambung pada 22 Disember.
Mengulas kejadian itu dalam catatan Facebook pada 21 Disember, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, berkata beliau amat berterima kasih kepada SPF, SAF CBRE dan SCDF di atas respons mereka yang pantas dan tenang.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan gereja di atas usaha mereka.
“Kita akan nantikan kemas kini daripada polis dan kepimpinan gereja sebelum pembukaan semulanya,” kata beliau yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Holland-Bukit Timah, kawasan di mana gereja berkenaan terletak.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dalam satu hantaran Facebook pada 21 Disember pula menggesa masyarakat Melayu/Islam agar berdiri teguh bersama masyarakat Kristian dalam tempoh ini.
“Seperti mana masyarakat pelbagai agama tampil memberikan sokongan kepada kita selepas kejadian di Masjid Al-Istiqamah beberapa bulan lalu, kita juga mesti terus saling menjaga satu sama lain merentasi batas agama, dengan penuh empati, keprihatinan, dan semangat perpaduan,” tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg