Program Tuisyen Mendaki (MTP) memainkan peranan penting dalam memberi inspirasi pendidikan kepada pelajar dan tutor mereka. Program tersebut juga memberi manfaat besar dalam membantu pelajar mencapai kecemerlangan akademik dan sahsiah diri.
LENSA SEORANG GURU
Berpegang kepada peribahasa melentur biarlah waktu rebung, penerima Anugerah ‘Tutor Keseluruhan Terbaik’ bagi Anugerah Tutor Mendaki 2023, Encik Suhaimi Bidin, 38 tahun, berkata beliau sangat menghargai setiap potensi dan kejayaan pelajar bimbingannya di Mendaki.
“Penyampaian pengajaran akan meninggalkan impak besar kepada semua pelajar, terutamanya mereka yang tidak menerima perhatian cukup daripada ibu bapa ataupun guru sekolah mereka.
“Saya sangat berbesar hati, jika dapat merealisasikan impian pelajar saya di MTP. Selain daripada keputusan akademik, mereka juga mempunyai bakat dan potensi tersendiri yang boleh digilap. Oleh itu, sangat penting bagi mereka menggunakan kebolehan tersebut ke arah kebaikan dan bukan ke jalan yang merosakkan atau merugikan,” tambah Encik Suhaimi yang sudah 10 tahun berkhidmat sebagai tutor MTP.
Sebagai Ketua Tutor di tiga pusat MTP, Encik Suhaimi juga berpesan, setiap tutor di bawah pimpinan beliau harus jelas akan misi mereka membentuk pelajar.
“Para tutor perlu sedia menyampaikan pelajaran lebih daripada bantuan akademik. Tugas mereka adalah satu amanah besar kerana ia melibatkan perkembangan watak anak muda.
“Tugas saya pula hanyalah memudahkan misi dan membantu mereka dalam kesulitan. Mereka tidak harus berasa tidak setaraf dengan tutor yang pernah diberi pengiktirafan ataupun memegang jawatan tinggi.
“Sebaliknya, mereka harus tahu mereka telah melakukan yang terbaik dengan kemampuan diri. Apalah juga makna pengiktirafan ‘Tutor Cemerlang’, jika diri ini bukan yang terbaik dalam hati guru dan anak murid kami.
“Oleh itu, saya ingin semua pihak sedar bahawa masing-masing sangat memerlukan antara satu sama lain. Kita harus bekerjasama membangunkan generasi yang kukuh dan mewujudkan suasana kejayaan serta kebaikan. Semoga kita terus dapat membanggakan masyarakat Melayu/Islam Singapura,” katanya, yang turut mengajar subjek Matematik, Bahasa Inggeris, dan Sains di MTP.
LENSA SEORANG PELAJAR
Ruudi Imadi Irwan Nurman, 12 tahun, telah mendaftar dalam kelas MTP untuk mendapat ruang pembelajaran kondusif dan meningkatkan gred Matematik serta Sains.
Dengan bantuan tutor MTP, pelajar darjah enam di Sekolah Rendah Tampines North itu berjaya meningkatkan grednya daripada tidak lulus kepada julat 60 markah.
Selepas empat tahun menyertai MTP, dia juga berhasrat melanjutkan pengajian tambahan di pusat tuisyen tersebut bagi peringkat menengah agar terus memperolehi manfaat pendidikan di sana.
Ruudi yang telah menduduki peperiksaan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) pada tahun ini berkata: “Saya seronok dapat belajar benda baru di MTP. Contohnya, saya pernah menyertai Learning Journey anjuran MTP ke Our Tampines Hub bersama rakan-rakan dan bermain pelbagai permainan ilmiah.
“Saya juga boleh mengajukan soalan dengan lebih mendalam kepada tutor saya yang sangat prihatin dan membantu. Dengan sokongan mereka, saya boleh menjawab soalan Matematik dengan lebih pantas dan tepat berbanding dahulu. Malah, yuran pendidikan yang dikenakan secara tahunan, juga sangat berpatutan dan meringankan beban kewangan.”
Program Tuisyen Mendaki (MTP):
MTP yang menawarkan program pendidikan bermutu dan mudah diakses, bertujuan meningkatkan prestasi akademik pelajar peringkat rendah dan menengah. Pendaftaran menyertai MTP akan ditutup pada 31 Disember 2024 ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg