Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Daya fikir ‘kita dahulu’ penting agar S’pura terus maju

Lebih banyak laluan akan dibuka agar masyarakat terlibat sama dengan pemerintah cipta hala tuju S’pura
Aug 17, 2025 | 9:30 PM
BHNDR2025, PM Wong
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kanan), menyertai sesi dialog bersama Hayaa’ Network – rangkaian yang menyediakan sokongan dan menyuntik semangat kepada individu memerlukan – pada 14 April 2025. - Foto MDDI

Memiliki mentaliti ‘kita dahulu’ berbanding dengan mengutamakan diri sendiri adalah apa yang penting untuk memastikan Singapura dapat terus berdaya maju sedang negara ini melakar haluan seterusnya melebihi 60 tahun, kata Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, pada 17 Ogos.

Kebersamaan itu yang merupakan sebahagian Semangat Singapura atau ‘Singapore Spirit’, katanya, bukan sahaja penting sewaktu tempoh krisis seperti pandemik Covid-19, malah patut terus ditonjolkan dalam kehidupan harian Singapura.

Semangat tersebut boleh diperkukuh dengan warga Singapura terus tampil, saling bertanggungjawab ke atas satu sama lain dan membentuk masa depan masyarakat bersama, tambah Encik Wong, sewaktu Rapat Hari Kebangsaan (NDR) yang diadakan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central di Ang Mo Kio.

“Kita lafazkannya dalam ikrar kebangsaan. Ia bermula dengan kenyataan yang ringkas tetapi mendalam – ‘kami, warganegara Singapura’.

“Bukan saya... kami,” ujarnya.

Beliau menegaskan tentunya pemerintah boleh melakukan lebih banyak untuk menyediakan sokongan sosial lebih kukuh kepada golongan memerlukan.

Namun, ia tidak hanya tentang usaha pemerintah, dan Singapura tidak sepatutnya menjadi masyarakat yang rakyatnya bergantung sepenuhnya kepada pemerintah.

Sebaliknya, beliau mengajak rakyat agar bekerjasama menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan, sambil menukil beberapa contoh seperti usaha warga Singapura, Encik Koh Seng Choon, yang menubuhkan Dignity Kitchen, bagi menggajikan golongan kurang upaya.

“Di banyak negara, kita lihat tindakan kolektif daripada masyarakat sebegitu kerana pemerintahnya tidak berkesan.

“Orang ramai kecewa atas kekurangan tindakan dan kemajuan. Justeru mereka tampil untuk mengambil tindakan sendiri.

“Singapura berada dalam kedudukan berbeza,” ujarnya.

Dalam menyeru rakyat Singapura termasuk perniagaan, pekerja, kesatuan, kumpulan masyarakat serta masyarakat awam supaya bekerjasama dengan pemerintah, Encik Wong berkata usaha tersebut sudah mula dijalankan di bawah kepimpinan beliau.

Beliau menyebut penganjuran ‘hackathon’ yang membolehkan rakyat menggunakan teknologi untuk menghuraikan masalah, selain Panel Rakyat untuk mengkaji dan menyarankan perubahan dasar mengenai pelbagai isu, termasuk menangani kencing manis dan memperbaiki daya tahan pekerjaan.

Menerusi Panel Belia, katanya, mereka telah memperkasa golongan muda agar membangunkan inisiatif mengenai celik kewangan, peluang pekerjaan, daya tahan digital dan usaha kitar semula.

“Kami akan membuka lebih banyak wadah supaya anda didengari dan terlibat sama.

“Bukan hanya untuk memberi maklum balas atau berkongsi idea, bahkan untuk bekerjasama dengan kami, dan warga Singapura yang lain... untuk menghasilkan huraian dan menjadikan idea bernas demi Singapura yang lebih baik satu realiti,” katanya.

Menyentuh tentang pencapaian Singapura sebagai titik merah yang kecil, Encik Wong berkata negara ini telah diiktiraf dan dipandang tinggi negara lain berkat kesungguhan, pengorbanan dan keazaman rakyat Singapura sepanjang berdekad lalu.

“Ada yang beranggapan bahawa kita sudah berjaya, atau mungkin sampai ke puncak kita.

“Lagipun, kita sudah berubah daripada dunia ketiga kepada pertama. Jadi mereka tanya: Adakah kita boleh benar-benar kekal begini? Pastinya, tidak banyak lagi yang perlu dilalui.

“Tetapi itu adalah salah tanggapan. Ya, kita telah menempuh perjalanan yang jauh. Dan kita kini berada di tahap lebih tinggi.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh berdiam diri kerana dalam dunia sekarang, berdiam diri sama seperti (anda) ketinggalan,” ujarnya.

“Ada yang beranggapan bahawa kita sudah berjaya, atau mungkin sampai ke puncak kita. Lagipun, kita sudah berubah daripada dunia ketiga kepada pertama. Jadi mereka tanya: Adakah kita boleh benar-benar kekal begini? Pastinya, tidak banyak lagi yang perlu dilalui. Tetapi itu adalah salah tanggapan. Ya, kita telah menempuh perjalanan yang jauh. Dan kita kini berada di tahap lebih tinggi. Bagaimanapun, kita tidak boleh berdiam diri kerana dalam dunia sekarang, berdiam diri sama seperti (anda) ketinggalan.”
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg