Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

DBS: SEZ Johor-S’pura pacu negeri selatan atasi pertumbuhan S’pura, M’sia

Sep 8, 2025 | 5:09 PM
ekonomi, SEZ, Johor, Singapore
Ekonomi Johor berkembang 6.4 peratus pada 2024 berbanding 5.1 peratus pada peringkat nasional bagi Malaysia dan 4.4 peratus Singapura. - Foto fail

Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menunjukkan potensi besar.

Demikian menurut laporan Bank DBS yang dikeluarkan pada 4 September.

Ekonomi Johor berkembang lebih pesat berbanding Singapura dan Malaysia pada 2024 hasil JS-SEZ.

Johor mencatat pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) sebanyak 6.4 peratus pada 2024, berbanding 5.1 peratus bagi Malaysia dan 4.4 peratus Singapura.

Jurang pertumbuhan antara negeri itu dan pertumbuhan nasional adalah yang terbesar sejak 2016, lapor The Business Times (BT).

Walaupun perjanjian SEZ dimeterai pada Januari 2025, Singapura dan Malaysia telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) setahun sebelumnya.

Zon itu bertujuan memacu pelaburan dalam sektor utama termasuk logistik, keselamatan makanan, pelancongan, tenaga, ekonomi digital, ekonomi hijau, perkhidmatan kewangan, perkhidmatan perniagaan, pendidikan dan kesihatan.

Pakar Ekonomi DBS, Encik Chua Han Teng, berkata Johor akan menjadi “penyumbang utama” kepada Rancangan Malaysia Ke-13 yang menyasarkan pertumbuhan negara purata antara 4.5 peratus dengan 5.5 peratus.

Malaysia turut menyasarkan pertumbuhan 6 peratus dalam pelaburan swasta dari 2026 hingga 2030 “seiring dengan sasaran status negara berpendapatan tinggi”, berbanding pertumbuhan 3.6 peratus dalam pelaburan awam.

Pelabur asing terus melabur di Malaysia, melebihi 50 peratus jumlah pelaburan secara purata sepanjang tiga tahun lalu.

Singapura merupakan sumber utama pelaburan asing, menyumbang 40 peratus daripada semua pelaburan asing pada separuh pertama 2025.

Johor, khususnya, telah muncul sebagai “tumpuan pusat data”, tambah Encik Chua. 

Princeton Digital yang berpusat di Singapura, disokong oleh Warburg Pincus, melancarkan pusat data Johor bernilai AS$1.5 bilion ($1.9 bilion) pada 2024 selepas syarikat lain termasuk Nvidia dan Microsoft.

Encik Chua menyebut JS-SEZ sebagai pemangkin bagi pelaburan tersebut, sambil menunjukkan bahawa Johor menyumbang 30 peratus daripada semua pelaburan di Malaysia pada separuh pertama 2025. 

Pelaburan asing menyumbang sekitar 61 peratus daripada semua pelaburan yang diluluskan di zon tersebut pada tempoh tersebut.

Pelaburan dalam sektor perkhidmatan di Johor terus berkembang, memacu bahagian yang semakin besar daripada jumlah pelaburan keseluruhan di negeri itu. 

Sebagai hasilnya, Johor menduduki tempat kedua dalam kegiatan pembinaan di Malaysia, menyumbang 18 peratus daripada jumlah nasional pada separuh pertama 2025, ujar Encik Chua.

Pertumbuhan pusat data kemungkinan merupakan sebab bagi “perluasan pesat” Johor dalam kerja pembinaan, dengan segmen bukan kediaman menjadi pemacu utama.

Laporan itu turut menyatakan bahawa kerja pembinaan bukan kediaman di Malaysia didorong terutamanya oleh Johor.

Ini “menekankan pentingnya Johor dalam pembangunan berterusan Malaysia ke arah status negara berpendapatan tinggi”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg