Topik diikuti
Pergi ke BHkuDayaSeni: Tradisi Beraksi usaha Jamiyah perkasa seni Melayu
DayaSeni: Tradisi Beraksi usaha Jamiyah perkasa seni Melayu
Acara julung kali di Wisma Geylang Serai ini tampilkan persembahan silat, tarian dan permainan gasing daripada kumpulan seni dari Singapura, Malaysia dan Indonesia
DayaSeni: Tradisi Beraksi usaha Jamiyah perkasa seni Melayu
Dalam usaha menyemarakkan penghargaan terhadap kesenian dan kebudayaan Melayu dalam kalangan masyarakat tempatan dan antarabangsa, Jamiyah Singapura bakal menganjurkan acara DayaSeni: Tradisi Beraksi pada Sabtu 25 April ini di Wisma Geylang Serai dari 10 pagi hingga 5 petang.
Acara julung kali ini menampilkan persembahan silat, tarian dan permainan gasing daripada kumpulan seni dari Singapura, Malaysia dan Indonesia.
Kumpulan yang ditampilkan sempena acara ini termasuk ‘Kumpulan Gasing Selangor’ yang merupakan johan pertandingan gasing Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) 2025; Persatuan Silat Cekak Harimau Pahang, yang merupakan pasukan pencak silat yang memenangi kejuaraan serantau; dan kumpulan pencak silat nasional Indonesia, Padepokan Kasundan Panglipur Galih.
Singapura pula menampilkan pasukan silat Al-Haq, Cekak Serantau dan Rencak di samping tiga kumpulan tarian; Sriwana, Sri Warisan dan Artistari Gentari. Pasukan Gasing Pangkah Singapura turut beraksi.
Acara ini juga akan dimeriahkan dengan persembahan oleh Orkestra Sri Temasek dan Persatuan Hadrah dan Kompang Singapura (Pehaks).
Acara yang bakal dirasmikan oleh Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, ini mencerminkan kepentingan acara ini bagi landskap seni dan budaya Melayu di Singapura.
Bagi menghangatkan suasana, acara DayaSeni yang berlangsung di kedua-dua bahagian, Persada dan Anjung, di WGS, akan turut menampilkan seniman yang juga bintang filem Mat Kilau, Datuk Adi Putra; penyanyi Azra Zulaikha dan dua personaliti muda Nity Baizura dan Zuhairi Idris.
Menerangkan lebih lanjut tentang acara ini, Setiausaha Agung Jamiyah, Encik Muhammad Khair Baharin, berkata acara ini menandakan perasmian pembentukan Unit DayaSeni sebagai wadah untuk menyuburkan penghargaan lebih baik budaya Melayu pada peringkat serantau dan antarabangsa.
“Jamiyah mempunyai hubungan akrab dengan pelbagai badan kesenian Melayu Singapura. Sebelum ini, Jamiyah sering mengadakan program kebudayaan dan menarik sama badan-badan seni Melayu tempatan menyertai kami dalam pelbagai program peringkat serantau dan antarabangsa.
“Jadi, kini adalah masa terbaik bagi kami melakukannya dengan lebih kemas dan tersusun, menjadikan DayaSeni sebagai wadah untuk kami menonjolkan bakat-bakat seni Melayu tempatan, agar kita dapat mempertingkat mutu bakat, nilai kesenian dan taraf persembahan seni kita,” jelas Encik Muhammad Khair.
Nama DayaSeni diambil daripada dua patah perkataan Melayu iaitu daya (kekuatan) dan seni (kesenian), mencerminkan komitmen Jamiyah untuk memelihara dan memartabatkan warisan seni serta budaya Melayu.
Selain menonton, orang ramai juga berpeluang mengikuti bengkel terbuka bagi ketiga-tiga seni tradisi ini – silat, tarian Melayu, kompang dan gasing – di samping kegiatan warisan seperti membuat bunga rampai, lukisan batik, melukis wau dan seni lukisan inai.
Menariknya, sesi bengkel kompang akan dikendalikan Persatuan Hadrah dan Kompang Singapura (Pehaks).
Selain itu, orang ramai termasuk pelajar juga berpeluang mempelajari cara membuat bunga rampai yang dijayakan oleh Jawatankuasa Wanita Jamiyah.
Bagi kanak-kanak dan remaja, mereka boleh menikmati pelbagai permainan tradisional seperti congkak, batu seremban dan capteh.
Acara DayaSeni ini juga menawarkan peluang bagi peserta memenangi hadiah menerusi program digital JamQuest, dengan peserta perlu memuat turun aplikasi mobile dan mengikuti arahan interaktif.
Bengkel-bengkel ini membuka peluang kepada semua lapisan usia untuk merasai sendiri keindahan seni tradisi secara langsung. Pendaftaran diperlukan melalui pautan https://forms.office.com/r/DsEJRWQyMt.
“Penubuhan unit ini menandakan lembaran baru dalam usaha Jamiyah yang telah lama menjalin hubungan dengan dunia kesenian tempatan.
“Sejak 1980-an, Jamiyah aktif menyokong ekspresi budaya Melayu melalui persembahan, pesta kesenian dan pertukaran budaya di dalam dan luar negara, termasuk Malaysia, Indonesia, Jepun, Mesir, Amerika Syarikat dan Canada.
“Melalui DayaSeni, Jamiyah berhasrat menjadikannya wadah budaya tahunan atau dwitahunan yang meraikan keluasan seni, pertukaran dan persembahan tradisi Melayu, menghormati tradisi warisan sambil memastikan ia terus hidup dan relevan pada zaman ini,” tambah Encik Muhammad Khair.
SEKILAS:
DayaSeni: Tradisi Beraksi
Tempat: Wisma Geylang Serai
Tarikh: Sabtu, 25 April 2026
Masa: 10 pagi – 5 petang
Orang ramai dialu-alukan mendaftar awal dengan:
* Imbas kod QR yang tertera, atau
* Mengisi borang di pautan https://forms.office.com/r/DsEJRWQyMt.
