Jamiyah ajak masyarakat S’pura berkongsi rezeki iftar
Persatuan turut seru sokongan bagi ‘Iftar Bento’ untuk 15,000 orang memerlukan dan ‘Iftar Barakah’ buat pekerja asing sepanjang Ramadan
Bayangkan saat kegembiraan berbuka puasa dengan juadah tak terduga: semangkuk sup panas yang menyegarkan, kuih tradisi pengubat rindu, atau lauk tambahan mengenyangkan.
Ia hidangan biasa buat kita, tetapi amat istimewa dan bermakna bagi mereka yang berdepan cabaran hidup hari demi hari.
Ramadan ini, masyarakat Singapura diajak bersama-sama berkongsi rezeki, agar waktu berbuka puasa golongan kurang bernasib baik menjadi lebih bermakna.
Melalui inisiatif tajaan iftar oleh Jamiyah Singapura, penderma boleh membantu menyediakan hidangan berbuka puasa lebih istimewa untuk penghuni tiga rumah kebajikan di bawah naungan persatuan itu – Darul Islah, Darul Syifaa dan Darul Takrim.
Pusat pemulihan Darul Islah, di Pasir Panjang Road, menempatkan penghuni sedang menjalani program pemulihan dadah.
Pusat rawatan Darul Syifaa, di West Coast Drive, menjaga mereka yang memerlukan rawatan perubatan jangka sederhana dan panjang.
Rumah tumpangan Darul Takrim, di Tampines Avenue 3, pula menyediakan perlindungan dan penjagaan rapi bagi warga emas dan golongan papa.
Sumbangan itu serendah $2.80 bagi tajaan kuih-muih dan $5.80 bagi tajaan sajian utama. Penderma boleh memilih salah satu tajaan itu mengikut kemampuan masing-masing.
Bagaimanapun, tajaan mestilah untuk jumlah minimum 100 orang, bagi memastikan para penghuni serta petugas di salah satu daripada tiga rumah kebajikan kendalian Jamiyah itu dapat berbuka puasa sebaik-baiknya pada hari yang dipilih penaja.
Menurut Naib Presiden III Jamiyah, Encik Siraj Salman, Ramadan adalah masa terbaik untuk menyuburkan sikap kepedulian dan keprihatinan sosial.
“Ramadan adalah bulan untuk kita memperhalusi rasa kepedulian dan memperkukuh semangat kebersamaan. Melalui tajaan Iftar ini, kita bukan sekadar menyediakan makanan, malah menyampaikan mesej bahawa mereka yang diuji tidak dilupakan.
“Setiap sumbangan adalah satu bentuk kasih sayang yang menghangatkan hati dan menyemarakkan harapan,” katanya, sambil menerangkan bahawa jumlah minimum ditetapkan agar tiada sesiapa tersisih daripada menikmati sajian iftar itu.
Encik Abdul Rahman, 60 tahun, yang menaja makanan iftar bagi penghuni rumah kebajikan Jamiyah itu tahun berturut-turut, berkata:
“Saya dibesarkan dalam keluarga sederhana. Dari kecil, saya perhatikan ayah dan arwah emak saya sangat suka menderma. Daripada situ saya belajar daripada mereka agar jangan lokek dan menderma seikhlas hati, seperti memberi makanan, lebih-lebih lagi menaja iftar dalam Ramadan.
“Saya percaya dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain. Maka itu jangan pernah kita berkira untuk berkongsi dengan orang-orang di sekeliling kita, lebih-lebih lagi bagi penghuni rumah kebajikan seperti di Jamiyah.
“Kita akan rasa bahagia, tidak kira berapa jumlah yang disumbang. Yang penting keikhlasan, yang memberi kebahagian buat orang-orang yang menerima. Syukur alhamdulillah.”
Selain itu, Jamiyah menyasarkan menyediakan ‘Iftar Bento’ bagi 15,000 penerima Ramadan ini, khusus bagi menyantuni Muslim dalam keadaan memerlukan.
Daya usaha ini juga bertujuan menceriakan pekerja asing yang menghadiri ‘Iftar Barakah’ di Pusat Islam Jamiyah di Lorong 12, Geylang, setiap hari sepanjang bulan suci ini.
Semangat memberi dan berkongsi inilah yang menjadi teras Ramadan, bulan untuk membersihkan jiwa, mengeratkan ukhuwah dan memastikan tiada siapa terpinggir.
Setiap hidangan yang ditaja membawa lebih daripada sekadar zat dan khasiat – ia juga membawa harapan, keprihatinan dan rasa disayangi buat golongan dalam kesusahan.
“Marilah kita bersama-sama menjadikan Ramadan ini lebih bermakna dengan menabur kasih, menghadirkan kehangatan dan memastikan setiap insan dapat berbuka puasa dengan perasaan dihargai dan disayangi,” seru Encik Siraj.
SOKONG JAMIYAH BANTU GOLONGAN SUSAH
– Untuk maklumat lanjut atau menaja hidangan iftar, sila layari https://tinyurl.com/ydkjbmbw
– Bagi sumbangan buat ‘Iftar Bento’, sila layari https://tinyurl.com/bdwm4c4p
– Untuk perincian selanjutnya, sila layari https://www.jamiyah.org.sg/

